Ada pepatah Inggeris menyatakan, ‘Life begins at 40’, atau ‘Kehidupan bermula pada usia 40 tahun’.
Usia 40 sering disifatkan sebagai fasa kematangan dan kebijaksanaan, apabila ramai mengecapi kejayaan dari sudut kerjaya, memiliki keluarga yang stabil dan meraih pengalaman hidup yang lebih luas.
Namun, bagi pelakon Singapura, Fadhlur Rahman, yang kini berusia 43 tahun, perubahan besar yang dirasakan pada usia ini, sebaliknya adalah kesejahteraan fizikal.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 30 Mei, beliau yang sedang menikmati liburan di Perth, Australia, bersama keluarga berkata:
“Untuk saya, bila orang sebut tentang ‘life at 40’, paling ketara adalah perubahan fizikal. Misalnya, saya rasa saya sudah tidak boleh ‘overnight’ (berjaga satu malam) lagi.
“Kalau ada penggambaran yang perlukan saya untuk ‘overnight’, saya akan tidur secukupnya sebelum itu.
“Kalau dulu, saya disuruh ‘shoot’ (lalui proses penggambaran) selama 18 jam, saya tiada masalah.
“Tetapi kini, haruslah beritahu awal atau beberapa hari sebelum penggambaran, supaya saya dapat rehat dulu.”
Sebelum beralih ke bidang lakonan televisyen pada 2008, Fadhlur merupakan pelakon teater sekitar 2000.
Sebagai pelakon yang sudah melewati usia 40-an, Fadhlur menyifatkan kehidupan boleh bermula pada bila-bila usia selagi ia memberi kesan yang mematangkan diri seseorang.
Bercerita tentang telefilem Hari Raya Aidiladha berjudul, Kapal Haji, terbitan Echo Entertainments dan disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 7 Jun lalu, Fadhlur menjelaskan beliau memainkan watak Inspektor Jumaat.
Inspektor Jumaat bertanggungjawab merisik satu skim penipuan simpanan palsu yang mengancam harapan penduduk kampung untuk mengerjakan ibadah haji.
Telefilem yang berlatarkan Singapura pada era 1950-an itu melibatkan barisan pelakon berpengalaman dari Singapura dan Malaysia seperti Elfaeza Ul Haq, Fir Rahman, Najip Aziz, Roy Azman, Marisa Yasmin dan Azhar Amir.
Beliau yang sebelum ini pernah melakonkan watak polis dalam drama tempatan, S.P.Y., mengakui bahawa menghidupkan watak ‘mata-mata’ era 1950-an memberikan pengalaman berbeza, khususnya dari segi bahasa dan pemikiran yang menggambarkan zaman tersebut.
“Inspektor Jumaat ini memiliki jiwa rakyat dan berusaha untuk memberitahu penduduk tentang kewujudan skim simpanan palsu.
“Ramai penduduk kampung dalam era itu juga kurang peka dengan hal seperti ini.
“Meskipun Inspektor Jumaat berasal dari kampung lain, namun beliau tetap bertekad untuk mencari dalang dalam kes penipuan skim simpanan palsu yang berlaku di Kampung Raden,” tambah Fadhlur yang turut kagum dengan set penggambaran di Melaka, Malaysia.
Set itu ditata mirip zaman 1950-an, sekali gus membantunya menjiwai watak yang dimainkan.
Dalam perkembangan lain, beliau juga sering dilihat dalam video berunsur parodi jenaka yang dimuat naik di laman TikTok syarikat suplemen kesihatan dan kesejahteraan, Shortcutx, bagi mempromosikan produk mereka.
Mengikuti arus trend semasa, Fadhlur, yang merupakan lulusan drama dari Maktab Seni LaSalle ini melihat peluang untuk memperluas kemahiran dalam bidang penerbitan melalui pengalaman menghasilkan kandungan pemasaran yang menarik di media sosial.
“Sebagai pencipta kandungan bebas untuk sebuah syarikat suplemen kesihatan, Shortcutx, saya boleh dikatakan antara pekerja paling tua dalam kalangan mereka yang berusia 20-an tahun.
“Sebagai seorang yang sudah lama berlakon, saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan era digital dan media sosial.
“Walaupun sudah berusia 40-an tahun, saya tidak pernah menghalang diri untuk belajar tentang cara menghasilkan kandungan yang dapat menarik perhatian masyarakat masa kini.
“Pengalaman menghasilkan kandungan pemasaran ini juga membantu saya ketika menerbitkan karya untuk televisyen.
“Saya menjadi lebih peka terhadap trend semasa serta pelakon atau pempengaruh yang sedang ‘naik daun’,” jelas Fadhlur yang merupakan pengarah kreatif syarikat penerbitan, Sunset Rocket Films.
Dalam pada itu, beliau turut berkata wadah media sosial dianggap sebagai jambatan yang dapat menarik bakat baru ke dunia hiburan tempatan, membentuk generasi penerus yang akan mewarnai layar kaca televisyen.
Fadhlur turut memuji usaha rakan pelakon, Al-Matin Yatim, yang mula berjinak-jinak membuat kandungan di laman TikTok dan berkongsi petua lakonan yang boleh dimanfaatkan oleh umum dalam bidang pekerjaan masing-masing.
Beliau melihat langkah itu sebagai inisiatif pelakon tempatan untuk menyesuaikan diri dengan trend media sosial, agar lebih mendekati cita rasa masyarakat kini demi memperoleh manfaat bersama.
Selain itu, bapa tiga anak perempuan berusia antara enam dengan 11 tahun itu turut menekankan bahawa usaha mendekati media sosial turut membantu mengeratkan hubungan dengan anaknya.
“Anak pertama dan kedua saya kini dalam fasa, di mana mereka sibuk dengan rakan sendiri dan saya memahami perkara itu.
“Sementara anak bongsu masih lagi mencari dirinya sendiri dek umurnya yang masih kecil.
“Disebabkan kandungan, ia sebenarnya membantu saya untuk merasa lebih dekat dengan anak-anak saya, khususnya yang pertama dan kedua,” akuinya.
Menyentuh projek seterusnya, Fadhlur akan mengarah dan menerbitkan telefilem bagi Tahun Baru 2026 yang bertema drama komedi dengan sentuhan cereka sains dan mengisahkan tentang kebergantungan masyarakat pada kecerdasan buatan (AI).
Penggambaran bagi telefilem itu dijadual berlangsung pada akhir Julai atau Ogos 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg