Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon M’sia, Bella Dally bakal tunai ibadah haji

May 14, 2025 | 1:50 AM
Bella Dally, tunai haji, ibadah islam, pelakon
Pelakon Malaysia, Bella Dally (kiri) berkongsi menerusi Instagram Story bahawa dirinya dan suami bakal dijemput menjadi tetamu Allah menunaikan ibadah haji pada 2025. - Foto INSTAGRAM BELLA DALLY

Pelakon dan peragawati Malaysia, Bella Dally, 33 tahun, berkongsi berita gembira apabila bakal berangkat ke tanah suci, Makkah, Arab Saudi bersama suaminya bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini (2025).

Bella yang menganjurkan kenduri doa selamat pada 13 Mei berkata beliau bersyukur dan terharu atas doa serta sokongan yang diterima daripada keluarga serta kenalan rapat, lapor Harian Metro.

Menerusi Instagram Story, pelakon drama Aku Pilih Bahagia itu berkongsi:

“Terima kasih kepada semua yang hadir ke majlis doa selamat kami sebelum berangkat menunaikan haji.

“Kami sangat tersentuh dengan doa yang baik dan pemberian ikhlas daripada anda semua. Hati kami dipenuhi rasa syukur dan kebahagiaan.

“Ucapan terima kasih yang istimewa juga kepada mereka yang membantu menganjur dan menyediakan majlis ini. Masa dan usaha anda amat bermakna buat kami.”

Menurut Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, beliau juga ingin memohon maaf kepada semua atas sebarang kekhilafan yang mungkin pernah dilakukan secara sedar atau tidak.

“Ketika kami bersiap untuk berangkat tidak lama lagi, kami dengan rendah hati memohon kemaafan atas sebarang kesilapan atau kesalahan yang mungkin pernah dilakukan oleh saya atau suami, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Mohon doakan kami,” katanya yang juga dikenali menerusi drama Friday I’m In Love dan Adella Sofea.

Terdahulu, Bella telah berkahwin dengan ahli perniagaan, Arif Izuddin Mohd Radzali pada 30 Mac 2019.

Beliau yang kini kurang aktif dalam bidang seni dilihat mengusahakan jenama pakaiannya, Dally dan turut menjadi duta bagi jenama pakaian Muslimah, Galeri Ariani bersama selebriti lain, Uyaina Arshad dan Datin Lisa Surihani.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg