Memang sukar untuk mengimbangi masa antara peranan sebagai seorang ibu dengan tuntutan tugas di tempat kerja.
Apatah lagi jika tugas itu memerlukan seseorang menyelami pelbagai emosi, meneroka jiwa watak, melontarkan dialog dan berada lama di set penggambaran dengan jadual yang tidak menentu.
Kemenangan pelakon tempatan, Atyy Malek dan Nurul Nabila, pada 24 Mei sempena Pesta Perdana 2025 membuat saya terfikir bagaimana kededua ibu dengan anak kecil itu berjaya membahagikan masa antara keluarga dengan menjiwai watak yang mencabar dalam drama yang mereka bintangi.
Walaupun berehat seketika daripada dunia seni, lakonan Atyy sebagai Tasha, pengacara podcast yang diulit dilema mencari ibu kandung yang dianggap telah ‘membuangnya’ dalam Mencari Marina, masih terpahat dalam ingatan saya hingga kini.
Semasa menonton drama 13 episod itu, terdetik di hati saya ingin tahu apakah yang terjadi kepada Tasha walaupun beliau watak sampingan dalam jalan cerita yang penuh misteri.
Ini disebabkan cara Atyy menyampaikan dialog yang sarat emosi membuat saya mula bersimpati dengan nasib watak itu.
Memetik apa yang beliau katakan kepada Berita Harian (BH) sewaktu diwawancara sejurus selepas memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Drama Bersiri, Atyy berkata:
“Anugerah ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus menggilap bakat lakonan, lebih-lebih lagi untuk peminat yang sentiasa menyokong walaupun saya sempat menyepi dari bidang lakonan selama dua tahun untuk membesarkan anak-anak.”
Beliau turut bekerjasama dengan pihak penerbitan untuk memberinya jadual penggambaran lebih awal dan mempelajari skrip pada waktu malam, sebaik sahaja kededua anak lelakinya berusia tiga dan empat tahun tidur.
Kesungguhan dan pengorbanan Atyy untuk menyesuaikan tugas mengikut keperluan keluarga dan bekerja keras dalam bidang yang diminatinya memberi inspirasi kepada saya untuk mencekalkan hati dalam menempuh apa jua cabaran hidup dan percaya dengan bakat sendiri.
Saya teringat apa yang turut dikongsi kepada saya oleh pelakon asal Malaysia, Carmen Soo, yang turut memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri bagi Operandi Gerhana di Pesta Perdana 2025.
Beliau yang mempunyai anak perempuan berusia tujuh tahun, sering terlibat dalam projek di Singapura, Malaysia dan Filipina.
Carmen berpendapat sokongan padu daripada keluarga memberinya semangat untuk terus berlakon dalam penerbitan luar negara.
“Anak saya, Bea, merupakan inspirasi terbesar saya. Memang kadangkala sukar untuk berjauhan dengan anak dan suami untuk beberapa bulan.
“Namun, saya bersyukur kerana suami saya, Benson, sangat membantu dan dia juga seorang bapa yang ‘hands-on’ (tidak lepas tangan)...jadi saya boleh teruskan minat berlakon,” ujarnya.
Di seberang Tambak pula, penglibatan semula dalam industri lakonan atau ‘comeback’ daripada beberapa artis bergelar ibu turut menjadi inspirasi bagi ibu muda untuk memburu cita-cita mereka.
Nama pelakon dan pengacara kacukan Melayu-Irish, Che Puan Sarimah Ibrahim, menjadi bualan netizen pada awal 2024 apabila beliau muncul sebagai watak utama dalam drama popular, Lelaki Itu.
Bagi saya, walaupun sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, beliau berjaya menghidupkan watak, Sharifah Qaidah, dan tidak kekok bergandingan dengan hero pujaan ramai, Datuk Adi Putra.
Sarimah, 47 tahun, yang mempunyai anak perempuan berusia enam tahun, mendedahkan kepada pihak media bahawa beliau menyertai kelas lakonan sebagai persiapan sebelum memasuki set penggambaran setelah sekian lama.
Beliau turut membuktikan usia dan peranan sebagai ibu bukan penghalang untuk mengejar impian besar.
Di samping itu, Sarimah kini turut berada di bawah naungan agensi bakat lakonan di London, Fiona Cross Management, bagi membantunya mengembangkan bakat di peringkat antarabangsa – mengukuhkan komitmennya untuk kembali aktif dalam bidang yang dicintai.
Kemunculan semula jelitawan, Izara Aishah, baru-baru ini dalam drama, Keluarga Itu, yang tamat siaran pada Mei, turut mendapat perhatian netizen.
Selepas enam tahun berehat, beliau muncul dengan membawa watak Husna, seorang wanita berprinsip dan menantu yang cuba untuk menyelamatkan masalah keluarganya.
Walaupun sudah lama tidak berlakon, saya berasa Izara tetap berjaya menghidupkan watak itu dengan babak yang memerlukannya bermain dengan air mata.
Izara membuktikan peranan sebagai ibu tidak menghalangnya untuk bergiat aktif dalam dunia seni sambil sibuk mengembangkan perniagaan busana Muslimahnya, Izara World.
Semangat juang barisan pelakon bergelar ibu ini menjadi inspirasi dan menyuntik kekuatan dalam kalangan peminat mereka yang juga terdiri daripada golongan ibu.
Kisah mereka turut membuka mata saya agar menghargai segala pengorbanan yang dilakukan oleh kedua ibu bapa saya.
Ia juga seperti pemangkin untuk saya tidak mudah menyerah apabila ingin mencapai impian yang dihajatkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg