Selepas makan tujuh ulas durian kerana enggan melepaskan peluang menikmati keenakan rasa raja buah itu pada musimnya, anggota kumpulan hip-hop terkenal 1990-an, Nico G, Dino rebah pula akibat penyakit angin ahmar, sehari selepas itu.
Sehubungan itu, Dino, atau nama sebenarnya, Mohd Shah Rosli, 50 tahun, yang diserang strok pada bahagian kanan badan sejak tiga minggu lalu, percaya pemakanan tidak dikawal dan rokok yang dihisap terlalu banyak menjadi antara faktor yang menjejas kesihatannya.
“Saya suka durian dan setiap kali tiba musimnya, saya mesti makan. Sehari sebelum kejadian (diserang strok), saya makan tujuh biji durian kampung. Esok paginya, terus jadi macam ini. Ketika bercakap dengan doktor, mulut saya masih berbau durian.
“Saya juga merokok sejak usia muda. Jadi, itu mungkin menyumbang kepada masalah kesihatan saya. Namun, saya sedang cuba untuk berhenti merokok,” katanya selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, ke kediamannya sempena Program Ziarah Seni Madani di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 4 Ogos.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada program Ziarah Seni Madani, Dino menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan daripada Kementerian Komunikasi dan Finas.
Dino yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah, terpaksa mengambil cuti sakit berikutan masalah kesihatan tersebut.
“Buat masa ini, majikan beri saya cuti sehingga pulih. Sebelum ini, majikan bantu saya dengan sumbangan RM500 ($152.24).
“Tetapi selepas sebulan, saya sudah tiada pendapatan. Disebabkan itu, saya minta bantuan. Sekarang saya bergantung pada wang simpanan sedia ada,” katanya yang menetap bersama bapa dan ibu saudaranya.
Dino bersyukur keadaannya semakin baik.
“Ketika awal serangan strok, saya tidak boleh bergerak sangat, Hendak bercakap pun tidak jelas. Tetapi, hari ke hari saya cuba lawan dan usaha, akhirnya, semakin baik daripada sebelumnya.
“Saya akan lebih berhati-hati dalam pemakanan dan ambil semua ubat yang diberi doktor. Saya kena selalu ambil ubat cairkan darah supaya tiada kolestrol yang tersumbat,” katanya.
Dino berkata, beliau perlu mendapatkan rawatan susulan dua minggu sekali di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bagaimanapun, beliau mendapatkan rawatan alternatif atau tradisional dengan berurut yang membabitkan kos kira-kira RM200 bagi setiap sesi.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan pelakon filem, KL Gangster, Soffi Jikan, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), akibat jangkitan kuman.
Keadaannya kini makin stabil. Soffi, atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan, 54 tahun, ketika dihubungi menerusi pesanan WhatsApp hanya menjawab ringkas pertanyaan yang diajukan berkaitan perkembangan terkininya.
“Alhamdulillah,” jawabnya ringkas.
Ditanya bila beliau akan dibenarkan keluar wad, Soffi hanya memaklumkan beliau tidak tahu.
Terdahulu, tular di TikTok apabila seorang individu dipercayai kenalan Soffi, dengan nama Hasyim, memuat naik video yang memaparkan keadaan terkini pelakon itu yang berada di hospital.
“Mula-mula dia masuk wad sebab kena kencing tikus dan denggi. Selepas enam hari dalam wad, dia sudah boleh keluar,” tulisnya.
Hasyim berkata, Soffi kemudian dimasukkan ke hospital semula selepas keadaan kesihatannya didapati kurang memuaskan.
“Selepas tiga hari, dia demam semula sebab dadanya sakit dan hati pula dijangkiti kuman,” tulisnya.
Soffi, menerusi TikTok, pula menulis keterangan berkaitan penyakit yang dihidapinya.
“Salam semua, balik dari Sabah demam teruk, kena denggi dan kencing tikus. Sihat sikit sambung kerja pergi ‘shooting’di Johor kemudian pergi ke Padang Besar, Perlis.
“Kena strok haba, kemudian kena jangkitan kuman dan masuk Hospital Sungai Buloh,” tulisnya.
Netizen pula menitipkan doa buat Soffi agar beliau kembali sihat dan dapat melakukan kegiatannya seperti biasa.
Turut dilaporkan sakit ialah pelawak veteran, Sathia, 61 tahun, yang positif, malah menganggap penyakit kencing manis yang mengakibatkan tiga jari kaki kirinya dipotong, bukanlah ujian besar dalam hidupnya sejauh ini.
Sathia, atau nama sebenar, Sathivel Periasamy, tidak sedih dengan apa yang berlaku kerana percaya Tuhan sentiasa ada untuk membantu.
“Saya ‘enjoy’ sahaja dengan apa yang berlaku. Saya tidak rasa sedih sedikitpun. Buat apa mahu sedih? Nanti, kalau esok lusa saya mati pun akan gembira.
“Saya tidak pernah sedih, hanya mahu gembira sahaja.
“Selepas apa yang berlaku, saya sudah berpesan kepada isteri dan anak-anak, kalau saya mati, barulah menangis,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Encik Teo pada Program Ziarah Seni Madani, di Hospital Ampang.
Biarpun berdepan masalah kesihatan, Sathia, pelakon sitkom popular era 1990-an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, tidak bimbang dengan status kewangan selepas mata pencarian terjejas.
“Saya brsyukur walaupun berdepan ujian ini, ada orang baik hulurkan bantuan kewangan. Orang itu bagi sedikit, orang ini pula bagi sedikit, jadi okeylah... Saya syukur,” katanya.
Sathia juga gembira dikunjungi kawan rapat meskipun mereka sibuk.
“Saya faham keadaan orang lain termasuk kawan-kawan artis. Mereka sudah pasti ada masalah sendiri. Jadi, kalau jumpa, jumpalah. Tapi kalau tak berjumpa, tidak mengapa.
“Macam saya kata, saya hanya mahu bergembira sahaja,” katanya.
Sementara itu, anak sulung Sathia, Amani, 36 tahun, berkata, selain kencing manis, bapanya turut disahkan mengalami masalah angin ahmar sejak Ogos 2024.
“Bapa saya sudah ditahan di wad sejak 28 Julai lalu selepas jari kakinya menjadi hitam akibat jangkitan kuman.
“Doktor nasihatkan agar jari kakinya yang sudah dijangkiti kuman itu perlu dipotong untuk mengelak merebak ke bahagian lain,” katanya.
Amani berkata bapanya akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan kakinya baik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg