Pemuzik kumpulan Spring, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail atau lebih dikenali sebagai Iskandar Spring, meninggal dunia di kediaman di Miri, Sarawak, kira-kira 1 pagi 24 Jun.
Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abd Majid, berkata pihaknya dimaklumkan berita sedih itu oleh isteri Allahyarham Iskandar, yang juga pemain gitar Spring, iaitu Nur Hidayah Cecilia.
“Saya dimaklumkan Iskandar meninggal dunia pada 1 pagi tadi di Miri. Saya terus beritahu isteri Ameng Spring, iaitu Sabariah, dan beliau hubungi Cecilia. Sekarang ini jenazah sedang dimandi di masjid.
“Arwah sudah lama berdepan penyakit strok dan kegagalan buah pinggang,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
BHM cuba menghubungi Cecilia, namun, panggilan tidak dijawab.
Ayob berkata Iskandar bukan sekadar pemuzik berbakat dan menjadi antara pengasas kumpulan Spring, malah, dianggap rakan seperjuangan yang sangat dekat di hatinya.
“Kami pernah bekerja rapat ketika bertugas di Sony Music, di mana kumpulan Spring berada di bawah jagaan saya ketika itu.
“Hubungan kami bukan sekadar profesional, malah penuh nilai persahabatan dan saling menghormati.
“Saya bersedih kerana mengikuti perkembangan kesihatan arwah yang diuji dengan strok dan kegagalan buah pinggang, sebelum berhijrah ke Miri, kampung isterinya.
“Kali terakhir kami berhubung ketika saya menyampaikan sumbangan kepadanya. Ketika itu, suaranya tetap tenang, sabar dan penuh rasa syukur walaupun dalam ujian berat,” katanya.
Tambah Ayob, Iskandar tidak pernah dilupakan sahabat seni.
“Malah, kami di Konsortium Irama, bersama PJ Art Lane, Ameng Spring dan Umarul Iklim pernah menganjurkan program amal khas untuk membantu meringankan beban arwah ketika sedang uzur.
“Program itu bukan sekadar mengumpul dana, tetapi lambang kasih dan setia kawan dalam dunia seni tanah air. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat dunia muzik Malaysia.
“Namun legasinya, irama, semangat dan silaturahim akan terus dikenang. Semoga Allah swt mengampuni segala dosa arwah, terima amal baiknya dan menempatkan rohnya bersama solihin,” katanya.
Sebelum ini, Allahyarham Iskandar dilapor bertahan dalam keadaan lumpuh dan menderita pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis dan kesukaran bertutur.
Pada masa sama, arwah dilapor perlu menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang.
Allahyarham Iskandar yang menjadi antara pengasas kumpulan Spring, juga hilang daya upaya kerja dan tiada sumber mata pencarian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg