Teka-teki rumah tangga pelakon Malaysia, Aprena Manrose, goyah akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan perkahwinan dengan Mohd Afiq Hazman, sudah berakhir.
Sebelum ini, mereka telah mendirikan rumah tangga pada 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Dalam satu hantaran Instagram yang dimuat naiknya, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 32 tahun, memaklumkan dirinya bukan lagi isteri Mohd Afiq.
Bagaimanapun, Aprena, yang merupakan anak hasil perkongsian hidup, penyanyi dangdut terkenal era 90-an, Iwan Syahman, dan pelakon popular era 80-an, Allahyarhamha Rosnah Mohd Noor, tidak mendedahkan butiran terperinci termasuk punca dan tarikh perceraian.
“Ya, saya bukan lagi isteri kepada Afiq.
“Kalau ada jodoh tak ke mana,” tulisnya pada hantaran yang memaparkan beberapa keping foto bersama bekas suami.
Terdahulu, Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan Aprena menafikan desas-desus berdepan kerosakan rumah tangga meskipun hangat diperkatakan.
Menerusi hantaran sama, pengasas jenama pakaian wanita koleksi Syawal, Leepat.Co, itu memaklumkan beliau sudah berusaha menyelamatkan perkahwinannya, namun kini Aprena mengibarkan bendera putih.
“Saya cuba, bertahan dan usaha tetapi saya gagal. Tiada lagi kita.
“Terima kasih atas rasa yang diberi dan rasa yang luar biasa. Semoga berbahagia.
“Saya undur diri dulu,” luahnya sambil memberi bayangan sukar untuk beliau dan Afiq kembali bersama.
Sementara itu, adik kepada pelakon Oktovia Manrose itu berharap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik untuk dirinya dalam menempuh ujian mendatang.
“Selamat tinggal untuk sekarang atau mungkin selama-lamanya. Doakan saya mengharungi fasa yang baru ini dengan tenang,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg