SHAH ALAM: Pelakon Fattah Amin mengakui gembira melihat rakan artis mendoakan yang baik-baik buatnya, apatah lagi apabila ia turut datang daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Fattah berkata beliau tersentuh apabila Siti turut tampil dalam sesi siaran langsung di platform TikTok yang dilakukan bersama penyanyi Amira Othman sebelum ini, lapor akhbar Berita Harian Malaysia.
“Saya sebenarnya tak boleh baca komen dan apabila Amira beritahu Siti ada komen, saya macam ‘blur’ pun ada.
“Bagi saya, kena selalu cakap dan doa yang baik-baik pada bulan Ramadan. Jadi, salah satu komen yang baik-baik datang daripada Siti.
“Saya sangat gembira, tapi nak komen lebih-lebih tak berani,” katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pelakon drama Keluarga Itu di Lado By The Lake, di sini, pada 26 Mac
Baru-baru ini, Siti turut menyertai ‘live’ yang dilakukan Fattah dan Amira, sekali gus mencuri tumpuan ramai apabila secara spontan penyanyi itu meninggalkan komen.
“Tak sabar nak merenjis,” komen Siti Nurhaliza ringkas.
Terkejut dengan komen itu, Amira turut membuat permintaan kepada Siti Nurhaliza untuk menyanyi pada majlis perkahwinannya, suatu hari nanti.
“Mak Iti, saya ada satu soalan. Kalau saya kahwin, Mak Iti sudi tak datang nyanyi? Sebab saya nak bayar Mak Iti saya tak mampu,” kata Amira. Lantas Siti Nurhaliza terus memberi jawapan terhadap permintaan Amira itu.
“Insya-Allah, boleh,” jawab Siti Nurhaliza.
Berikutan itu, Fattah berkata beliau mengharapkan orang ramai terus mendoakan yang baik-baik buatnya dan Amira.
“Saya dan Amira, hanya rakan sekerja sebab kami bekerjasama, itu sahajalah. Doa yang baik-baik, tapi apapun saya dan Amira, berkawan,” katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya jika boleh menggelarkan diri beliau dan Amira sebagai teman tapi mesra, Fattah mengiyakan.
“Bolehlah tapi mesra atas terma kerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Fattah berkata keluarga merestui dan sukakan Amira, malah penyanyi itu turut hadir pada acara bersama keluarganya.
“Keluarga gembira tengok saya berkawan dengan Amira. Beliau rakan artis dan teman kerja yang baik,” katanya.
Selain itu, Fattah mengakui ada mengirimkan doa kepada Amira yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah.
“Beliau pergi pada masa doa mustajab iaitu pada 10 malam terakhir Ramadan. Jadi, ada doa yang saya kirimkan, semoga doanya dimakbulkan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg