Pelawak veteran Malaysia dengan nama pentas, Sathiya, 61 tahun, yang dirawat di Hospital Ampang, Malaysia, sejak 28 Ogos akibat penyakit kencing manis, sudah dibenarkan pulang ke rumah baru-baru ini.
Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy, meluahkan rasa gembira kerana sudah keluar dari wad dan kini sedang berehat bersama keluarga di rumah.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapinya, tiga jari kaki kiri Sathia terpaksa dipotong.
“Saya sudah seminggu keluar dari hospital dan keadaan kesihatan juga baik kerana hanya tiga jari kaki sahaja yang dipotong.
“Selera makan juga baik dan saya juga sudah makan banyak seperti biasa,” katanya dalam laman web Harian Metro.
Sementara itu, mengenai keadaan tiga jari kakinya yang dipotong pula, kata Sathiya, beliau akan menjalani pemeriksaan semula di hospital pada 20 Ogos ini.
“Saya akan ke hospital semula kerana doktor mahu periksa sama ada dua dari tiga jari kaki yang dipotong itu ada jangkitan atau tidak.
“Saya juga boleh berjalan tetapi secara perlahan dan masih lagi boleh berlakon walaupun terpaksa duduk di kerusi roda.
“Pada masa sama, saya juga sudah selesai penggambaran dua drama termasuk naskhah dalam bahasa Tamil sebelum dirawat di hospital sebelum ini,” kata pelakon yang terkenal melalui sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, pada era 1990-an itu.
Pada 2024, Sathiya pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan angin ahmar yang membuatkan pergerakannya agak terbatas.
Menurut anak Sathiya, Encik Amani, 36 tahun, selain diserang angin ahmar pada Ogos 2024, beliau turut disahkan menghidap penyakit diabetes.
Tidak hanya itu, pelakon sitkom Baba & Nyonya itu juga sudah beberapa tahun menghidap diabetes serta darah tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg