Dalam dunia hiburan, selebriti tidak terlepas daripada menjadi sorotan dan bualan netizen.
Tersilap langkah sedikit, pasti akan terima kecaman atau kritikan netizen atau warganet di laman media sosial.
Seperti peribahasa yang berbunyi, air pun ada pasang surutnya, begitulah pandangan pelakon Malaysia, Aprena Manrose, 31 tahun, apabila ditanya mengenai penghijrahannya setelah memakai tudung.
Menurut Aprena, beliau memutuskan untuk bertudung ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku lima tahun lalu (2020).
Namun, pada 2024, namanya kembali diperkatakan selepas hantaran di media sosial yang menunjukkan dirinya tidak bertudung ketika bermain badminton tular.
Aprena, atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, mengakui beliau hanya manusia biasa yang tidak lari daripada membuat kesilapan.
“Saya pun manusia biasa yang membuat kesilapan. Saya cuba sedaya upaya istiqamah dalam memakai tudung meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan ujian.
“Biarlah orang nak kata apa sekali pun, saya tidak akan mampu memuaskan semua pihak.
“Cuma, saya minta doa yang baik-baik sahaja dalam perjalanan saya memperbetulkan diri kerana ia bukanlah satu hal yang mudah untuk saya lalui,” kata Aprena, yang ditemui Berita Minggu (BM) di acara dagangan, Absolut Bazar, di Singapore Expo, pada 16 Mac.
Ketika ditemui BM, Aprena sedang mengendalikan reruai mempromosikan jenama busana wanita miliknya, Leepat.Co, yang memperagakan baju Hari Raya wanita dalam bentuk ‘wrap’ atau kain ‘pario’ yang diikat di pinggang.
Aprena, yang merupakan anak hasil perkongsian hidup, penyanyi dangdut terkenal era 90-an, Iwan Syahman, dan pelakon popular era 80-an, Allahyarhamha Rosnah Mohd Noor, turut menyangkal dirinya terlibat dalam arena seni hiburan atas nama orang tua.
“Ramai yang mungkin sangkakan saya masuk ke dunia hiburan disebabkan kededua ibu bapa saya.
“Tetapi, sebenarnya, saya mula terlibat dalam bidang lakonan sebagai ‘extra’ (pelakon tambahan). Saya mula berlakon pun selepas ibu saya meninggal dunia.
“Masa itu, saya berumur antara 20 dengan 21 tahun. Saya ambil watak-watak ‘extra’ sehinggalah berpeluang melakonkan watak utama atau yang lebih dikesan ramai,” katanya, yang mula dikenali melalui drama Tiada Arah Jodoh Kita, pada 2018.
Bagaimanapun, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik itu turut menceritakan bapanya, Iwan, tidak begitu setuju beliau terlibat dalam bidang lakonan dan dunia hiburan.
Meskipun begitu, beliau juga tidak sepenuhnya menghalang keinginan Aprena untuk berkecimpung dalam seni lakonan kerana yakin itulah rezeki yang sudah tertulis.
Selain Aprena, kakaknya, Oktovia Manrose, 33 tahun, juga merupakan pelakon yang pernah menjayakan beberapa drama Melayu seperti Cinta Si Wedding Planner, Dendam Aurora dan Bukan Kahwin Paksa.
“Sejujurnya, bapa saya ingin elakkan anak-anaknya berkecimpung dalam dunia seni hiburan kerana beliau sendiri pun tahu keadaannya macam mana.
“Tapi mungkin sudah menjadi takdir dan rezeki kami di sini, beliau tidak galakkan tetapi tidak juga menghalang,” jelas Aprena, yang turut menjayakan drama, Wanita Milik Kaiden, pada 2024.
Menyedari dirinya tidak akan bertahan lama dalam arena lakonan, Aprena mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, menjual pakaian wanita sempena Aidilfitri.
“Saya suka buat bisnes. Sebelum ini, saya pernah menjual biskut, sejak 2017 atau 2018 lagi.
“Tahun lepas (2024), apabila ada tawaran untuk membuat bisnes jual baju, saya pun fikir ‘mengapa tidak?’.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima juga baik.
“Ini merupakan tahun kedua saya mengeluarkan koleksi baju Hari Raya wanita melalui jenama, Leepat.co,” tambahnya, yang telah mendirikan rumah tangga pada 2016.
Terdahulu, Leepat.Co mengeluarkan beberapa koleksi pakaian wanita seharian.
Namun begitu, Aprena kini ingin memberi tumpuan mengeluarkan koleksi edisi Syawal sahaja.
“
Saya pun manusia biasa yang membuat kesilapan. Saya cuba sedaya upaya istiqamah dalam memakai tudung meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. Biarlah orang nak kata apa sekali pun, saya tidak akan mampu memuaskan semua pihak. Cuma, saya minta doa yang baik-baik sahaja dalam perjalanan saya memperbetulkan diri kerana ia bukanlah satu hal yang mudah untuk saya lalui.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg