Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Fasha Sandha tegur pramugari agar lebih peka

Apr 4, 2025 | 7:08 PM
Pelakon Malaysia, Fasha Sandha, tidak terima teguran pramugari yang mempersoalkan keputusannya menaiki kelas ekonomi dalam penerbangan.
Pelakon Malaysia, Fasha Sandha, tidak terima teguran pramugari yang mempersoalkan keputusannya menaiki kelas ekonomi dalam penerbangan. - Foto INSTAGRAM FASHA SANDHA

Rasa hampa menyelubungi hati pelakon Malaysia, Fasha Sandha, 41 tahun, apabila menerima teguran berbaur sindiran daripada seorang pramugari syarikat penerbangan yang mempersoalkan keputusannya menaiki kelas ekonomi.

Demikian yang dimuat naik pelakon filem, Nana Tanjung, lewat satu hantaran di Instagram miliknya, pada 2 April.

Beliau berkata: “Apa salahnya kami naik kelas ekonomi? Kelas ekonomi atau kelas perniagaan, kita semua sama.

“Saya dan anak-anak terkejut kerana kami tidak pernah disambut dengan sindiran sebegitu.

“Saya terkesima dengan reaksi yang diberikan, lantas mengambil gambar pramugari terbabit untuk membuat aduan di perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan itu.”

Menurut Fasha, tindakan merakamkan gambar pramugari berkenaan disedari oleh pramugari lain.

Dengan itu, pramugari tersebut menghampiri Fasha untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

“Seorang pramugari lain menyapa dan meminta kepastian berkaitan dengan tindakan yang saya lakukan. 

“Saya menjelaskan kepadanya kenapa saya berbuat demikian,” lapor Fasha dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).

Pramugari berkenaan memohon maaf atas tindakannya mempersoalkan keputusan Fasha serta keluarganya menaiki penerbangan kelas ekonomi. 

Dalam pada itu, Fasha turut menegaskan bahawa sebagai penumpang dan figura awam, beliau berhak membuat pilihan sendiri tanpa perlu dipertikaikan.

“Sepanjang saya hidup, tidak pernah ada yang menyoal tindakan yang saya lakukan dan sebagai seorang pramugari, dia tidak boleh memberi sindiran begitu kerana ia boleh menggores hati penumpang. 

“Pramugari berkenaan lantas meminta maaf atas kesalahannya,” ujar beliau.

Fasha berharap agar pengalaman yang dikongsikan itu dapat menjadi pengajaran kepada semua pramugari agar menjaga tutur kata semasa bertugas.

“Apa yang terlintas di hati biar simpan saja di dalam hati. 

“Tidak perlu untuk mengeluarkan kata-kata yang berbaur sindiran kepada anak-anak saya mahupun orang lain.

“Jagalah hati semua penumpang dan jangan mempersoalkan jenis kelas penerbangan yang dipilih kerana kita semua sama saja,” ujar Fasha.

Beliau turut menyeru agar pramugari lebih peka dan tidak mempertikaikan pilihan penumpang, sambil menegaskan bahawa kesederhanaan adalah prinsip hidup yang dipegangnya sejak dulu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg