Topik diikuti
Pergi ke BHkuNora Danish terlepas rakaman podcast di Indonesia akibat penerbangan dibatal
Nora Danish terlepas rakaman podcast di Indonesia akibat penerbangan dibatal
Pelakon dan peragawati Malaysia, Nora Danish, terpaksa membatalkan perancangannya untuk terbang ke Jakarta, Indonesia pada 6 September susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta akibat gangguan abu gunung berapi.
Nora, 44 tahun, atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif sepatutnya berlepas menaiki pesawat Batik Air pada 11.45 pagi bagi menjayakan rakaman podcast Habis Cerita di negara jiran berkenaan.
Menurut hantaranya dalam wadah Threads, Nora berkongsi situasi cemas apabila beliau tiba di lapangan terbang sebelum dimaklumkan mengenai pembatalan semua jadual penerbangan ke ibu kota Indonesia itu secara mendadak.
“Saya sepatutnya pergi ke Jakarta untuk penggambaran podcast, tetapi penerbangan dibatalkan susulan letusan Gunung Anak Krakatau yang menjejaskan operasi lapangan terbang di sana.
“Namun saya bersyukur tidak terkandas di sana memandangkan banyak urusan kerja yang perlu diselesaikan di sini.
“Rakaman podcast itu bagaimanapun tetap diteruskan kerana hos Datuk Rossa dan Natasha Ozeir serta barisan artis lain sememangnya sudah berada di Jakarta,” katanya kepada Harian Metro.
Podcast itu bukanlah merupakan kali pertama beliau sepatutnya bergandingan dengan barisan artis Indonesia.
Nora pernah membintangi filem Bukan Cinta Malaikat arahan Aziz M. Osman yang turut menampilkan pelakon dari Indonesia seperti Fachri Albar dan Donita.
Beliau turut pernah membawa watak sebagai Sheila dalam siri filem popular, Surga yang Tak Dirindukan 2 di mana beliau bergandingan dengan Raline Shah, Fedi Nuril dan Laudya Cynthia Bella.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menzahirkan rasa simpati dan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk tempatan serta rakan-rakan yang terjejas susulan bencana alam berkenaan.
“Sejujurnya saya sangat sedih melihat situasi yang berlaku. Sebagai negara jiran, kita harus menunjukkan rasa prihatin dan mendoakan keselamatan mereka.
“Saya mendoakan agar rakan-rakan serta sesiapa sahaja yang terkandas di lapangan terbang di Jakarta dapat pulang ke tanah air dengan selamat.
“Dalam pada itu, elakkan menyebarkan berita yang belum disahkan dan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa,” tambahnya.
