Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemergian pelawak Khairul Azhar: Fauziah Nawi temui semula ‘adik’ di ‘Santan Berlada’ pada 2024

May 30, 2025 | 11:37 PM
Fauziah Nawi, Khairul, Santan Berlada, pelakon, sitkom
Datuk Fauziah Nawi, 72 tahun, mendedahkan agak lama terputus hubungan dengan Allahyarham Khairul Azhar Abdul Samad, 70 tahun, selepas sitkom itu tamat, sehinggalah isteri Khairul meninggal dunia dan beliau melawat untuk mengucapkan takziah. - Foto fail

Pelakon sitkom popular era 1980-an, Santan Berlada, iaitu Datuk Fauziah Nawi, 72 tahun, mendedahkan agak lama terputus hubungan dengan Allahyarham Khairul Azhar Abdul Samad, 70 tahun, selepas sitkom itu tamat.

Namun, Fauziah bersyukur dapat berhubung semula dengan Khairul yang dipanggilnya Joe sempena watak dalam sitkom itu apabila mendapat berita kematian isterinya, Cik Norsidah Ahmat, pada Jun 2024.

“Saya bersyukur dapat cakap dengan dia bila dapat tahu isterinya meninggal dunia. Ada orang bagi nombor dia dan kami berdua dapat berbual lama.

“Dengar suara dia daripada perbualan itu memang macam dulu lagi. Sangat bersemangat. Kami seronok berbual kerana dia anggap saya macam kakak sendiri.

“Berita pemergiannya yang diterima hari ini (30 Mei) amat menyentuh perasaan saya,” kata Fauziah kepada Harian Metro.

Khairul meninggal dunia di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang, pada malam 29 Mei.

Fauziah yang membawa watak Kak Ti dalam sitkom itu berkata dalam pada karakter lawaknya, Khairul seorang yang berdisiplin dan komited dengan kerjanya.

“Dia sangat risau kalau tak buat persiapan untuk sesuatu program. Dengan adanya komitmen itu, semua urusan kami lancar.

“Hubungan saya dengan dia serta semua pelakon sangat rapat ibarat satu keluarga. Mereka suka sangat datang berehat di rumah saya. Ketika itu saya masih lagi bertugas sebagai penyampai radio.

“Suami saya pun tak kisah kalau saya keluar dengan mereka. Kadang-kadang itu tahu sajalah kan mereka berbual dengan wanita, saya terus jerit, adik-adik jangan cakap dengan dia.

“Mereka dah kahwin, dah ada anak. Terus mereka geram dengan saya,” katanya mengingati kenangan lampau.

Fauziah atau mesra dengan panggilan ibu berkata hanya tinggal beberapa pelakon asal siri terbabit yang masih hidup selain dirinya.

Katanya, Ibrahim Akir yang membawa watak Pak Yeop Kidal kini menetap di Kajang, manakala Abdul Rahman Aminuddin yang membawa watak Farouk tinggal di Perak.

“Saya harap RTM dapatlah siarkan kembali sitkom itu untuk mengembalikan nostalgia peminat terhadap kami, selain nak bagi generasi sekarang tahu kewujudan kami,” katanya.

Selain Khairul Azhar, pelakon Santan Berlada yang sudah meninggal dunia ialah Baharuldin Darus (Asrol), Radin Zaihan (Ghani Martopo), Ali Mamak, Os dan Acappan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg