Pengalaman sering menjadi tumpuan ketika membeli makanan di pusat penjaja makanan ialah perkara lazim bagi individu yang mempunyai keperluan khas.
Keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan, bahkan membuat mereka rasa terasing dalam masyarakat umum.
Lantas, seni tarian dijadikan sebagai ruang selamat untuk membicarakan tema mengenai masyarakat yang terangkum dalam era ini, khususnya bagi golongan istimewa.
Itulah antara tujuan kumpulan tarian berbilang disiplin, Maya Dance Theatre, melahirkan persembahan unik berjudul, Bhumi, melibatkan Kolektif Tarian Pelbagai Keupayaan (DADC) yang memaparkan penari pelbagai kebolehan.
Bhumi mengetengahkan individu dengan keperluan khas, memperlihatkan pengalaman hidup sebenar mereka, sekali gus mencabar stereotaip masyarakat.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 20 Mei, Encik Imran Manaff, selaku penerbit Bhumi, berkata:
“Konsep bagi persembahan ini lahir daripada saya dan juga pengarah artistik, Cik Kavitha Krishnan, berdasarkan pengamatan kami dalam masyarakat masa kini.
“Dalam era ini, ramai dalam kalangan umum ingin membentuk masyarakat yang merangkum kepelbagaian.
“Namun, apabila kami bertanya kepada mereka (individu dengan keperluan khas), sejujurnya mereka tidak rasa terangkum dalam masyarakat tersebut.
“Banyak pihak membincangkan tentang kepentingan keterangkuman dalam masyarakat, namun hakikatnya masih ramai yang belum benar-benar mengalami atau merasainya.”
Pementasan yang telah dirancang antara Ogos dengan September 2024 itu menghimpunkan pelbagai artis daripada Gigi Art of Dance, Indonesia; Liz Lea Creates dan TheStellar Company, Australia; dan Under the Bridge Collective, Singapura.
Turut terlibat ialah seniman teater persembahan puisi, Cik Verena Tay, serta arahan muzik oleh Encik Kailin Yong.
Pementasan Bhumi bakal berlangsung selama satu setengah jam dalam tiga set persembahan iaitu 13 Jun bermula 8 malam; dan 14 Jun pada 3 petang dan 8 malam di Black Box, Pusat Drama.
Selain itu, penonton berkesempatan melihat sebuah pameran di ruang legar Pusat Drama, yang memaparkan pelbagai aspek kehidupan harian individu dengan keperluan khas.
Melalui reka tari yang rumit dan mendalam, Bhumi menjadi ruang untuk menyelami nilai kepercayaan, hubungan serta kerjasama dengan individu yang pelbagai.
Jurutari yang juga penerima Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Encik Mohamad Sufri Juwahir, 42 tahun, turut berkongsi pengalaman unik bekerjasama dengan Cik June Lin Yizhen, 41 tahun, penari Sindrom Down, dalam tarian berjudul, Sailing the Sea of Emotions atau ‘Mengharungi Lautan Perasaan’.
“Cara unik June mentafsir pergerakan bukan sahaja menambah lapisan emosi pada tarian, malah membuka ruang komunikasi baru antara kami.
“Kami turut meneroka dengan beberapa ‘prop’ misalnya, kerusi. Kerusi yang digunakan ditafsirkan sebagai mikrofon, kemudian tongkat dan permainan karusel.
“Jadi, melalui beberapa penerokaan ini, kami dapat membentuk sesuatu yang unik dalam koreografi tersebut,” kata Encik Sufri.
Lebih menarik lagi, jurutari dan penari, Cik Gianti Giadi, juga pengasas dan pengelola akademi tari, Gigi Art of Dance, di Jakarta, menceritakan proses kreatif yang dilakukan secara dalam talian.
Walaupun perlu menghadapi beberapa kekangan, cabaran ini justeru membuka peluang bagi penerokaan baru yang lebih segar.
“Memandangkan proses latihan dijalankan secara maya, cabaran utama yang kami hadapi adalah bagaimana menyelaraskan pelbagai gaya dan pergerakan dalam tiga ruang berbeza secara serentak.
“Dalam segmen tarian kami yang dipimpin oleh dua penari Sindrom Down, kami menggunakan bahasa isyarat sebagai motif utama, membuka ruang komunikasi melalui beberapa isyarat seperti ‘tolong’ dan ‘terima kasih’.
“Daripada situ, kami memperkembangkan bahasa isyarat ini menjadi elemen penting dalam keseluruhan tarian kami.
“Beberapa bahagian tarian juga melibatkan improvisasi, di mana perasaan salah seorang penari Sindrom Down ditonjolkan, khususnya ketika beliau berasa tertinggal setiap kali dikelilingi orang lain yang bergerak lebih pantas daripadanya.
“Oleh itu, motif tarian ini mengikuti rentak dan tempo penari tersebut, yang diilhamkan daripada perkongsian mereka mengenai pengalaman peribadi,” kata Cik Gianti.
Berkata kepada BH, Cik Lin turut mengakui mengalami ‘anxiety’ atau kebimbangan melampau ketika berhadapan dengan ramai orang sewaktu menjalani latihan menerusi alam maya.
Berbekalkan semangat dan nyala rasa dalam tarian, beliau menghadapi cabaran tersebut dengan penuh ketekunan.
“Pada mulanya, saya berasa kurang selesa berada di dalam ruangan yang dipenuhi ramai orang.
“Namun, saya sangat bersyukur atas kehadiran Gianti dan Sufri, yang dengan sabar membimbing saya sepanjang latihan yang dijalankan secara dalam talian.
“Walau apa pun cabarannya, saya tetap tidak berputus asa kerana minat saya terhadap tarian,” kongsi Cik Lin.
Di samping itu, menyentuh perbezaan pengalaman dan cabaran individu berkeperluan khas di Singapura dan Indonesia, Cik Gianti berkongsi bahawa peluang pekerjaan yang membolehkan individu istimewa menyalurkan bakat mereka masih dianggap baru di Indonesia.
Lantas, pementasan tarian ini dilihat sebagai nyala suara yang menyatukan individu dengan kepelbagaian dari tiga negara iaitu Singapura, Indonesia dan Australia, dalam satu perjuangan bersama penuh makna.
Susulan tayangan perdana di Singapura, Bhumi akan dipersembahkan di Taman Ismail Marzuki, Jakarta, pada 29 Jun.
Persembahan ini bertujuan memupuk pertukaran budaya serta memperkukuhkan mesej perpaduan dan keterangkuman.
Tiket bagi pementasan Bhumi berharga antara $25 dengan $32 boleh didapatkan melalui laman web Peatix https://bh.sg/bhumi.
“
Dalam segmen tarian kami yang dipimpin oleh dua penari Sindrom Down, kami menggunakan bahasa isyarat sebagai motif utama, membuka ruang komunikasi melalui beberapa isyarat seperti ‘tolong’ dan ‘terima kasih’. Daripada situ, kami memperkembangkan bahasa isyarat ini menjadi elemen penting dalam keseluruhan tarian kami.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg