Budaya Maori dan Melayu dikatakan tidak jauh berbeza terutama dalam menyantuni dan menghormati golongan lebih tua.
Itulah yang disampaikan pelakon berbakat asal New Zealand berketurunan Maori, Evander Brown, yang kian giat melakar nama dalam industri hiburan antarabangsa melalui drama bersiri Singapura, Korban (Musim Kedua).
Dalam drama terbitan Monochromatic Pictures itu, Brown, 28 tahun, membawa watak Ari, tunang Aisyah (lakonan Rae Saleha), yang menghadapi pelbagai cabaran dalam hubungan mereka.
Drama yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria bermula 29 Mei itu turut menggabungkan barisan pelakon utama dari Singapura, Malaysia dan Australia, yang terdiri daripada Rae Saleha, Nurul Aini, Datuk Hans Isaac, Aiman Hakim dan Aaron Khaled.
Apabila ditemui Berita Harian (BH) sewaktu sidang media pelancaran drama, Korban (Musim Kedua), di Mediacorp Campus baru-baru ini, Brown berkongsi pengamatannya terhadap budaya Melayu dan Maori ketika menjayakan drama penuh emosi itu.
“Ketika menjayakan drama ini, saya belajar banyak tentang budaya Melayu.
“Cara kita memberi hormat kepada orang lain, khususnya bagi golongan tua sangat serupa,” kata Brown.
Beliau turut menyentuh tentang peranan wanita dalam budaya Maori, yang mempunyai konsep mana dalam bahasa Maori, yang membawa maksud kekuatan yang dimiliki oleh wanita.
“Kekuatan yang digambarkan ini ketara sewaktu karanga, atau panggilan selamat datang yang dilakukan oleh wanita semasa upacara menyambut tetamu, ketika tiba di mara, iaitu kawasan suci atau tempat berkumpul yang dianggap penting dalam budaya Maori,” kata Brown.
Di samping itu, musim terbaru itu turut menandakan kali pertama beliau berlakon secara empat mata dengan pelakon tempatan, Rae, yang membawa watak Aisyah, kekasih Ari.
Aisyah, seorang sous-chef atau pembantu ketua jurumasak, sedang melalui proses pencarian jati diri sambil bekerja di sebuah restoran di New Zealand.
Tekanan yang dihadapinya di dapur asing secara tidak langsung memberi kesan kepada hubungannya dengan Ari, yang berusaha menjalin ikatan lebih kukuh melalui perkahwinan.
Sebelum ini, mereka menjalani penggambaran babak berdua dalam talian dek pandemik Covid-19, yang turut mengekang keluasan penggambaran bagi drama Korban, dalam musim pertama pada 2021.
Bagaimanapun, Brown berkata beliau berbesar hati kerana berpeluang kembali terlibat dalam drama itu untuk musim kedua.
“Ia merupakan satu penghormatan besar dapat menjayakan sebuah penerbitan Singapura. Tentunya saya gembira diberi peluang ini sekali lagi.
“Saya turut berpeluang untuk berjumpa dan berkenalan dengan barisan pelakon handal dari Singapura dan Malaysia seperti Rae, Nurul Aini, Hans dan Aiman.
“Apatah lagi bekerjasama dengan pengarah seperti, Jeevan Nathan, yang tahu apa yang beliau inginkan. Beliau ibarat nakhoda yang saya percayai dalam penerbitan ini.
“Manakala, saya anggap Audrey Anthoney selaku penerbit eksekutif sebagai jurupandu yang melengkapi Jeevan,” tambah Brown.
Demi menjayakan watak Ari, Brown menyahut cabaran untuk mempelajari bahasa Melayu sekali gus mendekati budayanya.
Sewaktu penggambaran, Brown didampingi seorang jurubahasa yang membantu beliau memahami dan mendalami bahasa Melayu, bagi menjayakan watak Ari.
Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang dihadapinya dan ia kini menjadi salah satu kenangan manis beliau sewaktu penggambaran bagi drama tersebut.
“Ketika penggambaran, ia berlaku dengan sangat pantas. Memang ‘menggila’ kerana kita perlu melakukannya dalam jadual yang padat.
“Antara cabaran lain termasuk, cara sebutan saya dalam bahasa Melayu. Adakalanya, pelakon juga suka melakukan improvisasi dalam lakonan sehingga saya rasa bingung.
“Misalnya, Aiman, kerana lakonan beliau sangat ‘natural’ dan ada beberapa dialog yang ditukar untuk disesuaikan pada perwatakan wataknya.
“Sementara, saya pula harus bergantung sepenuhnya pada skrip. Saya hanya perlu kenal pasti perkataan yang disebutkan untuk tahu babak apa yang sedang kami lakonkan.
“Tetapi, ada satu babak yang mana beliau tidak sebutkan perkataan yang saya hafal dalam skrip dan saya pun terpaksa meminta mereka untuk menjelaskan babak itu,” kata pelakon dengan ketinggian 183 sentimeter itu.
Mengulas tentang perkembangan watak Ari daripada musim pertama ke musim kedua, Brown mengakui perubahan wataknya pada musim kedua memperlihatkan kematangan yang lebih mendalam.
“Ari telah melalui perkembangan yang sangat ketara, dan cara terbaik untuk menggambarkannya adalah seperti perjalanan seorang lelaki kurang matang menjadi seorang lelaki yang lebih dewasa dalam pelbagai aspek.
“Dengan berbekalkan pengalaman hidup, dia kini lebih matang. Ari berjaya menempatkan dirinya dalam pelbagai situasi yang tidak pernah dijangkanya, tanpa memberi terlalu banyak tekanan kepada dirinya sendiri.
“Lebih daripada itu, dari musim pertama ke musim kedua, dia semakin memahami erti sebenar cinta,” ujar Brown, yang turut dikenali melalui lakonannya sebagai Dr Ihaia Stone dalam siri terkenal New Zealand, Shortland Street.
Drama Korban (Musim Kedua), yang berlangsung selama enam episod itu boleh ditonton di aplikasi mewatch dan di laman YouTube, Mediacorp Drama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg