Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon akan rindu kemesraan suami isteri buru hantu

Sep 15, 2025 | 5:30 AM
Vera Farmiga, The Conjuring, Patrick Wilson
Vera Farmiga (kiri) menganggap empat filem dalam francais, ‘The Conjuring’, yang dijayakannya bersama Patrick Wilson, berjaya mewujudkan unsur romantis sepasang suami isteri yang sehati sejiwa menentang hantu, meskipun sekitaran hidup mereka sentiasa mencemas dan membimbangkan. - Foto WARNER BROS

Lebih sedekad lamanya, pelakon, Vera Farmiga dan Patrick Wilson, berjaya menjadikan babak mengejar hantu dalam francais filem seram terkenal, The Conjuring, persis adegan romantik sepasang suami isteri.

Selepas filem keempat dan terakhir, The Conjuring: Last Rites, ditayangkan pada 4 September lalu di serata dunia termasuk Singapura, masanya sudah tiba bagi Farmiga dan Wilson, kededuanya 52 tahun, mengucapkan “Selamat Tinggal” pada watak ahli nujum, Lorraine Warren dan pakar kaji hantu, Ed Warren.

Sebelum ini, nama mereka kian dikenali melalui tiga filem terdahulu, The Conjuring (2013), The Conjuring 2 (2016), The Conjuring: The Devil Made Me Do It (2021).

Filem itu bersandarkan kisah paranormal sebenar yang melibatkan siasatan yang perlu Lorraine dan Ed jalankan.

Filem pertama mengisahkan tentang keluarga Perron yang diganggu di dalam rumah baru mereka di Pulau Rhode.

Kisah kedua pula adalah mengenai kes kontroversi hantu poltergeist di Enfield,

The Conjuring: The Devil Made Me Do It, pula berlegar di sekitar perbicaraan kes Arne Cheyenne Johnson, yang didapati bersalah membunuh tuan rumah, Alan Bono, pada 1981 di Connecticut.

Dia menganggap keganasannya itu didorong syaitan yang menguasai dirinya dalam satu kerasukan.

Filem terakhir pula mengisahkan tentang cermin berhantu dan keluarga Smurl yang diganggu oleh banyak kejadian aneh di rumah mereka.

Apakah perasaan Farmiga dan Wilson apabila mereka menutup tirai terbabit dalam francais filem, The Conjuring?

Dalam satu wawancara bersama laman web, MovieWeb, Farmiga yang bermula sebagai pelakon teater, berkata:

“Saya kira menerusi francais filem, The Conjuring ini, saya dan Patrick berjaya membuat penonton filem terpaut pada adegan-adegan kami mengejar, diganggu dan dihantui hantu.

“Mereka boleh rasakan cinta watak Ed dan Lorraine mekar dalam gejolak rasa cemas dan serba tak keruan, mengejar dan melenyapkan hantu jadi begitu romantis pula!

“Hubungan Ed dan Lorraine jadi begitu mesra walaupun kerap kali diburu rasa takut dalam misi mereka membantu keluarga-keluarga yang terjejas.

“Apabila segalanya berakhir, yang akan saya rindui adalah babak saspens yang menyulam cinta dua insan ini.”

Wilson, bapa dua anak yang juga mula jatuh hati pada dunia teater selepas diterima sebagai ‘intern’ dalam muzikal Miss Saigon, pula menambah:

“Sebenarnya, tiada kejutan francais filem yang terkenal seperti The Conjuring ini akan sampai ke titik noktahnya walau digemari ramai.

“Takkan asyik nak kembali melakukan sesuatu yang sama setiap kali. Awalnya, memang tak sangka filem seram ini akan ‘meletup’.

“Kami meneruskan usaha kami ‘menakutkan’ penonton dengan babak seram daripada filem pertama, kedua, ketiga dan keempat.

“Bagaimanapun, yang akan saya rindui adalah bagaimana dalam filem seram, tetap wujud adegan penuh emosi antara suami isteri yang jiwa raga dan tenaganya diperah kerana misi mengejar hantu ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg