Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masih cinta, masih rindu nyanyi dan tulis lirik sentuh kalbu

Aug 3, 2025 | 5:30 AM
Nourul Depp, Ajai Nurul, penyanyi, kerana terluka, cinta azali
Walaupun kini memberi tumpuan pada perniagaan dan mengadakan sesi ceramah motivasi, selebriti Malaysia, Nourul Depp, rasa dekat dengan bidang nyanyian dan penulisan, sesuatu yang beliau anggap sebagai cinta pertama yang sebati dalam dirinya. - Foto BM oleh KHALID BABA

Ramai yang mengingati penyanyi Malaysia, Nourul Depp, 48 tahun, menerusi dua lagu hitnya, Kerana Terluka dan Cinta Azali yang dilancarkan pada 1995 dan dimuatkan dalam album pertamanya, Nurul.

Ada juga peminat yang mengingatinya sebagai pasangan duet dalam duo Nurul & Ajai melalui lagu malar segar mereka seperti, Keliru, Maafkanku dan Sehati Sejiwa.

Namun, bakat Nourul bukan hanya terletak pada kekuatan vokalnya. Beliau juga berbakat dalam bidang penulisan, terutama lirik lagu. 

Bersama bekas suaminya, Nourul turut menghasilkan lirik lagu untuk beberapa artis terkenal Malaysia.

Ini termasuk lagu Berserah Kasih nyanyian Dayang Nurfaizah; Rela nyanyian Elyana dan pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2004 bagi lagu, Selagi Ada Cinta, nyanyian Ning Baizura. 

Nourul turut menulis lirik bagi lagu duet popular mereka, Aku Cinta Aku Rindu, yang turut memenangi Lagu Terbaik di AIM pada 1999.

Selain itu, beliau turut mencuba menulis dalam bahasa Perancis bagi albumnya, Humaine, pada 2017. 

Berkongsi dengan Berita Minggu (BM), Nourul, atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab, berkata beliau memang menggemari bidang penulisan sejak di bangku sekolah dan kini dalam proses menghasilkan bukunya yang kedua.  

“Saya memang suka menulis tidak kira lirik, blog atau buku.

“Pada 2007, saya telah menghasilkan buku Nurul – Peribadi, Kerjaya & Masa Depan yang menceritakan mengenai kisah hidup saya ketika itu. 

“Saya kini cuba untuk menyelesaikan penulisan bagi buku terbaru saya yang berbentuk motivasi. 

“Tajuknya buat masa ini ialah, Journal Seorang Mama. Tujuan buku ini adalah untuk memberi inspirasi kepada golongan ibu.

“Saya harap penulisan saya dapat menjadi pembakar semangat untuk kaum ibu yang melalui pelbagai isu.

“Semoga saya boleh menerbitkan buku ini sebelum hujung tahun (2025),” kongsinya.

Ditanya BM mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, Nourul berkata beliau masih menerima undangan bagi majlis korporat walaupun kini jarang muncul di televisyen atau konsert berskala besar. 

“Walaupun saya kini fokus pada perniagaan dan sibuk menjadi jurulatih kehidupan, tentu saya masih rasa dekat dengan bidang nyanyian kerana ia cinta pertama saya dan sudah menjadi sebahagian daripada identiti saya,” cerita Nourul. 

Beliau tidak menolak peluang untuk merakam lagu baru, namun mengakui ia sukar untuk menandingi kejayaan lagu-lagu terdahulunya.

“Sejujurnya, ada penggubah lagu yang takut untuk bekerjasama dengan saya. 

“Mereka tahu saya pernah bersama Ajai suatu ketika dahulu dan menghormati beliau sebagai penggubah lagu yang berjaya. 

“Saya mengingati apa yang dikata seorang penggubah lagu hampir 15 tahun lalu (2010) apabila saya ingin membuat lagu secara solo. 

“Beliau kata dirinya tidak boleh ‘feel’ (penjiwaan) nyanyian saya dan ‘takut’ untuk hasilkan lagu untuk saya. 

“Saya tidak ambil hati. Jikalau ada peluang yang sesuai, saya akan terima insya-Allah,” jelas Nourul, yang kali terakhir muncul dengan lagu berbentuk motivasi, Dan Kini, pada Mac 2020, ciptaan Shah Shamsiri dan Sharon Paul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg