Pelakon asal Singapura, Norish Karman, 51 tahun, menjelaskan kenyataan mahu memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) bernilai RM150,000 ($48,195) hanya sekadar angan-angan.

Norish yang kini menetap di Malaysia bersama anak-anaknya berkata, isu mengenai kenderaan itu tidak sepatutnya diperbesarkan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Rilekslah, semua orang mesti ada angan-angan. Saya pun berangan sahaja, duit tidak ada pun.

“Kita berangan semoga dengan angan-angan itu datangnya usaha dan doa moga Allah swt makbulkan.

“Itu sahaja, tidak payah hendak mendidik orang, ‘buat apa kena beli yang ini, yang itu...’”

“Kita tak tahu rezeki kalau orang hendak bagi,” katanya pada sesi siaran langsung di media sosial bersama usahawan popular Malaysia, Datuk Seri Aliff Shukri, pada 19 April.

Norish berkata, selama 14 tahun bergelar ibu tunggal, beliau hanya memikirkan soal anak-anak yang menjadi keutamaannya.

“Orang tanya, jadi saya jawab. Sebagai emak, saya boleh sahaja jawab saya mahukan (kereta) Ferrari untuk diri saya.

“Tetapi, sudah tidak ada apa untuk diri sendiri. Apa yang saya buat semuanya untuk Allah dan anak-anak. Sampai sudah tiada apa-apa untuk saya,” katanya yang dikenali menerusi filem, Sayang Salmah.

Ujar Norish lagi, keinginan memiliki kenderaan lebih selesa adalah demi manfaat lapan anaknya yang selama ini terpaksa menggunakan pengangkutan tidak sempurna.

“Jadi, apabila orang tanya kalau dapat RM200,000 apa saya hendak buat, besarnya bukan?

“Kalau dapat tentulah hendak bagi anak-anak kereta yang selesa digunakan. Selama ini mereka naik kereta yang tidak ada pendingin hawa.

“Apabila hujan di lebuh raya, tingkap kena tutup dan jadi berkabus. Sebagai ibu, mestilah saya fikirkan keselesaan anak,” ujarnya.

Norish turut berkongsi pegangan hidup yang dipelajari daripada arwah bapanya, Haji Karman Sukarjo, yang menggalakkan sentiasa meminta yang terbaik daripada Yang Maha Esa.

“Saya belajar daripada arwah bapa, minta yang baik-baik. Minta yang hebat-hebat kerana Allah maha memberi.

“Setiap individu berhak untuk mempunyai impian masing-masing tanpa perlu dijadikan isu oleh pihak lain,” katanya yang membintangi siri popular Spa Q.