Apabila ditawarkan watak Mira dalam filem Badak, pelakon baru Aida Amron, amat teruja dengan jalan cerita yang mengisahkan tentang kehidupan di pulau dan berlatarbelakangkan pemandangan yang indah.
“Saya tertarik dengan naskhah yang dikongsikan oleh pengarah filem, M Raihan Halim, ketika kami bertemu buat kali pertama.
“Dalam kehidupan seharian, saya gemar melancong ke pulau untuk bersantai. Apabila jalan ceritanya ada babak di atas perahu, ia membuat saya terpanggil ingin melibatkan diri dalam projek ini,” kongsi Aida, 27 tahun.
Beliau ditemui Berita Minggu (BM) di ruang istirahat Gold Class di pawagam Golden Village, Suntec City pada 17 Oktober lalu sempena sesi tayangan eksklusif Badak di Singapura.
Namun apa yang disangkakan Aida berubah apabila beliau diberitahu jalan ceritanya bertukar dan kini beliau harus berlakon sebagai ‘rapper’ dan lokasinya berubah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Saya terkejut kerana saya bukan seorang penyanyi dan ada yang kata saya menyanyi seperti bercakap.
“Namun, terdetik di dalam hati mungkin cabaran itulah yang saya perlukan untuk mengetengahkan bakat saya kepada penonton,” jelasnya.
Selain menyahut cabaran untuk mengasah kemahiran dalam nyanyian ‘rap’, Aida turut mempelajari bahasa isyarat bagi menjayakan watak Mira.
Filem Badak, arahan syarikat tempatan, Papahan Films, mengisahkan mengenai Salihin Aziz, atau lebih mesra dipanggil Badak (lakonan Shaheizy Sam), seorang bapa yang menghadapi cabaran pendengaran.
Beliau menjaja burger bersama anak perempuannya, Mira, yang bercita-cita menjadi penyanyi ‘rap’, namun terpaksa berdepan pelbagai dugaan yang datang bertali arus.
Filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon berbakat termasuk, Wan Hanafi Su, Kahoe Hon dan Tony Eusoff.
“Alhamdulillah, saya bersyukur mendapat peluang ini kerana ia memang mencabar kebolehan lakonan saya.
“Saya harap penonton dapat memahami mesej yang ingin disampaikan dan menghayati kisah kekeluargaan yang ada dalam naskhah ini,” kata Aida.
Beliau yang bermula dengan teater berkongsi dirinya mula terlibat secara serius dalam bidang lakonan pada usia 22 tahun.
Sebelum ini Aida pernah terlibat dalam filem Doh (2023) dan Gol & Gincu Vol. 2 (2018)
“Saya bermula dengan memasuki kelas di bawah rumah produksi teater, Revolution Stage, di Malaysia.
“Di situ, saya mempelajari kemahiran seni lakonan, menulis, mengarah dan tarian.
“Selepas, tamat kursus itu, saya mula terlibat dalam beberapa penerbitan termasuk projek teater bersiri Romansiprokal oleh Rumah Lakon dan Live In My Poetry.
“Saya bersyukur kerana ada pengarah yang menonton lakonan teater saya dan mula menawarkan watak sampingan bagi drama dan filem,” cerita Aida, yang merupakan adik kepada pelakon popular, Nadiya Nisaa dan penata gaya selebriti, Min Luna.
Ditanya jika darah seni kreatif mengalir dalam anggota keluarga lain, Aida berkata hanya beliau dan kededua kakaknya sahaja yang menceburi bidang seni.
“Sebenarnya saya menceburi bidang lakonan ini bukan disebabkan kakak saya (Nadiya Nisaa).
“Minat dalam bidang teater itu muncul secara semula jadi tanpa dorongan sesiapa,” ujarnya, anak bongsu dalam lima beradik.
Namun, Aida mengakui sering mendapatkan nasihat daripada kededua kakaknya mengenai etika bekerja.
“Sejujurnya, saya tidak mendapatkan nasihat lakonan daripada kakak (Nadiya Nisaa).
“Namun, saya sering bertanya kepada mereka berdua mengenai cara bekerja di set penggambaran kerana dalam bidang seni kita sering bertemu orang baru.
“Kami tidak bekerja di pejabat, di mana kami akan berjumpa dengan individu yang sama setiap hari.
“Kami harus bekerja dalam projek berbeza dan saya sering mendapatkan rujukan daripada mereka bagaimana untuk kekal profesional dan cara menyesuaikan diri setiap kali ke set berbeza,” ceritanya.
Bergerak ke hadapan, Aida berharap dapat terlibat dalam naskhah yang serupa seperti filem Badak, di mana ia mengetengahkan isu sebenar dihadapi masyarakat sambil memaparkan nilai kemanusiaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg