Golongan ibu hari ini adalah seperti ‘superwoman’ yang berjaya mengimbangi masa antara tuntutan tugas di tempat kerja dengan menguruskan keluarga di rumah.
Dengan jadual padat, kadangkala si ibu tidak ada masa untuk memikirkan busana yang ingin dipakai.
Tidak kira ingin ke tempat kerja, meluangkan masa bersama keluarga atau menghadiri acara tertentu, pastinya mereka mahu kelihatan cantik dan bergaya.
Menurut Cik Rosita Hussin, pemilik jenama pakaian wanita, Rosita by Rosita Hussin, pemilihan fabrik yang sesuai antara faktor utama dalam membantu golongan ibu kelihatan anggun tanpa perlu mengambil masa lama untuk bersiap.
“Kadangkala, golongan ibu tidak ada masa untuk menggosok semua baju yang hendak dipakai dalam minggu tersebut kerana terlalu sibuk dengan urusan lain.
“Mempunyai pakaian diperbuat daripada fabrik seperti ‘moss crepe’, kain ‘scuba’ dan kain berlisu (pleated) dalam almari amat membantu.
“Baju dengan fabrik sebegitu tidak mudah ronyok namun pastikan anda jaganya dan jangan terlalu lama tinggalkan dalam mesin basuh selepas mencuci.
“Bagi saya, pakaian dengan fabrik tidak perlu gosok seperti satu ‘penyelamat’ kerana anda masih kelihatan kemas dan bergaya apabila keluar rumah,” ujar Cik Rosita.
Kedainya yang terletak di City Plaza, Geylang Road itu turut melihat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan yang tertarik pada koleksi blaus, skirt dan jubah dengan kain berlisu.
Turut bersetuju dengan pilihan fabrik yang sesuai ialah Cik Mareenah A Ghani, pengasas jenama Maqayla yang menjual busana Muslimah bagi mereka yang ingin tampil elegan tanpa mengorbankan keselesaan.
“Apabila menghasilkan sesebuah koleksi pakaian, kami menitikberatkan aspek keselesaan dengan memastikan fabrik digunakan sesuai untuk cuaca panas di Singapura.
“Kami seringkali memilih fabrik yang ringan dan tidak mudah ronyok seperti kain jersi dan melihat pada siluet baju yang boleh memberi fleksibiliti untuk bergerak,” kongsi Cik Mareenah.
Antara produknya yang popular dalam kalangan ibu adalah, Everyday SlipOn Shawl, iaitu tudung sarung segera.
Produk yang diperbuat daripada kain jersi mewah Korea itu memberi kaum ibu peluang untuk kelihatan rapi dan menawan tanpa perlu menggunakan pin tudung atau mengambil masa yang lama.
“Ia turut menjimatkan masa yang berharga semasa tergesa-gesa pada waktu pagi dan fabrik yang ringin memastikan keselesaan sepanjang hari walaupun sibuk menjaga anak-anak, sesuai bagi ibu masa kini,” tambah Cik Mareenah yang butiknya terletak di East Village, Upper Changi Road.
Selain pemilihan fabrik, mempunyai potongan pakaian yang praktikal turut memainkan peranan dalam pilihan busana untuk kaum ibu.
Blaus dan jubah dengan zip atau butang yang panjang di bahagian depan membuatnya sesuai untuk ibu sedang menyusu.
Menurut Cik Mareenah, jenamanya memastikan setiap rekaan tetap kelihatan menarik sambil memikirkan tentang aspek praktikal.
“Kami ingin kaum ibu berasa yakin apabila memakai pakaian itu. Kami menggabungkan fungsi dan fesyen supaya para ibu boleh menyusu si kecil sambil tetap kelihatan bergaya.
“Sebagai contoh koleksi Kindred adalah set blaus dan skirt panjang yang mempunyai zip terlindung di sebalik ikatan reben manakala koleksi Fieldnotes merupakan jubah dengan corak bunga yang mempunyai zip di depan dan kocek di tepi,” cerita Cik Mareenah.
Bagi Cik Nor Hazirah Ishak, pemilik syarikat tudung dan busana wanita yang popular di media sosial, Se7en Flowers, beliau akan memastikan pakaian yang dijual memenuhi kriteria yang sering dicari golongan ibu.
“Produk kami seringkali mempunyai tiga aspek praktikal iaitu sesuai bagi ibu menyusu, mempunyai kocek dan bahagian lengan yang boleh dinaikkan untuk ambil air wuduk.
“Kebanyakan golongan ibu memilih blaus lebih panjang (lepas punggung) dengan potongan baju lebih santai,” kongsi Cik Hazirah yang memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan pada 2015.
Jenama Se7en Flowers dikenali dengan corak baju yang menarik seperti motif bunga dan kotak-kotak dan variasi rona warna yang mendapat perhatian kaum ibu menerusi sesi siaran langsungnya di wadah media sosial, TikTok dan Instagram.
Antara produk yang digemari pelanggannya adalah seluar ‘scuba’ dengan fabriknya yang boleh diregang (stretchable) – sesuai dipakai oleh wanita hamil dan set baju yang mempunyai zip atau butang di bahagian depan. Jenama itu turut menawarkan pakaian sehingga saiz 5XL.
Beliau berkongsi bahawa kaum ibu lebih gemar memilih seluar berbanding skirt kerana ia lebih mudah untuk bergerak dan berinteraksi dengan anak-anak lebih kecil.
Mempunyai pilihan pakaian versatil – sesuatu yang boleh digayakan ke pelbagai acara turut memainkan peranan penting dalam membantu si ibu tampil bergaya tanpa perlu banyak berfikir.
“Mereka boleh bermula dengan memilih rona warna neutral. Ia mudah untuk dipadankan dengan pakaian yang sudah ada di dalam almari mereka,” tambah Cik Hazirah.
Bagi Cik Rosita, pakaian dengan corak yang sentiasa malar segar seperti corak kotak-kotak, berjalur dan bola-bola merupakan antara yang diminati oleh kaum ibu tidak kira usia kerana ia sentiasa kelihatan elegan.
Beliau berpendapat blaus yang ringkas dan sederhana boleh nampak cantik apabila digayakan dengan aksesori sesuai.
“Ada kalanya si ibu perlu siapkan anak-anaknya sebelum dirinya boleh bersiap, lantas mereka tidak ada banyak masa.
“Blaus yang sama kalau dipakai dengan seluar jean dan kasut leper akan kelihatan lebih kasual namun apabila dipadankan dengan rantai di leher, skirt berlisu dan kasut tinggi ia kelihatan lebih formal dan elegan,” kata Cik Rosita.
Ketiga-tiga, Cik Rosita, Cik Mareenah dan Cik Hazirah bersetuju bahawa sesibuk manapun si ibu, mereka berhak untuk kelihatan bergaya dan kadangkala perlu ‘memanjakan’ diri sendiri. Ini agar kaum ibu dapat nyalakan rasa gembira, ceria dan lebih yakin dalam diri.
Mereka turut percaya bahawa golongan ibu boleh tetap berfesyen tanpa mengorbankan keselesaan, aspek kemudahan dan praktikal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg