Pelakon, Nora Danish, 44 tahun, mengakui kini lebih selesa berkawan dengan lelaki dikenali sebagai Mickey Ayo selepas mendapati mereka kurang persefahaman dalam pelbagai aspek.

Nora berkata hubungan yang terjalin sebelum ini tidak lagi berada pada tahap serius, sebaliknya sekadar persahabatan biasa.

“Kita kena melihat banyak perkara sebelum melangkah ke peringkat seterusnya seperti keserasian dan persefahaman.

“Selepas mengenalinya, saya rasa lebih selesa sebagai kawan sahaja.

“Hubungan kami kini tidak lagi serius, sekadar berkawan. Bukan tidak berkawan langsung, kami masih berkawan kerana saya memang berkawan dengan semua orang,” katanya.

Nora ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada majlis tayangan telefilem ‘Poskad Cinta Dari Istanbul’ bagi aplikasi UTV, di Kuala Lumpur pada 30 April.

Menurut Nora, sejak awal lagi beliau tidak pernah mengesahkan lelaki berkenaan sebagai kekasih.

“Lagipun sebelum ini saya tidak pernah mengatakan dia kekasih saya. Kami hanya dalam proses mengenali hati budi, tetapi hubungan itu hanya sampai di sini,” katanya.

Pelakon itu yang juga ibu kepada dua cahaya mata bagaimanapun tidak menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki.

Namun, soal jodoh diserahkan sepenuhnya kepada takdir, apatah lagi selepas melalui dua kegagalan rumah tangga.

“Saya masih single, tidak ada sesiapa yang mendekati dan belum dimiliki,” katanya.

Mengulas spekulasi peminat yang mengaitkannya kembali dengan bekas suami, Datuk Rizal Ashram, Nora menjelaskan beliau hanya mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.

Selain Rizal, Nora turut menjalinkan hubungan baik dengan seorang lagi bekas suami, Nedim Nazri.

“Saya memang selesa berkawan dengan bekas suami.

“Kami ada hubungan baik dan saya selesa begitu, tidak lebih daripada itu. Kita tidak tahu takdir Allah, tetapi buat masa ini kami hanya berkawan.

“Kami berkawan demi menjaga anak-anak, itu sahaja,” katanya.

Nora turut tidak menyalahkan peminat yang membuat andaian, apatah lagi dia sendiri berkongsi foto bersama Rizal sebelum ini sehingga mencetuskan perhatian.