Siapa sangka seorang belia dari Australia, yang pernah tercicir daripada Sekolah Tinggi Seni Pementasan Newtown di Sydney, akhirnya dilamar untuk menjayakan watak utama sebagai adiwira dalam filem yang dipadankan daripada dunia komik DC Universe, Supergirl.

Milly Alcock, 26 tahun, yang pernah bekerja sambilan sebagai pelayan kafe di kawasan bandar Marrickville di Sydney, bahkan, tidak menduga apabila rezeki menyebelahinya setelah bertahun membina nama sebagai pelakon remaja.

Sewaktu ditemui laman Brit+Co untuk mempromosikan filem, Supergirl, yang kini ditayangkan di pawagam serata dunia termasuk Singapura, Alcock secara selamba berkata:

“Saya rasa saya dapat peranan jadi wirawati Supergirl kerana rambut saya yang menawan.

“Apabila angin bertiupan, ia akan berkibaran cantik! Itulah yang menarik tentang diri saya.”

Alcock yang bermula sebagai pelakon teater seawal peringkat prasekolah mula muncul di kaca televisyen dalam satu episod drama komedi romantik di stesen Network Ten, Wonderland.

Selepas menjayakan beberapa iklan untuk restoran makanan segera KFC dan pasar raya Woolworths, beliau mencipta nama sebagai watak Isabella Barrett dalam siri web, High Life.

Namun, drama komedi, Upright, yang membuka ruang bagi penerbit antarabangsa mengesan bakat semula jadinya sehingga Alcock menerima banyak tawaran berlakon bagi projek berskala besar seperti siri fantasi, House of the Dragon.

Dalam pada itu, apabila ditanya tentang aksi nekad paling ‘menggila’ dalam Supergirl, beliau berkata:

“Saya secara tidak sengaja terpukul seseorang yang menjadi pelakon gantian saya dalam latihan beberapa babak nekad.

“Saya menumbuknya dan turut tertumbuk seorang lagi pelakon. Mujurlah, mereka lelaki kuat dan tak apa-apa.

“Ada banyak risiko dalam filem adiwira. Menakutkan kalau anda tidak sengaja mencederakan rakan sekerja.

“Anda prihatin dan ambil berat tentang mereka.”

Sementara itu, pengarah Supergirl, Craig Gillespie, 58 tahun, menyifatkan Alcock sebagai pelakon yang rajin dan bersungguh-sungguh memberikan komitmen dalam lakonan.

“Setiap pagi, Milly akan berlatih, bersenam dan memastikan tubuh dan staminannya sejajar dengan keperluan membawa watak wirawati filem.

“Saya juga akan mengujinya dengan memberitahunya ada satu babak lima lelaki sekali gus akan ‘terbang’ ke udara untuk menyerang Supergirl.

“Milly perlu menumbuk dan menendang mereka sekuat hatinya dalam masa penggambaran selama tiga minit.

“Itulah yang menakutkan sebab kadangkala dalam wujud rasa teruja, ada watak yang tidak sempat dibelasahnya.

“Bagaimanapun, Milly dengar kata dan dia akan menjadikan setiap adegan menyeronokkan untuk ditonton,” ujar Gillespie.