SPH Logo mobile
Langgan|

Pelakon ‘air mata’ julang piala Bintang Cilik Terbaik

Pelakon ‘air mata’ julang piala Bintang Cilik Terbaik

May 26, 2025 | 5:30 AM

Pelakon ‘air mata’ julang piala Bintang Cilik Terbaik

StigMa Lea, Mishall Kiara, Pesta Perdana 2025
Mishall Kiara sentiasa berusaha menggilap kemahirannya dalam dunia lakonan dan bersyukur apabila lakonannya dalam telefilem Hari Ibu, ‘StigMa Lea’, membawa pada kemenangan Pesta Perdana bagi Bintang Cilik Terbaik. - Foto MEDIACORP

Meskipun dirinya merupakan anak tunggal dalam keluarga, bakat remaja kacukan Melayu dan Serani, Mishall Kiara, tidak rasa kesunyian kerana kerjaya lakonan dan pengacaraan yang sudah pun dibina daripada kecil lagi.

Menerusi kemunculannya di kaca televisyen sejak 2020 bagi drama seperti Retak, Hasrat Tersirat serta siri televisyen, Makan Skuad, Stor Atuk 2, dan Kelab JMJ 2, Mishall, 13 tahun, mengenali teman-teman baru yang turut menjayakan rancangan tersebut.

Nyala rasanya pada bidang lakonan dan pengacaraan kian menyerlah dengan pelajar Sekolah Menengah Compassvale ini dicalonkan bagi Pesta Perdana sebanyak tiga kali, iaitu 2021, 2023 dan 2025.

Lakonan pertamanya dalam Retak, yang memerlukan dia menitiskan air mata membawa pada pencalonan pertama Pesta Perdana pada 2021.

Ini disusuli pencalonan kedua pada 2023 bagi Hasrat Tersirat.

Meskipun tiada rezeki untuk menang, Mishall terus memburu cita-citanya untuk menjadi pelakon cilik berwawasan dengan mengasah kemahirannya dengan banyak bertanya kepada bakat yang lebih mahir sehingga akhirnya dinobatkan sebagai Bintang Cilik Terbaik pada Pesta Perdana 2025 yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei.

Kemenangan Mishall adalah bagi telefilem Hari Ibu, StigMa Lea, mengenai kehidupan ibu tunggal di mana dia membawa watak sebagai anak seorang ibu tunggal yang dibelenggu pelbagai ujian hidup. Watak ibu itu dibawakan oleh pelakon teater tidak asing lagi, Siti K, atau nama sebenarnya, Siti Khalijah Zainal.

Artis cilik lain dalam kategori Bintang Cilik Terbaik adalah Adrianna Putri (Mencari Marina); Nik Aqimi (Juara Mic Junior Siri 2 dan S.P.Y Siri 2), serta Shaqeel Jailani (Makan Skuad).

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Mishall yang masih dalam keadaan terkejut, berkata:

“Saya sebenarnya terperanjat apabila diumumkan sebagai pemenang. Sebabnya, rakan-rakan saya yang lain memang pelakon atau pengacara cilik yang hebat.

“Saya mula berlakon secara serius pada 2020 selepas terlibat dalam penggambaran iklan dan menjadi pelakon tambahan bagi watak kecil-kecilan. Saya dilamar untuk drama sosial, Retak.

“Minat saya memang ada dalam bidang seni. Lantas, ibu saya mengusahakan untuk saya didedahkan pada bidang lakonan di kaca televisyen sebelum saya diberi peluang mengacara pula.”

Baginya, peranan dalam StigMa Lea juga memerlukannya menangis dan diulit emosi kerana sebagai anak seorang ibu tunggal, dia juga perlu memberi semangat baru buat ibunya yang dibelenggu bermacam masalah.

Dia juga mempunyai abang (lakonan Syaz Smooth) yang meragam kerana keperluan menyesuaikan diri dalam suasana baru apabila ibu bapa mereka bercerai.

Kata Mishall: “Ada babak di mana saya perlu menitiskan air mata. Saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baru ibu sebagai ibu tunggal dan dalam suasana serba berbeza.

“Saya perlu memberi sokongan buat ibu yang mempunyai banyak kesulitan hidup dan perlu menggagahkan semangatnya berdikari.

“Tapi masalahnya, saya dikelilingi kru set penggambaran yang ceria dan suka buat lawak. Jadi baik-baik saya nak menangis, sampai susah sebab asyik ketawa. Susah nak ‘tangkap’ mood sedih.”

Di sekolah, Mishall juga menyertai Kelab Drama kerana berlakon sudah sebati dalam dirinya.

“Saya sebenarnya bangga dengan apa yang saya usahakan dan capai sepanjang lima tahun bergiat aktif dalam dunia televisyen. Kawan sekolah selalu bertanya bagaimana kehidupan sebagai pelakon remaja.

“Saya dapat ramai kawan. Walaupun saya anak tunggal, hidup saya selalu gembira dikelilingi teman-teman yang memberi dorongan positif serta kehadiran adik sepupu saya yang sudah saya anggap seperti adik sendiri,” tambahnya, yang kini di Menengah Satu.

Mishall, yang turut dicalonkan bagi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik bagi filem ringkas, Emak, untuk Anugerah Filem Belia Kebangsaan Scape 2023, ingin terus membanggakan ibu bapanya yang merupakan tulang belakang dalam dirinya menceburi bidang seni.

“Saya hanya kepingin bawa watak lebih mencabar sebagai seseorang yang mengalami masalah mental sehingga ingin membahayakan kehidupan sendiri, tiada empati pada orang atau penyesalan dan sering mengasingkan diri,” katanya lagi yang tidak kisah jika perlu berkorban masa dan keringat untuk memperbaiki seni lakonannya.

Mishall juga berpesan kepada kanak-kanak dan remaja lain yang ingin berjaya dalam dunia lakonan agar tidak mudah berputus asa dan tidak gentar apabila diserahkan dengan dialog yang banyak untuk dihafal bagi sesebuah naskhah drama atau telefilem.

“Cabaran sentiasa ada. Tapi kalau nak berjaya, mesti nak rajin mencuba dan usah patah semangat,” katanya lagi.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg