Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pas Budaya SG: Perkasa seniman, semai cinta dan minat masyarakat dalam seni budaya S’pura

Pengamal dan pencinta seni bicara peranan masyarakat dalam memelihara warisan seni budaya tanah air
Sep 14, 2025 | 5:30 AM
Pementasan tarian berjudul ‘Semarak Seni 2025’ oleh akademi tarian Melayu Singapura, Sri Warisan, menjadi antara pertunjukan seni budaya yang dapat memanfaatkan Pas Budaya SG bagi meningkatkan sokongan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam seni tarian Melayu.
Pementasan tarian berjudul ‘Semarak Seni 2025’ oleh akademi tarian Melayu Singapura, Sri Warisan, menjadi antara pertunjukan seni budaya yang dapat memanfaatkan Pas Budaya SG bagi meningkatkan sokongan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam seni tarian Melayu. - Foto fail

Dalam dunia seni yang sentiasa berubah dan berkembang, peranan masyarakat amat penting dalam memberikan sokongan serta menzahirkan minat terhadap kegiatan seni dan budaya. 

Sokongan ini menjadi nadi utama bagi memastikan kelestarian seni dan budaya di Singapura terus terpelihara dan maju.

Tambahan pula, semakin banyak kumpulan seni tempatan yang tampil dengan persembahan kaya dengan nilai seni dan warisan budaya, menyajikan hiburan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu membangkitkan rasa cinta dan minat mendalam terhadap seni.

Antaranya adalah pementasan tarian Melayu berjudul, Semarak Seni 2025, hasil usaha akademi seni tarian Melayu tempatan, Sri Warisan.

Pementasan ini menyatukan unsur tradisional dan kontemporari dalam satu karya yang penuh makna, menampilkan para penari daripada pelbagai lapisan umur dan rentas generasi.

Pengarah Kreatif Sri Warisan, Marina Yusoff, menegaskan bahawa pementasan Semarak Seni 2025, yang berlangsung pada 13 September di Pusat Budaya Republic (TRCC), Politeknik Republic, bukan sahaja bertujuan menarik minat generasi muda, malah juga mendidik masyarakat secara menyeluruh melalui persembahan seni yang menghiburkan.

Pengarah Kreatif Sri Warisan, Marina Yusoff, menganggap inisiatif Pas Budaya SG bermakna kerana mampu menggalakkan generasi muda memahami dan menghargai seni, terutamanya budaya Melayu yang kini semakin kurang mendapat perhatian.
Pengarah Kreatif Sri Warisan, Marina Yusoff, menganggap inisiatif Pas Budaya SG bermakna kerana mampu menggalakkan generasi muda memahami dan menghargai seni, terutamanya budaya Melayu yang kini semakin kurang mendapat perhatian. - Foto fail

Pementasan ini juga selari dengan pelaksanaan inisiatif Pas Budaya SG, yang memberi peluang kepada rakyat Singapura berusia 18 tahun dan ke atas untuk menebus kredit bagi menyertai pelbagai acara seni dan budaya.

Menurut Marina, inisiatif ini membuka ruang yang lebih luas bagi masyarakat mendapat akses pada pertunjukan seni budaya tempatan.

“Pas Budaya SG adalah satu inisiatif yang sangat bermakna kerana ia menggalakkan generasi muda memahami dan menghargai seni, terutamanya budaya Melayu yang kini semakin kurang mendapat perhatian.

“Walaupun tiket sudah mula dijual sebelum 1 September (sejajar pelancaran Pas Budaya SG), kami tetap berusaha keras untuk mendidik masyarakat mengenai penggunaan inisiatif ini. 

“Alhamdulillah, hasilnya, penjualan tiket meningkat dengan ketara selepas pelancaran Pas Budaya SG,” kata beliau.

Dari sudut pandang pencinta seni, inisiatif ini membawa kesan yang berbeza-beza.

Menurut Cik Airys Isabelle Mohammad Amir Hamzah, 21 tahun, Pas Budaya SG sangat membantu dalam meningkatkan kesedaran terhadap cabang seni yang kurang dikenali di Singapura.

Beliau turut berpendapat bahawa ramai anak seni yang berbakat dan memberi inspirasi, namun masih terhad peluang untuk menonjolkan karya mereka akibat pelbagai kekangan.

“Pas ini membolehkan saya menikmati seni tanpa perlu berbelanja lebih, sekali gus memberi ruang kepada penggiat seni kecil menarik minat masyarakat dengan lebih luas.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan seniman, malah menggalakkan masyarakat untuk lebih mengenali dan menghargai karya seni tempatan,” ujarnya, yang kini bertugas sebagai Eksekutif Jaringan Masyarakat dan Pemasaran.

Minatnya yang mendalam dalam seni juga telah mendorong beliau menganjurkan acara seni sendiri.

Sementara itu, Cik Jamilah Othman, seorang guru maktab rendah, 43 tahun, juga berkongsi pandangannya:

“Saya percaya Singapura memiliki banyak bakat luar biasa, dan saya sentiasa teruja menghadiri persembahan yang menampilkan bakat-bakat ini. 

“Sebagai contoh, jika Siti K terlibat dalam mana-mana pementasan, saya pasti akan cuba menonton.

“Dalam acara budaya pula, masih banyak aspek budaya kita, termasuk budaya Melayu dan budaya lain di Singapura, yang belum saya ketahui sepenuhnya.

“Saya rasa penting untuk mendalami aspek-aspek ini kerana ia turut membentuk perkembangan budaya kita sepanjang zaman.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg