Pelakon, pelawak dan pengacara Malaysia, Sabri Yunus, yang mula dikenali menerusi sitkom komedi popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, pada era 1990-an, enggan lagi berlawak di atas pentas seperti dulu.
Sabri, atau nama sebenarnya, Muhammad Sabri Yunus, 64 tahun, mengatakan komedi antara perkara yang tidak perlu beliau dalami selama-lamanya kerana ia hanyalah antara watak atau lakonan bermusim.
“Kalau tak bermusim pun, sampai satu peringkat dah tak sesuailah saya tengok.
“Watak-watak komedi ini kita tengok semasa muda sahaja.
“Apabila sudah semakin berusia, kita tengok macam geli pun ada. Dah tak sesuai nak buat lawak.
“Sampai satu waktu, saya percaya meskipun orang komedi tidak bertukar menjadi orang lebih serius, lawak jenakanya haruslah bertukar,” kata Sabri, yang ditemui Harian Metro pada tayangan perdana filem. Denu, di Melawati Mall, Ampang, Malaysia, baru-baru ini.
Sabri turut menambah, beliau tidak bermaksud watak komedi tidak sesuai lagi dengannya, sebaliknya menekankan keperluan untuk melihat bentuk komedi itu sebelum menerima tawaran berlakon.
“Kita harus memikirkan komedi macam mana yang sesuai.
“Yang ada gagasan sebenarnya lebih baik dan sesuai dalam hiburan komedi.
“Kalau dalam lakonan, watak komedi itu okey. Tapi, apabila kita buat komedi atas pentas, penonton tonton orang tua, sudah lainlah.
“Orang akan kata, ‘Dah tua dah engkau, nak buat komedi!’
“Tapi kalau berlakon (watak komedi), lain cerita. Saya bukan Sabri lagi. Jadi, harus ada pertimbangan.
“Kalau saya nak berguling-guling (atas pentas) macam orang muda, tak bolehlah.
“Ada yang tak sesuai dengan saya lagi,” jelas Sabri.
Dalam perkembangan berkaitan, Sabri menjayakan watak Pok Yeh, seorang penggiat makyung di Kelantan, melalui filem, Denu, arahan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.
Filem yang memaparkan perjuangan dan kelangsungan kesenian makyung ketika zaman pasca merdeka itu turut menampilkan barisan pelakon seperti, Nad Zainal, Azman Hassan dan Hairi Safwan.
Denu bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia, mulai 21 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg