Topik diikuti
Pergi ke BHkuNaskhah ‘Charged’ bongkar realiti di sebalik keharmonian antara kaum di S’pura
Kembali selepas 15 tahun, pementasan Teater Ekamatra berlatar kem tentera masih relevan, tema dekat di hati
Lebih 15 tahun selepas dipentaskan buat kali pertama, naskhah teater berjudul, Charged, karya Chong Tze Chien kembali menemui penonton, kali ini diarahkan pengarah dan pereka set, Mohd Fared Jainal.
Kepulangan naskhah ini ke pentas membuktikan bahawa isu yang berkaitan dengan perkauman dan prejudis yang diketengahkan masih relevan, malah terasa lebih mengusik dalam konteks masyarakat hari ini.
Charged, yang dibawakan kumpulan teater mapan, Teater Ekamatra, dipentaskan dari 23 Julai hingga 2 Ogos, di Teater The Ngee Ann Kongsi, Wild Rice @ Funan.
Dipentaskan hanya dua hari selepas Hari Keharmonian Kaum, yang jatuh pada 21 Julai, dan di ambang sambutan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos, tampil sebagai yang relevan dengan suasana semasa.
Secara ringkas, Charged, yang berlatarbelakangkan malam sambutan Tahun Baharu Cina, mengisahkan ketegangan yang tercetus di sebuah kem tentera, apabila hanya anggota berbangsa Melayu dan India ditugaskan mengawal kem.
Konflik akhirnya membawa kepada kematian misteri dua anggota tentera, Koperal Mohammad Akmal Hakim Yusof (lakonan Irsyad Dawood) dan Koperal Lim Sheng-yi Russell (Teoh Jun Vinh), sekali gus merungkai pelbagai persoalan.
Ketika saya melangkah masuk ke ruang teater, rekaan set pentas sudah terlebih dahulu menarik perhatian, sekali gus membangkitkan suasana yang terasa serius lagi berat.
Ibaratnya ‘dikurung’ dalam bilik siasatan yang diselaputi jubin putih dan kelabu, dengan siling tinggi dan tingkap yang sesekali memantulkan cahaya ke ruang pentas, sambil menantikan kebenaran terungkai.
Tanpa perlu diserikan dengan unsur visual yang berlebihan, ruang pentas dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh ketegangan emosi dan konflik yang berkembang sepanjang pementasan.
Pada awalnya, penonton mungkin terdorong untuk mempercayai kematian Hakim dan Russell berpunca daripada ketegangan kaum yang memuncak sepanjang malam Tahun Baharu Cina itu.
Bagaimanapun, menariknya, naskhah ini tidak mengakhiri siasatan dengan satu jawapan yang pasti.
Hakim dilihat sebagai seorang anggota tentera yang panas baran dan sering kali bertindak mengikut perasaan.
Namun begitu, menerusi beberapa babak yang lebih intim, khususnya bersama ibunya, Puan Zuraidah (Siti Hajar Gani), terserlah sisi Hakim sebagai anak yang menyimpan beban emosi, mendambakan penerimaan dalam masyarakat sendiri dan sekadar ingin dihargai sebagai insan biasa.
Secara tidak langsung, Hakim adalah lambang kepada mereka yang sering dinilai berdasarkan stereotaip seperti ‘Melayu malas’, atau ‘Melayu tidak berpendidikan’, sebelum latar belakang dan keperibadian benar-benar dikenali.
Sementara itu, Irsyad berhasil membawakan watak Hakim dengan penuh ketelitian, mengimbangi sifat keras dan sisi rapuh watak itu secara meyakinkan.
Hasilnya, penonton bukan sahaja memahami pergolakan yang dilalui Hakim, malah terdorong menilai semula kecenderungan menghakimi seseorang berdasarkan tanggapan awal.
Siti Hajar pula memberikan antara persembahan paling mengesankan sebagai Puan Zuraidah.
Setelah lama terpisah daripada Hakim akibat konflik keluarga dan tidak mengetahui di mana anaknya ditempatkan sepanjang menjalani Perkhidmatan Negara (NS), beliau akhirnya hanya mampu mengenali semula anaknya melalui kisah yang diceritakan rakan seperjuangannya.
Bagi saya, babak bersama Koperal Zubir Abdullah (Izzul Irfan) merupakan antara detik paling menyayat hati.
Ketika Zubir berkongsi sisi Hakim yang tidak pernah diketahui ibunya, Puan Zuraidah menyambut setiap kenangan itu dengan senyuman yang diselangi rasa pilu, seolah-olah sedang menyusun semula gambaran anaknya yang telah tiada.
Dalam babak ini, Izzul berjaya menggambarkan konflik batin Zubir, yang dibelenggu rasa bersalah kerana menyimpan kebenaran yang belum mampu diluahkan kepada Puan Zuraidah.
Pertentangan antara keinginan untuk berterus terang dan kesukarannya berbuat demikian mewujudkan ketegangan yang berterusan, sekali gus mengheret penonton untuk terus merungkai apa yang sebenarnya berlaku antara Hakim dengan Russell sehingga meragut nyawa mereka.
Teoh pula membawa watak Russell, yang turut bergelut dengan masalah kesihatan mental, dengan cukup meyakinkan.
Persembahannya berjaya memperlihatkan bagaimana satu kesilapan, apabila dibayangi tekanan dan penghakiman berterusan yang dipengaruhi prasangka perkauman, mampu membawa seseorang ke titik yang sukar difahami secara hitam putih.
Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang dirasakan boleh dikembangkan dengan lebih mendalam.
Hubungan yang renggang antara Hakim dengan Puan Zuraidah, misalnya, hanya disentuh secara sepintas lalu.
Begitu juga sebab Russell memilih untuk menjauhkan diri daripada ibunya, Madam Lim (Serene Chen), sehingga sanggup mengutamakan tanggungjawab di kem berbanding menyambut Tahun Baharu Cina bersamanya.
Sedikit ruang tambahan untuk meneroka konflik ini bukan sahaja mampu memperjelas motivasi setiap watak, malah memperdalam perjalanan emosi mereka, tanpa mengurangkan misteri dan persoalan tentang prasangka antara kaum yang menjadi tunjang pementasan.
Namun, kekurangan tersebut tidak menjejaskan kekuatan Charged sebagai naskhah pentas yang berani mengangkat persoalan tentang prejudis dan hubungan antara kaum.
Charged mengajak penonton menilai bagaimana stereotaip dan kecenderungan menghakimi seseorang berdasarkan identiti mampu menimbulkan kesan yang berpanjangan terhadap individu dan masyarakat.
Nota: Tiket bagi pementasan Charged, yang berharga antara $45 dengan $75, boleh ditempah di laman web, Book My Show menerusi pautan, https://bh.sg/D9e9
Tiket juga boleh didapatkan dengan menggunakan Pas Budaya SG.
“
“Secara tidak langsung, Hakim adalah lambang kepada mereka yang sering dinilai berdasarkan stereotaip seperti ‘Melayu malas’, atau ‘Melayu tidak berpendidikan’, sebelum latar belakang dan keperibadian benar-benar dikenali.”