Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon ‘Mind Your Language’ asal Pulau Pinang meninggal dunia

Lim Pek-Sen dikenali selepas bawa watak gadis Cina dengan bahasa Inggeris ‘berterabur’, Chung Su-Lee
Jun 14, 2025 | 2:36 PM
Mind Your Language, Lim Pek-Sen
Aktres kelahiran Pulau Pinang yang mencipta populariti melalui sitkom Mind Your Language pada era 1970-an dan 1980-an, Lim Pek-Sen, dilapor meninggal dunia pada usia 80 tahun, pada 9 Jun lalu. - Foto IMDB

Aktres kelahiran Pulau Pinang yang mencipta populariti melalui sitkom Mind Your Language pada era 1970-an dan 1980-an, Lim Pek-Sen, dilapor meninggal dunia pada usia 80 tahun, pada 9 Jun lalu.

Pek-Sen memegang watak pelajar dari China, iaitu Chung Su-Lee, dalam sitkom Mind Your Language yang diterbitkan dari 1977 hingga 1986. Dalam sitkom itu, Pek-Sen bertutur dalam bahasa Inggeris loghat Cina dengan tatabahasa yang ‘berterabur’ dan lucu.

Menurut laporan agensi, Pek-Sen atau nama sebenarnya, Lim Phaik-Seng, dilaporkan berhijrah ke United Kingdom (UK) pada usia 17 tahun untuk melanjutkan pengajian dalam bidang lakonan.

Pek-Sen dikatakan menggunakan nama itu selepas teman-teman British sering menyebut ‘Phaik’ sebagai ‘fake’.

Menurut Berita Harian Malaysia (BHM), mendiang diang turut berlakon dalam lebih 30 filem, drama dan siri televisyen (TV), antara 1964 hingga 2023, termasuk Dr Who, General Hospital dan The Professionals. Antara karya terbarunya adalah siri TV dan drama seperti Vampire Academy, The Nevers dan This Way Up.

Pemergian Pek-Sen turut dikenang rakan pelakon, Daniel Y Loh, yang memuat naik hantaran menyentuh hati di Facebook (FB).

“Saya pernah berlakon di pentas bersama mendiang dalam dua pementasan, selain sesi bacaan, bengkel, rakaman audio dan sebagainya.

“Pek-Sen adalah insan ceria, penuh dengan kasih sayang, ketawa dan kenakalan. Cukup menyeronokkan berada di sisinya. Bakat komedinya begitu luar biasa sehingga membuatkan kita sentiasa rasa yakin di hadapan penonton.

“Mendiang ada suara unik dan tenaga yang begitu hidup yang mengangkat semangat semua yang berada di sekelilingnya,” katanya lagi.

Loh dan Pek-Sen pernah berkongsi pentas dalam pementasan Romeo & Juliet, di mana Daniel memegang watak Mercutio dan Lim pula sebagai jururawat.

“Kami juga berkongsi ejen sama sejak kira-kira 25 tahun lalu. Pek-Sen pasti akan sangat dirindui di sana juga,” katanya lagi.

Sebilangan pelakon Mind Your Language sudah meninggal dunia. 12 daripada mereka dilaporkan sudah tiada sebelum pemergian Pek-Sen.

Ini termasuk pemegang watak guru penyabar yang selalu pening kepala di kelas gara-gara ragam pelajarnya, Mr Brown.

Pelakonnya, Barry Evans, dijumpai mati pada Februari 1997. Kematiannya yang pada itu berusia 53 tahun, masih kekal misteri walaupun ada yang menyatakan ia disebabkan kelebihan minum arak.

Pelakon Sepanyol, Ricardo Montez, selaku pelajar Sepanyol, Juan Cervantes, pula meninggal dunia kerana barah pada usia 87 tahun pada 26 Oktober 2010, di Sepanyol.

Pelawak, Dino Shafeek, yang dilahirkan di Bangladesh, dan membawa watak Ali Nadim, pula meninggal dunia pada usia 53 tahun, kerana serangan jantung mendadak pada 10 Mac 1984.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg