Dua selebriti terkenal Malaysia, Datin Lisa Surihani dan Tomok, selamat mengikuti jemaah agensi pelancongan, Irkaz Travel & Tours, ke Tanah Suci bagi menunaikan haji, baru-baru ini.

Siapa sangka, di sebalik senyuman, pelukan terakhir dan lambaian tangan ahli keluarga di lapangan terbang, tersimpan rasa rindu, air mata dan doa yang tidak terungkap.

Namun demi mengejar haji mabrur, Lisa, 40 tahun, dan Tomok, 42 tahun, memilih untuk melangkah dengan penuh keikhlasan dan ketabahan.

Menurut Lisa, pengorbanan paling besar yang perlu ditempuh saat berangkat ke Tanah Suci adalah meninggalkan keluarga di tanah air sendiri.

“Pengorbanan paling besar yang saya rasa paling dirasai adalah meninggalkan suami, anak-anak dan mak,” kata Lisa, dalam video yang dimuat naik akaun Instagram rasmi Irkaz Travel.

Hasil perkahwinan Lisa dengan penyanyi, pelakon dan pengarah filem, Datuk Yusry Abdul Halim, 52 tahun, pada 2012, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Yahaira Leanne, 10 tahun; Yusof Leonne, sembilan tahun; dan Yunos Laith, lima tahun.

Sebelum ini, menerusi satu hantaran di Instagram milik Lisa, beliau meluahkan rasa syukur apabila permohonannya diluluskan, namun menerima dengan hati terbuka keputusan yang menimpa suaminya, yang tidak dapat menunaikan haji bersama.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kelulusan rayuan visa Tabung Haji. Segala urusan dipermudahkan.

“Walaupun kami berharap dapat menempuh perjalanan ini bersama, rayuan Abang (Yusry) tidak diluluskan. Namun insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja,” tulisnya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Selain itu, menerusi video yang dimuat naik Irkaz Travel di Instagram, anak sulung Tomok, Arrian Shah Akid, 13 tahun, turut dilihat tidak dapat menahan sebak apabila terpaksa berpisah bagi sementara waktu dengan ibu bapanya.

Hasil perkahwinan dengan bekas pramugari, Rahayu Abas, 46 tahun, Tomok, atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu, Andrashah Iman, 10 tahun; dan Siti Khadijah, enam tahun.

Menerusi satu hantaran yang dikongsi baru-baru ini, Tomok meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang menunaikan ibadah haji pada usia 42 tahun, yang disifatkan sebagai hadiah paling istimewa dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, terima kasih atas segala nikmat yang diberikan, berada di bumi Makkah bersama isteri di hari ulang tahun.

“Inilah nikmat yang harus saya syukuri,” katanya, yang menyambut ulang tahunnya pada 17 Mei lalu.