Topik diikuti
Pergi ke BHkuNash kembali bertenaga selepas bedah jantung
Nash kembali bertenaga selepas bedah jantung
Nash kembali bertenaga selepas bedah jantung
Selepas menjalani pembedahan jantung akibat saluran arteri tersumbat 80 peratus pada April lalu (2026), penyanyi Datuk Nash kini kembali menjalani kehidupan lebih sihat dengan mutu pernafasan yang jauh lebih baik sehingga membolehkannya menyanyi dengan lebih selesa.
Penyanyi lagu, Pada Syurga Di Wajahmu, itu berkata, perubahan ketara yang dirasainya selepas pembedahan turut meningkatkan keyakinannya untuk terus aktif memenuhi undangan nyanyian.
“Alhamdulillah, sekarang saya lebih sihat. Kalau menyanyi pun saya rasa lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong, Manila, Filipina di Dewan Seminar Wisma PERKIM Kebangsaan, pada 4 Ogos.
Nash berkata masalah jantungnya dikesan ketika berada di Melaka sebelum doktor menasihatinya supaya menjalani rawatan segera.
“Saya berjumpa doktor dan dimaklumkan saluran jantung sudah tersumbat. Doktor kemudian menasihatkan saya menjalani pembedahan pada hari yang sama.
“Alhamdulillah, saya menjalani pembedahan pada 21 April lalu. Saya dipasang satu stent dan menjalani prosedur belon. Selepas itu, pernafasan saya jauh lebih selesa,” kata penyanyi berusia 67 tahun itu.
Menurut Nash, sebelum menjalani pembedahan, beliau mudah berasa letih dan kurang selesa ketika membuat persembahan.
“Kalau sebelum ini saya cepat penat. Selepas pembedahan, saya dapat rasa aliran pernafasan lebih baik dan itu memudahkan saya menyanyi.
“Selagi masih diberi kesihatan dan mampu menyanyi, saya akan terus memenuhi undangan,” katanya.
Pada masa sama, Nash berkata, beliau kini perlu lebih berdisiplin dalam menjaga kesihatan termasuk mengawal pemakanan dan mengambil ubat mengikut jadual.
“Doktor menasihatkan saya mengelakkan makanan yang boleh menyebabkan darah menjadi pekat.
“Saya juga perlu mengambil ubat pencair darah sepanjang hayat. Jadi, saya kena lebih berdisiplin kerana pada usia sekarang banyak perkara perlu dijaga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nash antara selebriti yang menyokong Projek Pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong di Manila, Filipina yang digerakkan Muslim Care Malaysia.
Katanya, penglibatan dalam projek itu adalah peluang untuk menyumbang kepada usaha dakwah dan pembangunan masyarakat Islam.
“Bagi saya, ini peluang yang Allah berikan. Apabila diberi ruang mengenali individu yang berjuang dalam kerja kebajikan dan dakwah, kita juga mahu menjadi sebahagian daripada usaha itu.
“Saya mengajak orang ramai sama-sama menyumbang bagi merealisasikan pembinaan pusat Islam ini demi manfaat umat Islam di sana,” katanya.
