Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Norlia Ghani terkenang sibuk jaya sesi fotografi semasa muda jelang Syawal

Apr 3, 2025 | 5:02 PM
Pelakon veteran, Norlia Ghani sambut Hari Raya di Kuala Lumpur bersama empat orang anak dan tujuh cucu.
Pelakon veteran, Norlia Ghani sambut Hari Raya di Kuala Lumpur bersama empat orang anak dan tujuh cucu. - Foto INSTAGRAM NORLIAGHANIOFFICIAL48

KUALA LUMPUR: Andai diimbas era 1980-an hingga 1990-an, setiap kali menjelang Aidilfitri, bintang veteran, Norlia Ghani tidak menang tangan melayan permintaan editor dan wartawan majalah hiburan untuk menjayakan sesi fotografi bagi edisi Syawal produk terbitan mereka.

Seiring perjalanan waktu, peningkatan usia dan perubahan dunia media, Norlia yang pernah membintangi filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1969, Kanchan Tirana, sudah tidak ambil pusing soal populariti, apatah lagi usianya sudah menginjak 76 tahun.

Bagi ibu kepada empat cahaya mata dan salah seorangnya ialah pelakon Rusdi Ramli ini, Aidilfitri lebih bermakna jika disambut bersama keluarga tercinta, biarpun sederhana, jauh sekali daripada gemerlapan dunia glamor.

“Andai dahulu, Hari Raya saya ‘meriah’ dengan macam-macam sesi fotografi. Setiap kali tibanya Aidilfitri, muka saya penuh dalam majalah. Tetapi, sekarang, saya sudah tidak kisah.

“Kita bukan artis glamor lagi. Persiapan untuk Aidilfitri biasa sahaja. Saya akan sambut Hari Raya di Kuala Lumpur. “Kalau dahulu, Hari Raya pertama, saya balik ke rumah emak.

Namun, sekarang, saya bersyukur dapat berkumpul bersama anak-anak dan cucu,” katanya kepada BH Online.

Norlia berkata antara detik dinantikan setiap kali tibanya Syawal adalah suasana berkumpul bersama ahli keluarga, apatah lagi, Norlia rapat dengan tujuh cucunya.

“Saya rapat dengan tujuh cucu. Mereka semua tinggal di Kuala Lumpur dan rumah pun berhampiran.

“Selepas emak tiada, kami ikut adat di mana berkumpul dan beraya di rumah adik-beradik paling tua. Jadi, kami akan beraya di rumah kakak di Klang pada hari raya pertama.

“Bagi saya, hari-hari boleh beraya, asalkan ada duit. Jadi, selepas beraya di rumah kakak, kami teruskan rutin Hari Raya yang lain seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai kesihatannya sekarang, Norlia memberitahu, beliau dinasihati doktor untuk menjaga pemakanan dan aktiviti harian kerana mula berdepan isu kesihatan.

“Saya ada sedikit darah tinggi dan penyakit kencing manis baru bermula. Saya jumpa doktor dan beliau nasihati saya agar berjaga-jaga.

“Saya sudah mula kurangkan aktiviti demi kesihatan,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Norlia yang ketika ini sering mengendalikan sesi siaran langsung TikTok, bersyukur masih menerima tawaran lakonan dengan kadar bayaran berbaloi.

“Sepanjang puasa, saya tidak terima tawaran berlakon drama. Sebaliknya, banyak menjayakan ‘shooting’ iklan.

“Saya ada berlakon drama di Singapura, iaitu di bawah produksi Mediacorp.

“Jika ada tawaran dan saya tidak mampu, saya tolak supaya dapat diberikan kepada orang lain,” katanya.

Norlia mempunyai lebih 129,000 pengikut TikTok dengan siaran ‘live’ pertamanya meraih lebih sejuta tontonan.

Norlia terkenal dengan watak Joyah dalam drama keluarga Opah terbitan RTM pada era 1980-an.

Norlia membintangi ratusan filem, telefilem, drama dan sketsa sejak menceburi dunia seni pada 1969.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg