Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Siti Hariesa bawa watak rumit, jadi penyanyi kelab malam

Ingin sampaikan pesanan mendalam tentang keinsafan dalam ‘Lambaian Huda’
Aug 4, 2025 | 5:30 AM
Siti Hariesa, bakal menjayakan filem sulung berjudul, ‘Misteri Fraser 1910’, yang diinspirasikan daripada kisah nyata.
Siti Hariesa, bakal menjayakan filem sulung berjudul, ‘Misteri Fraser 1910’, yang diinspirasikan daripada kisah nyata. - Foto INSTAGRAM SITI HARIESA

Tidak pernah terlintas dalam fikiran pelakon jelita asal Johor, Siti Hariesa, untuk menjadi seorang pelakon.

Pada 2019, Hariesa, atau nama sebenarnya, Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 27 tahun, menghadiri Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), dengan perasaan ingin tahu yang kian menebal dalam diri.

DFKL merupakan pesta yang mengiktiraf pencapaian bidang perfileman dan wayang dalam industri televisyen, khususnya drama dan telefilem yang dianjurkan oleh dua rangkaian televisyen milik Media Prima Berhad, TV3 dan TV9.

Ia turut menjadi wadah bagi mencungkil bakat baru dalam bidang lakonan.

Menurut Hariesa, ketika itu, pihak penganjur bagi festival tersebut mengadakan ‘roadshow’ atau jerayawara di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), tempat beliau menuntut bagi Diploma Pengurusan.

Cuba nasib sertai uji bakat

Entah apakah yang merasuki diri, Hariesa mencuba nasib untuk menyertai uji bakat lakonan meskipun ia bukanlah perancangan asalnya. 

“Pada mulanya, saya tidak ada cita-cita untuk menjadi seorang pelakon pun. Tak terfikir untuk melakukan hal berbaur seni.

“Ia berlaku secara semula jadi. Awalnya, saya cuma ingin tahu lebih dalam tentang Drama Festival Kuala Lumpur kerana saya diberitahu mereka adakan lawatan ke universiti saya.

“Saya pun terdengar ada selebriti yang dijemput. Itu yang membuat saya lebih teruja. Tapi, untuk memasuki dewan, saya perlu mendaftar diri. 

“Saya beritahu mereka, ‘Bolehkah saya daftar diri tanpa melakukan uji bakat itu?’. Mereka kata, ‘boleh’.

“Namun, entah bagaimana, saya terjebak juga untuk mencuba uji bakat tersebut,” kata Hariesa kepada Berita Harian (BH) sewaktu dihubungi melalui Zoom, baru-baru ini. 

Hariesa turut memberitahu BH bahawa beliau teringin berjumpa dengan pelakon filem, Kimchi Untuk Awak, Janna Nick, semasa jerayawara itu.

“Sebenarnya, saya ingin lihat Janna Nick secara empat mata. 

“Waktu itu, saya selesai kelas sekitar 2 petang.

“Meskipun selepas melalui uji bakat itu, saya masih tidak dapat bertemu dengannya kerana ‘call-time’ beliau 5 petang,” kata Hariesa sambil tertawa.

Namun kini, bidang lakonan pula menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Dalam tempoh enam tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik itu, telah menjayakan rantaian drama termasuk, Utusan Cinta Buat Adam (2019), Sekali Lagi Cinta Kembali (2022) dan Rajuk Karina (2023).

Baru-baru ini, beliau memainkan watak utama sebagai Haizi dalam drama, Calon Isteri Buat Suami, yang disiarkan pada April (2025) lalu di Slot Akasia, TV3.

Mengenang satu babak apabila Haizi dipenjarakan dalam keadaan hamil, Hariesa mengakui memendam rasa amarah dan tidak puas hati terhadap perlakuan tersebut dalam drama terbabit.

“Dalam drama itu, saya digandingkan dengan Jazmy Juma yang berlakon sebagai suami saya, Nazim.

“Ketika melakonkan babak dipenjarakan itu, saya rasa, ‘Sampai hati suami saya buat begitu!’

“Saya tak nafikan ia agak mencabar untuk lakonkan babak tersebut. Saya rasa marah dan geram juga ketika watak Haizi perlu melalui peristiwa rumit sebegitu.

“Tapi alhamdulillah, berlakon dengan Jazmy sangat mudah kerana sebelum ini pun, kami pernah bekerjasama,” ujar Hariesa.

Skandal penyanyi kelab malam dengan suami orang

Dalam perkembangan terbarunya, Hariesa menjayakan sebuah drama penstriman digital terbaru di Viu berjudul, Lambaian Huda, arahan Azri Izhar.

Menerusi drama tersebut, beliau digandingkan dengan pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid.

Drama itu mengisahkan penyanyi kelab malam, Suzie (lakonan Siti Hariesa), yang terperangkap dalam hubungan toksik dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin.

Secara tidak sengaja, Suzie menjalin persahabatan dengan jiran barunya yang merupakan guru agama bernama, Fatih (lakonan Hisyam).

Dengan dorongan Fatih, Suzie membuat keputusan melepaskan diri daripada dijerat masa lalu untuk mendapatkan semula kebebasannya.

Hariesa akur cabaran membawa watak Suzie kerana masa silam yang begitu rumit.

Suzie terjerumus dalam dunia penuh kegelapan dan sarang dosa bukan atas kehendak sendiri, sebaliknya beliau dipaksa bapa tirinya.

Terkesan babak terima nasihat ustazah

Antara babak yang paling mengesankan bagi Hariesa adalah ketika watak Suzie menerima nasihat daripada Ustazah Asma’ Harun, yang terkenal dengan kandungan dakwah di media sosial, memberikan motivasi kepada kaum wanita.

Hariesa akur bahawa kata-kata beliau begitu mengesankan sehingga membuatnya sukar berhenti menangis, biarpun selepas penggambaran babak itu tamat.

“Apa yang ustazah ucapkan itu nyata dan tidak ada skrip pun. Apabila saya dengar beliau bercakap, entah mengapa saya juga mudah tersentuh.

“Secara tidak langsung, saya rasa nasihat itu juga ‘kena’ untuk diri sendiri.

“Apa yang saya ingat adalah setiap manusia membuat kesilapan. Tidak kira serumit dan ‘sekotor’ apa pun masa silam, kita berhak pulang ke jalan yang benar.

“Pintu taubat itu sentiasa terbuka. Ia peringatan juga untuk saya supaya tidak buruk sangka pada orang kerana kita tidak akan tahu bagaimana pengakhirannya,” kata Hariesa dengan mata berkaca-kaca.

Sebelum ini, perjalanan kerjaya lakonan Hariesa tidak terlepas daripada terpalit kontroversi susulan keberaniannya melakukan babak panas bersama pelakon, Zul Ariffin, menerusi drama Perempuan Itu, pada 2023. 

Bagaimanapun, apabila ditanya BH mengenai tanggapan beliau digandingkan dengan pelakon lelaki berpengalaman seperti Hisyam dan Zul, beliau berkata:

“Saya akui kedua-duanya telah lama berkecimpung dalam seni lakon. Jadi, saya pun kagum dengan profesionalisme dan kemahiran yang mereka miliki.

“Saya turut mengidolakan mereka, bukan sahaja dalam lakonan, malah juga dari cara mereka membawa diri dalam industri hiburan.

“Lebih penting lagi, saya jadikan mereka sebagai panduan dan cerminan diri kerana masih banyak untuk dipelajari.”

Berbalik kepada drama, Lambaian Huda, Hariesa berharap ia dapat menjadi iktibar kepada penonton dan memberikan kesan positif, khususnya menyentuh keinsafan dan perjuangan seseorang menjadi individu yang lebih baik.

Hariesa bakal menjayakan filem seram sulung berjudul, Misteri Fraser 1910, yang diinspirasikan daripada kisah benar.

Filem arahan, Shuhaimi Zulkefli, terbitan Millionaire Films Production itu turut dibintangi oleh Amai Kamarudin, Josiah Hogan dan Isyariana.

Tetapi sementara itu, bagi mereka yang ingin menyaksikan drama, Lambaian Huda, ia kini boleh ditonton di aplikasi penstriman digital Viu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg