Selepas hampir tiga dekad mewarnai industri hiburan tanah air, kumpulan New Boyz, bakal kembali menerusi Konsert New Boyz Meraung – Live in Singapore pada 5 Disember.

Konsert itu disifatkan sebagai pengubat kerinduan buat peminat New Boyz khususnya dari Singapura.

Ia akan berlangsung di The Star Theatre anjuran MSN Entertainment.

Penganjuran konsert itu dibuat berikutan siri konsert sebelum ini yang membuktikan kumpulan New Boyz, dianggotai oleh Tomok selaku vokalis, Jay dan Afiez (gitar), Zack (bes), serta Along dan Ristoe (dram) masih mendapat tempat dalam hati peminat.

Tomok berkata konsert berkenaan adalah satu penghargaan khusus buat peminat di Singapura yang telah menyokong kerjaya mereka sejak awal kemunculan NewBoyz sekitar akhir ‘90-an.

“Selepas dua tahun tidak mengadakan persembahan, kami memilih Singapura untuk mengembalikan nostalgia dan meraikan kesetiaan peminat,” katanya dalam Harian Metro.

Sementara itu, wakil daripada MSN Entertainment, yang dikenali sebagai Aynn, berkata konsert berkenaan amat signifikan dengan perjalanan kerjaya kumpulan itu yang sudah bertahan hampir 30 tahun.

“Kami sengaja memilih nama ‘New Boyz Meraung’ bersempena dengan lagu hit mereka daripada album, Akur, yang diterbitkan pada 2000.

“Selepas 26 tahun, lagu ini masih relevan dan bakal menjadi salam pengenalan kepada generasi baharu,” kata Aynn.

Selain lagu, Meraung, kumpulan itu bakal mempersembahkan deretan lagu popular era ‘90-an termasuk Sejarah Mungkin Berulang.

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web Sistic pada harga antara $99 dengan $169.

Bagi mereka yang inginkan pengalaman lebih eksklusif, tiket VIP berharga $259 turut ditawarkan.

Pemegang tiket ini berpeluang menyertai sesi ramah mesra bersama anggota New Boyz dan menerima barangan eksklusif seperti pas VIP, lanyard, poster serta beg jinjing.

Mereka juga akan menikmati laluan ekspres ketika pemeriksaan tiket dan pembelian barangan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti