Topic followed successfully
Go to BHkuNourul Depp bangkit perkasa kaum Hawa ‘Kerana Terluka’
Nourul Depp bangkit perkasa kaum Hawa ‘Kerana Terluka’
Terlibat dalam ‘Program Perantis’ bangun dan motivasi diri, selain tunai permintaan peminat bikin konsert
Nourul Depp bangkit perkasa kaum Hawa ‘Kerana Terluka’
Ibarat peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Ia membawa maksud hanya orang yang telah mengalami tahu kesusahan sebenar.
Bagi penyanyi dan usahawan Malaysia, Nourul Depp, 48 tahun, cabaran hidup yang dilalui sepanjang kerjayanya dalam bidang seni dan perniagaan telah menyalakan azam baharu dalam dirinya.
Beliau mahu membantu dan memperkasa kaum Hawa, apatah lagi mereka yang memerlukan suntikan semangat positif.
“Selepas saya bangkit daripada pelbagai cabaran tidak kira ujian kesihatan, perceraian dan membina semula kerjaya, saya berhasrat untuk membantu golongan wanita yang memerlukan,” kongsi Nourul ketika ditemui Berita Harian (BH) di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.
Nourul, atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab, yang mula dikenali dengan lagu hit, Kerana Terluka dan Cinta Azali, telah melalui ujian kesihatan yang mengejutkan pada 2018 apabila doktor memberitahu tubuhnya menunjukkan gejala prabarah.
Beliau mengambil keputusan membuang rahim dan ovarinya atas nasihat doktor.
“Saya rasa semua orang ada kekuatan masing-masing, namun mereka harus tahu cara bagaimana bangkit dan meneruskan kehidupan mereka.
“Walau apa jua yang berlaku, mereka tidak boleh mengetepikan impian atau cita-cita mereka.
“Istilah ‘berputus asa’ tidak harus ada dalam kamus kehidupan,” ceritanya, yang kini juga seorang jurulatih kehidupan setelah mengikuti kurus bersama jurulatih motivasi terkenal dari Amerika Syarikat, Tony Robbins.
KERJASAMA DENGAN KEMENTERIAN M’SIA
Setelah berjaya menganjurkan beberapa sesi ceramah motivasi yang diberi nama, Firetalk, Nourul telah diberi kesempatan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) di Malaysia bagi menghasilkan program yang menyasarkan kaum Hawa.
“Pada 2025, saya diberi peluang membantu wanita bekerjaya menerusi satu program pembangunan diri yang diberi nama, Program Perantis.
“Alhamdulillah, saya dan pasukan saya mendapat dana yang diberikan kementerian dan program itu berjalan selama enam bulan.
“Saya sangat bersyukur ia berjalan lancar dan mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada para peserta,” jelasnya.
ANJUR KONSERT SOLO DEMI PEMINAT
Selain sibuk dengan ceramah motivasinya, Nourul kini membuat persiapan bagi konsert solo pertamanya, For You: Nourul, yang bakal berlangsung pada 30 Mei, 8.30 malam di Zepp KL, Kuala Lumpur, Malaysia.
Mengulas mengenai idea mengadakan konsert tersebut, Nourul mengakui ramai peminatnya meminta agar beliau mengadakan konsert solo selepas muncul bagi satu persembahan khas semasa pertandingan realiti, Kilauan Emas, pada September 2025.
“Saya tidak sangka video saya menyanyi lagu, Kerana Terluka itu akan tular dengan ramai netizen yang mengimbau kenangan remaja mereka menerusi lagu tersebut.
“Konsert ini ditujukan khas buat semua peminat saya yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya sejak berkecimpung dalam industri ini pada lewat 1990-an,” ujarnya yang akan mempersembahkan lagu duetnya seperti Keliru dan Sehati Sejiwa semasa menjadi sebahagian daripada pasangan duo, Ajai & Nurul.
Terdahulu, gabungan pasangan yang mula popular pada 1998 itu menemui titik noktah pada 2006 selepas Nurul bercerai dengan anggota kumpulan Exists, Mohamad Faizal Maas, atau lebih dikenali sebagai Ajai pada tahun yang sama.
Konsert yang dianjurkan oleh syarikat Nourul sendiri, ND Entertainment, bakal menampilkan dua penyanyi undangan, iaitu Mimifly dan Syamel, bagi memberi satu kelainan buat penonton.
“Pastinya saya ingin menerapkan sesuatu yang berbeza seperti susunan muzik yang baharu agar ia menarik bagi penonton yang hadir,” tambah Nourul yang telah menukar tarikh konsertnya disebabkan isu dengan pihak pengurusan sebelumnya.
SOKONGAN PADU SUAMI TERCINTA
Nourul mengakui mendapatkan nasihat suaminya, Eric Depp, apabila membuat keputusan mengambil alih pengurusan konsert tersebut memandangkan beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu.
“Pada mulanya, terdetik keinginan untuk membatalkan konsert ini selepas adanya isu teknikal yang dihadapi.
“Tambahan pula, saya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan konsert.
“Namun, suami saya yang memberi semangat dan nasihat untuk teruskan konsert.
“Beliau berkata ia juga peluang baik untuk saya mempelajari dengan lebih mendalam selok-belok bidang pengurusan konsert,” jelas Nourul yang kini menetap di Bali, Indonesia bersama keluarga.
Beliau berkahwin dengan Depp, yang merupakan usahawan asal Perancis pada 2012, dan mempunyai tiga anak berumur antara enam dengan 12 tahun, hasil perkahwinan tersebut.
Mengakui beliau kini sering pulang ke Malaysia bagi tuntutan tugas, Nourul bersyukur suaminya dapat menggalas tanggungjawab di rumah dan menguruskan keperluan anak-anak mereka.
“Eric seorang yang sangat ‘hands-on’ (terlibat secara aktif dalam asuhan anak), jadi saya tidak risau apabila berada di luar negara.
“Saya turut berpendapat apabila kami berdua berjauhan, ia membuat kami lebih menghargai satu sama lain kerana kami akan sentiasa berkomunikasi tidak kira melalui panggilan video atau pesanan ringkas.
“Kami berdua memang bekerja dari rumah setiap hari, jadi masa berjauhan itu turut membantu.
“Apabila Eric pulang ke Perancis untuk menziarahi keluarganya, ia merupakan tanggungjawab saya pula untuk menguruskan keluarga di rumah, jadi kami berdua saling melengkapi,” kongsi Nourul.
Tiket berharga antara RM198 ($64) dengan RM388 bagi konsert For You: Nourul boleh dibeli melalui laman web, https://bh.sg/nourul
