Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teroka kegiatan menarik, dekati seni dan warna budaya S’pura

Nikmati kegiatan atau pertunjukan seni dan budaya dengan kredit Pas Budaya SG
Sep 14, 2025 | 5:30 AM
Antara kegiatan seni yang boleh dinikmati gunakan kredit Pas Budaya SG adalah pementasan ‘The Fourth Trimester’ oleh kumpulan teater, The Checkpoint Theatre, yang bakal diadakan di Teater Pusat Drama, Bangunan Perpustakaan Negara, antara 20 dengan 30 November.
Antara kegiatan seni yang boleh dinikmati gunakan kredit Pas Budaya SG adalah pementasan ‘The Fourth Trimester’ oleh kumpulan teater, The Checkpoint Theatre, yang bakal diadakan di Teater Pusat Drama, Bangunan Perpustakaan Negara, antara 20 dengan 30 November. - Foto CHECKPOINT THEATRE

Penggemar seni tempatan kini boleh menikmati sajian hiburan seni dan budaya yang kaya di Singapura dengan mudah.    

Sejak 1 September, warga Singapura berusia 18 tahun ke atas menerima $100 kredit Pas Budaya SG.

Ia boleh digunakan bagi pelbagai acara seni dan warisan tempatan seperti pameran, bengkel kreatif, lawatan budaya dan pengalaman di muzium termasuk Galeri Nasional Singapura. 

Dengan adanya inisiatif ini, lebih ramai berpeluang mendekati dunia seni, menelusuri warisan, serta menghidupkan kembali pengalaman budaya di Singapura.

Berita Minggu (BM) menyenaraikan lima senarai pementasan dan kegiatan seni serta budaya yang boleh dinikmati menggunakan kredit Pas Budaya SG.

Pementasan teater ‘The Fourth Trimester’ oleh The Checkpoint Theatre

Antara pelakon yang terlibat dalam pementasan ‘The Fourth Trimester’ oleh The Checkpoint Theatre ialah Al-Matin Yatim (kiri) dan Rusydina Afiqah.
Antara pelakon yang terlibat dalam pementasan ‘The Fourth Trimester’ oleh The Checkpoint Theatre ialah Al-Matin Yatim (kiri) dan Rusydina Afiqah. - Foto CHECKPOINT THEATRE

Pementasan teater ‘The Fourth Trimester’, hasil karya Faith Ng dan dibawakan oleh kumpulan teater tempatan, The Checkpoint Theatre, bakal menemui penonton sekali lagi di Pusat Drama, Bangunan Perpustakaan Negara, antara 20 dengan 30 November.

Karya yang dipentaskan buat julung-julung kalinya pada 2022 itu telah memenangi kategori Penghasilan Terbaik dan Skrip Asal Terbaik pada Anugerah Teater Straits Times Life 2023. 

Secara mendalam, drama ini menyingkap pengalaman dan cabaran kehidupan sebagai ibu bapa baru serta pasangan muda di Singapura, menjadikan pementasan ini tontonan penuh makna dan kaya pesanan bagi semua lapisan masyarakat.

Pementasan ini mengisahkan tentang pasangan ibu bapa baru, Samantha (lakonan Isabella Chiam) dan Aaron (Joshua Lim), yang dihimpit rasa beban menjaga anak sulung mereka.

Pasangan suami isteri, Daniel (Hang Qian Chou) dan Lisa (Julie Wee), pula pada mulanya merasa bahagia dengan kehadiran dua orang anak.

Bagaimanapun, lama-kelamaan mereka berdepan masalah komunikasi dan pertengkaran yang kian kerap akibat kurangnya tanggungjawab antara satu sama lain.

Sementara itu, adik Lisa, Ann (Oon Shu An), kelihatan ampuh sebagai seorang wanita berdikari, namun beliau masih menyimpan luka lama terhadap bekas teman lelakinya, Johan (Al-Matin Yatim). 

Johan dan isterinya, Sofia (Rusydina Afiqah), pula merupakan jiran baru Samantha dan Aaron.

Pada masa yang sama, mereka menghadapi tekanan sosial dan kekecewaan apabila gagal untuk menimang cahaya mata.

Dengan sentuhan pengarahan kaya emosi oleh Claire Wong, serta kesenian teknik penyusunan persembahan yang penuh lapisan oleh Huzir Sulaiman, karya Ng membawa perspektif segar dan relevan tentang isu keibubapaan, identiti dan erti kebahagiaan dalam konteks Singapura moden.

Tiket berharga antara $50 dengan $98 boleh didapatkan melalui pautan laman web Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/checkpoint1125

Pementasan muzik Nusantara, Rimba Sakti oleh Nadi Singapura 

Nadi Singapura merupakan sebuah kolektif muzik yang bertenaga, terdiri daripada pemuzik dan penghibur yang berdedikasi untuk memulihara dan menghidupkan seni genderang dan alat muzik tradisional Melayu.
Nadi Singapura merupakan sebuah kolektif muzik yang bertenaga, terdiri daripada pemuzik dan penghibur yang berdedikasi untuk memulihara dan menghidupkan seni genderang dan alat muzik tradisional Melayu. - Foto fail

Bagi penggemar muzik Nusantara, mereka juga boleh menikmati persembahan penuh tenaga, Rimba Sakti, yang bakal dipentaskan oleh kumpulan Nadi Singapura, pada 25 Oktober, bermula 8 malam di Teater Festive Arts, Our Tampines Hub.

Nadi Singapura merupakan sebuah kolektif muzik yang bertenaga, terdiri daripada pemuzik dan penghibur yang berdedikasi untuk memulihara dan menghidupkan seni genderang dan alat muzik tradisional Melayu.

Sementara itu, Rimba Sakti adalah sebuah perjalanan muzik yang mengasyikkan, menyulam rentak dan bunyi dari Singapura serta Nusantara. 

Melalui gabungan karya asli dan tradisional yang diolah semula, Nadi Singapura meneroka inti unsur semula jadi iaitu kulit, kayu dan logam, sekali gus menggunakan unsur ini untuk membentuk persembahan yang sarat dengan pukulan gendang dan alat muzik tradisional.

Terinspirasi daripada keindahan liar hutan dan alam, persembahan ini mengangkat penghormatan terhadap hubungan mendalam antara alat muzik tradisional Melayu seperti rebana, jidur, gendang, kompang, hadrah dan gong dengan unsur semula jadi yang telah lama mempengaruhi tradisi muzik rantau ini.

Lebih menarik lagi, persembahan ini turut menampilkan untaian lagu dari album studio terbaru Nadi Singapura, Kito & Kita.

Tiket berharga antara $25 dengan $60 boleh didapatkan melalui pautan laman web Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/rimba1025

Pameran berbilang media, SingaPop! 60 Tahun Budaya Pop Singapura di Muzium Seni Sains

Pameran berbilang media ‘SingaPop! 60 Tahun Budaya Pop Singapura’ berlangsung antara 2 Ogos dengan 28 Disember di Muzium Seni Sains, bagi meraikan sejarah dan perkembangan lebih enam dekad budaya pop di Singapura.
Pameran berbilang media ‘SingaPop! 60 Tahun Budaya Pop Singapura’ berlangsung antara 2 Ogos dengan 28 Disember di Muzium Seni Sains, bagi meraikan sejarah dan perkembangan lebih enam dekad budaya pop di Singapura. - Foto MARINA BAY SANDS

Pencinta suasana nostalgia juga pastinya tidak ingin melepaskan peluang menikmati pameran SingaPop! 60 Tahun Budaya Pop Singapura di Muzium Seni Sains yang berlangsung antara 2 Ogos dengan 28 Disember.

Pameran berbilang media yang disusun secara kreatif oleh penyanyi, pencipta lagu, penulis sekali gus ikon budaya, Dick Lee, merupakan suatu penghormatan kepada budaya pop Singapura selama lebih enam dekad – menggabungkan pelbagai unsur kehidupan seharian menggariskan identiti Kota Singa dari muzik, filem, fesyen, bahasa Singlish hinggalah Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Antara permainan interaktif yang menarik termasuk Satay Stall atau gerai sate, di mana pengunjung boleh merasakan pengalaman menjadi ‘tukang sate’ dan memanggang hidangan tersebut sendiri.

Tiket berharga $20 boleh didapati melalui pautan laman web Muzium Seni Sains di https://www.marinabaysands.com/museum/exhibitions/singapop.html

Pengembaraan interaktif penuh misteri, ‘Framed: A Murder Mystery’ di Galeri Nasional Singapura

Pengembaraan penuh misteri, ‘Framed: A Murder Mystery’, anjuran Galeri Nasional Singapura, membawa peserta menelusuri bangunan sekitar City Hall dan Mahkamah Agung, di mana sebanyak 12 petunjuk menarik sedang menanti untuk ditemui. 
Pengembaraan penuh misteri, ‘Framed: A Murder Mystery’, anjuran Galeri Nasional Singapura, membawa peserta menelusuri bangunan sekitar City Hall dan Mahkamah Agung, di mana sebanyak 12 petunjuk menarik sedang menanti untuk ditemui.  - Foto NATIONAL GALLERY SINGAPORE

Sertai pengembaraan misteri pembunuhan, ‘Framed: A Murder Mystery’ yang mendebarkan, dengan menyelesaikan teka-teki, membongkar rahsia tersembunyi, dan menyaksikan bagaimana seni mampu membentuk, menyamarkan, atau mendedahkan identiti seseorang. 

Melalui permainan interaktif berpandu sendiri menggunakan wadah WhatsApp, peserta boleh bergerak mengikut rentak masing-masing sambil menyelami jalan cerita penuh debaran.

Pengembaraan ini membawa peserta menelusuri bangunan sekitar City Hall dan Mahkamah Agung, di mana sebanyak 12 petunjuk menarik sedang menanti untuk ditemui. 

Setiap petunjuk direka khusus bagi menggalakkan kerjasama pasukan sambil memperkenalkan ruang unik di Galeri Nasional Singapura. 

Di setiap perhentian, peserta bukan sahaja akan menyelesaikan teka-teki, malah memperoleh ilmu baru tentang karya seni dan sejarah seni bina di galeri tersebut.

Tiket berharga $29.90 boleh didapati melalui pautan laman web Galeri Nasional Singapura di https://www.nationalgallery.sg/sg/en/workshops/framed-a-murder-mystery-at-national-gallery-singapore.html

Pesta Muzik, Sing60 di Fort Canning Green

Sebuah pesta muzik yang meraikan enam dekad muzik di Singapura iaitu, Sing60, bakal diadakan pada 6 dan 7 Disember di Fort Canning Green, yang terletak di kawasan Taman Fort Canning.

Dilengkapi dengan dua pentas serta tiga segmen utama, pesta muzik ini menjanjikan kepelbagaian muzik terdiri daripada pop, indie dan alternatif.

Segmen Homegrown Icons menampilkan barisan artis popular seperti Benjamin Kheng, Charlie Lim, Corrinne May, Mavis Hee, Shabir, Iman Fandi, Imran Ajmain, Shazza dan ramai lagi. 

Manakala, Bandwagon Sessions meraikan muzik indie dan alternatif dengan persembahan daripada kumpulan Caracal, Motifs, sub:shaman serta The Great Spy Experiment. 

Di samping itu, pesta muzik tersebut turut mengadakan ruang niaga, Festival Village, yang menampilkan jenama tempatan merangkumi fesyen, seni dan juga makanan.

Tiket Sing60 berharga $40 bagi pas satu hari dan $60 bagi pas dua hari, boleh ditempah melalui laman web Sistic di pautan https://www.sistic.com.sg/events/sing1225

Apa kata pengamal serta pencinta seni mengenai inisiatif kredit Pas Budaya SG?

“Ia merupakan satu inisiatif yang sangat baik kerana dapat mendorong masyarakat serta meningkatkan kesedaran mereka terhadap wadah dan kegiatan seni seperti bengkel dan pementasan budaya. 

“Selain itu, ia turut membuka peluang bagi generasi muda berusia 18 tahun ke atas untuk memahami serta menikmati wadah dan pementasan seni budaya.

“Apatah lagi melihat pada budaya Melayu tempatan yang semakin kurang mendapat perhatian. Dengan itu, pas ini juga mampu meningkatkan minat anak muda untuk mengenali seni budaya Melayu Singapura.” Marina Yusof, Pengarah Kreatif Sri Warisan

“Memang ia satu langkah baik untuk meningkatkan kesedaran tentang sisi hebat Singapura yang sering tersembunyi.

“Ramai di antara seniman kita yang begitu berbakat dan memberi inspirasi, namun terikat dengan pelbagai kekangan.

“Harapan saya, inisiatif ini mampu menyebarkan lebih banyak kesedaran serta mendorong orang ramai untuk meneroka, dan menghargai apa yang Singapura tawarkan iaitu masyarakatnya sendiri.” Cik Airys Isabelle Mohammad Amir Hamzah, 21 tahun, Eksekutif Jaringan Masyarakat dan Pemasaran

“Pas ini memberi saya dorongan untuk menghadiri acara yang biasanya tidak saya minati.

“Dengan cara ini, manfaatnya juga lebih dirasai oleh kumpulan seni yang lebih kecil, berbanding mereka yang sudah terkenal dan mempunyai pendedahan serta minat yang meluas.” Cik Jamaliah Othman, 43 tahun, guru maktab rendah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg