Persamaan keperibadian antara pelakon sering kali dapat membantu dalam menghidupkan keserasian watak dalam sesebuah drama.
Sifat introvert (lebih pendiam) yang ada pada diri pelakon baru Malaysia, Arabella Ellen, dan Areef Amran, memudahkan kerjasama di set penggambaran dan membuat mereka kelihatan serasi di hadapan kamera.
Bagai cembul dapat tutupnya, kededua pelakon itu dipadankan sekali lagi dalam drama terbaru, Mitos Cinta Akira, selepas kali pertama bergandingan dalam drama, Yang Tahu Je Tahu, pada 2023.
“Siri Yang Tahu Je Tahu merupakan drama pertama saya dan Arabella. Kami bermula dalam industri ini pada tahun yang sama.
“Peluang bekerjasama dalam projek itu membuat kami mengenali satu sama lain dengan lebih dekat,” kongsi Areef kepada Berita Harian (BH) melalui sesi wawancara melalui Zoom.
Drama 15 episod itu mengisahkan percintaan anak muda, Ikhwan (lakonan Areef), seorang pengawas sekolah yang baik hati dan meminati jirannya, Akira, lakonan Arabella.
Drama yang bersiaran di wadah penstriman Viu itu turut dibintangi barisan pelakon berbakat seperti Muaz Zabir, Haneesya Hanee, Kazar Saisi, Lisdawati, Rosnah Johari dan Mas Anizan.
Bagi Arabella, yang juga Naib Juara Dewi Remaja 2023, beliau selesa bekerjasama dengan Areef dan menyifatkan pengalaman itu amat menyeronokkan.
“Ia sangat mudah untuk mencari keserasian antara kami bertiga. Saya, Areef dan juga Muaz ‘sekepala’ dan tidak ada masalah untuk berbincang bagi sesuatu babak.
“Tentu sekali saya akan berkata ‘ya’ jika diberikan peluang untuk bergandingan dengan mereka sekali lagi,” kongsi Arabella, 20 tahun, yang mengakui dirinya pemalu.
Ditanya mengenai watak Akira yang jatuh cinta dengan seorang lelaki di alam maya, Arabella berkata adalah agak mudah untuk dirinya menjiwai watak tersebut.
“Watak Akira kuat sangat merajuk dan buat muka ‘muncung’. Ada sedikit persamaan kerana saya juga cepat merajuk.
“Namun Akira bercinta dengan individu yang tidak dikenali latar belakang di aplikasi cari jodoh.
“Ia agak berbeza dengan diri saya kerana saya rasa berkenalan di alam maya agak berbahaya,” jelasnya, yang mempunyai darah kacukan Melayu-British.
Mengulas mengenai pembabitan dalam dunia lakonan, kededua pelakon mengakui mempunyai latar belakang yang sangat berbeza sebelum bergiat aktif dalam dunia seni.
“Sebelum berlakon, saya menceburi bidang grafik bergerak dan kesan visual iaitu lebih kepada kerjaya belakang tabir.
“Saya bersyukur diberi peluang untuk mengetengahkan bakat saya.
“Alhamdulillah, apabila saya terima mesej mengenai drama, Mitos Cinta Akira, di akaun Instagram, saya rasa gembira,” kongsi Areef, yang mempunyai Diploma dalam Kesan Visual daripada KRU Academy, Malaysia.
Beliau mula menceburi bidang lakonan selepas menyertai bengkel penyiaran, Astro On Air Talents.
Bagi Arabella pula, nilai disiplin dan kerja keras yang dipelajari sewaktu menjadi atlet gimnastik di sekolah membantunya mengharungi pelbagai cabaran apabila menceburi dunia lakonan.
“Saya bersyukur dapat menggunakan bakat saya dalam gimnastik bagi drama, Generasi: Perfect 10, yang bakal ditayangkan tahun ini (2025),” tambahnya.
Ditanya mengenai perkembangan terkini, Arabella berkongsi beliau sedang membuat persiapan untuk sesi membaca skrip bagi drama kanak-kanak enam episod, Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup, bagi saluran Astro Ceria.
Arabella, yang pernah membintangi drama popular, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi, turut berterima kasih atas sokongan padu daripada kelab peminatnya, Bellarinas Fanclub.
Walaupun tidak terlibat dalam sebarang projek ketika ini, Areef berharap dapat diberi peluang untuk membawa watak yang lebih mencabar seperti pemuda bisu atau pekak kerana ia perlu digalas tanpa dialog.
Berbekal pengalaman di belakang tabir, Areef turut bercita-cita menjadi seorang pengarah drama pada masa hadapan. – HAKIM NORMAN HASSAN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg