Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nourul Depp bangkit semangat, rawat hati jadi pakar motivasi

Penyanyi ‘Kerana Terluka’ ingin kongsi cara ubati luka, cari penawar menerusi ceramah motivasi di S’pura pada 20 Sept
Jul 13, 2025 | 5:30 AM
Nourul Depp, Nurul, Nourul Wahab Depp, Firetalk
Penyanyi dan usahawan selebriti Malaysia, Nourul Depp, berharap dapat memberi inspirasi kepada mereka yang hadir ke acara ceramah motivasi yang bakal diadakan di Singapura pada 20 September buat kali pertama. - Foto BM oleh KHALID BABA

Setiap dugaan hidup pasti ada sinar cahaya yang menanti di hadapan.

Bagi penyanyi dan usahawan selebriti Malaysia, Nourul Depp, beliau melihat dugaan yang pernah dilaluinya sebagai pengalaman hidup yang memberinya semangat untuk terus bangkit dan kekal positif. 

Bermula dengan hanya berkongsi pengalaman dan nasihat di media sosial, Nourul, atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab, 48 tahun, bertekad membantu individu yang mengalami cabaran dalam kehidupan mereka. 

Setelah menceburi bidang perniagaan suplemen kesihatan pada 2011, Nourul kini melebarkan sayap dalam bidang motivasi dengan menjadi jurulatih kehidupan dan mengorak langkah mengadakan sesi ceramah yang diberi nama, Firetalk, bagi warga Malaysia. 

“Saya terpanggil untuk menjadi jurulatih kehidupan kerana selalu memberi fokus kepada aspek pembangunan diri dalam perniagaan saya. 

“Ramai orang di media sosial suka video saya ‘berceloteh’ dan berkongsi nasihat. Saya sedar saya perlu menimba ilmu jika mahu membabitkan diri dalam bidang itu secara serius. 

“Justeru, saya mengambil kursus dalam talian selama setengah tahun bersama jurulatih motivasi terkenal, Tony Robbins,” ujar Nourul yang ditemui Berita Minggu (BM) di Hotel Concorde Singapore, Orchard Road, baru-baru ini. 

KONGSI PENGALAMAN HIDUP 

Berdasarkan sambutan yang memberangsangkan daripada empat sesi di Malaysia sejak 2023, beliau memenuhi permintaan peminatnya untuk mengadakan acara itu di Singapura pada 20 September. 

“Idea Firetalk ini datang daripada suami saya, Eric Depp. Beliau berkata saya akan berbual tentang isu yang mungkin ‘berapi’ kerana tidak semua individu mahu memperbaiki diri. 

“Saya harap dapat membantu para peserta mengubah cara pemikiran, gaya hidup dan mempertingkat diri dengan merenung kembali perjalanan hidup mereka. 

“Kadangkala kita tidak sedar mengapa terdapat perasaan negatif dalam diri kita,” tambah Nourul yang bernikah dengan usahawan asal Perancis itu pada 2012 dan mempunyai tiga anak berumur antara enam dengan 12 tahun, hasil perkahwinan tersebut.  

Nourul turut berkata dirinya terbuka untuk berkongsi mengenai cabaran hidup yang dilalui dalam sesi ceramah itu.

Ia termasuk pembabitan awal dalam bidang hiburan, kenangan pahit manis sewaktu aktif menyanyi dan perceraiannya pada 2006 dengan penggubah lagu, rakan duet dan anggota kumpulan Exists, Mohamad Faizal Maas, atau lebih dikenali sebagai Ajai.

Bersama Ajai, mereka mempunyai seorang cahaya mata, Ayu Nazirah, 26 tahun. 

“Saya berkongsi perjalanan hidup saya bukan kerana ingin membuka aib atau memburukkan sesiapa.

“Ia lebih pada apa yang boleh dipelajari daripada kejadian itu dan bagaimana ia boleh menjadi pemangkin untuk memulakan kehidupan lebih baik,” ceritanya yang dikenali dengan lagu, Kerana Terluka dan Cinta Azali. 

BERHIJRAH KE BALI 

Penyanyi Malaysia, Nourul Depp bersama suaminya, Eric Depp (kiri), dan anak-anaknya daripada perkahwinan tersebut, (dua dari kiri) Zachary, Raphael dan Isabella, semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Penyanyi Malaysia, Nourul Depp bersama suaminya, Eric Depp (kiri), dan anak-anaknya daripada perkahwinan tersebut, (dua dari kiri) Zachary, Raphael dan Isabella, semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025. - Foto INSTAGRAM NOURUL DEPP

Ditanya BM mengenai kehidupannya di Bali, Indonesia, Nourul berkata beliau berasa tenang dan bersyukur mempunyai masyarakat yang dapat menerima keluarganya seadanya. 

“Pada mulanya, saya berasa takut apabila ingin berhijrah ke tempat baru.

“Namun, apabila sudah beberapa bulan di sana, saya bersyukur kerana warga Bali sangat memahami dan tidak menghakimi sesiapa sahaja.

“Walaupun kebanyakan penduduknya beragama Hindu, mereka tetap hidup berharmoni dengan mereka yang beragama Islam atau penganut agama lain,” ujarnya yang bermastautin dengan keluarganya ke Bali pada 2021. 

Mereka berpindah ke Bali kerana suami Nourul ingin bersara di sana pada masa hadapan dan menyukai gaya hidup yang tenang dan dipenuhi kehijauan alam. 

Nourul turut mengamalkan adat dan budaya Melayu dalam diri anak-anaknya walaupun tidak berada di tanah airnya. 

“Sejauh mana kita pergi, kita tidak boleh lari daripada asal usul kita. Saya bersyukur suami saya turut mementingkan adab dan rasa hormat yang selari dengan budaya dan adat orang Melayu,” tambahnya. 

HUBUNGAN DENGAN ANAK SULUNG

Mengakui mempunyai perselisihan faham dengan anak sulungnya, Ayu Nazirah, Nourul berkata beliau sentiasa mendoakan yang terbaik buat puterinya itu.

“Saya sudah tidak berjumpa dengannya selama tiga tahun. Dia sudah dewasa dan mempunyai kehidupannya sendiri di Kuala Lumpur, Malaysia. 

“Tiada ibu yang ingin melihat anaknya terluka. Mungkin sebagai ibu, saya berbual dengan penuh emosi dan tidak mahu melihatnya membuat keputusan yang salah.

“Setiap manusia pasti membuat kesilapan. Saya berasa sedih, namun saya sentiasa ada untuk Ayu jikalau dia perlukan apa-apa. 

“Mungkin masa berjauhan ini dapat memberinya kebahagiaan,” ujar Nourul yang ingin membantu golongan ibu bapa yang hadir dengan bercerita mengenai pengalamannya membesarkan empat anak. 

Sesi ceramah selama lapan jam itu bakal mengupas perihal berdepan dengan rasa takut, memahami personaliti diri sendiri dan tirai bakal ditutup dengan persembahan khas oleh Nourul. 

Selebriti Malaysia, Nourul Depp, telah mengadakan empat sesi ceramah motivasi ‘Firetalk’ yang mendapat sambutan memberangsangkan di Malaysia sejak 2023.
Selebriti Malaysia, Nourul Depp, telah mengadakan empat sesi ceramah motivasi ‘Firetalk’ yang mendapat sambutan memberangsangkan di Malaysia sejak 2023. - Foto ihsan NOURUL DEPP

Bagi maklumat lanjut mengenai tiket acara ‘Firetalk’ pada 20 September di Hotel Concorde Singapore, sila hubungi talian 8359-9253 atau ke Instagram Nourul Depp.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg