Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaleha Hamid dikenang kerana kaya disiplin, penghayatan lagu

Tarikan besi semberani Ratu Dangdut sampai ke hati peminat sejauh Amerika
Jun 21, 2025 | 5:30 AM
Zaleha Hamid, Ratu Dangdut, Strok
Keadaan kesihatan Allahyarhamha Zaleha Hamid kian meruncing selepas diserang angin ahmar pada 2019. - Foto ESPLANADE

Disiplin dan ketegasan, gurau senda yang mencuit hati serta kawalan emosi yang mantap ketika membawa lagu meratap sedih dan merayu.

Semua ciri-ciri yang ada pada Ratu Dangdut, Zaleha Hamid, bahkan menjadi rencah yang memperkasa setiap persembahannya, dari dahulu hingga ke acara terakhir yang dijayakan di Teater Luar Esplanade sempena Pesta Raya pada Julai 2019.

Segalanya kini tinggal kenangan apabila Zaleha, 65 tahun, atau nama sebenarnya, Siti Zaleha Abdul Hamid, menghembuskan nafas terakhirnya kerana jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru sekitar 8.30 malam, 19 Jun 2025.

Selama enam tahun keadaan kesihatan pelantun lagu, Jangan Segan Segan, itu terjejas selepas dilanda angin ahmar pada 2019, beberapa bulan selepas kelihatan bertenaga di pentas Esplanade.

Awalnya, keadaannya dikatakan beransur pulih dari tahun ke tahun, tetapi keadaannya dikatakan kembali seperti serangan angin ahmar pertama pada 2019.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat lebihan kalsium dalam otak penyanyi yang popular pada 1980-an itu.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, menjelaskan: “Sejak keluar hospital, isteri sudah tidak boleh bercakap seperti biasa.

“Sebelum ini, percakapannya jelas, tapi kembali tak jelas selepas mengalami kekejangan.

“Lagipun, bahagian dadanya banyak lendir, jadi terpaksa sedut menggunakan vakum.”

Saya mengingati Kak Leha (panggilan saya buatnya) sebagai seorang penghibur yang berdisiplin bab masa.

Dalam wawancara pada 2019, Kak Leha dikatakan sudah datang dua jam lebih awal untuk latihan pada 2 petang, walaupun latihan bermula pada 4 petang.

“Beliau ingin berlatih sampai segalanya sempurna daripada pengamatan dan pendengarannya. Tengok ni... dah 5.30 petang, beliau masih ligat berlatih,” jelas spesialis perhubungan Esplanade, Cik Gina Koh, yang menemani saya ketika itu.

Apabila kami akhirnya bertemu sekitar 15 minit selepas itu, Kak Leha, dengan senyuman ramah dan nada penuh keprihatinan, bertanya:

“Interviu tak makan masa lama ya, dik? Bukan apa... nanti nak rehat sekejap, siap-siap, berdandan semua. Itu pun makan masa.

“Takut tergesa-gesa dan kelam-kabut. Dah warga emas, faham-faham sahajalah.”

Tubuhnya yang dahulunya agak berisi kelihatan lebih kecil. Saya tahu beliau kurang sihat dek dimamah usia.

Namun, semangatnya untuk menghiburkan orang masih membara dan menyala.

Pada ketika itu, saya khusyuk mendengar tentang perjalanan seninya.

Beliau yang dilahirkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang, pada 31 Ogos 1957 sebelum aktif di Singapura, menjelaskan minat menyanyi timbul sejak kecil sebab keluarganya semua orang bangsawan.

“Kak Leha banyak terdedah pada menonton dan melibatkan diri sebagai penyanyi latar kisah bangsawan raja-raja.

“Biasanya, kita lihat sejarah sesebuah kisah bangsawan. Kita terdedah pada irama asli ataupun yang berbaur Hindustan. Menyanyi lagu ala Hindustan ini bukannya mudah. Ia campuran irama Indonesia, India dan Arab.

“Kak Leha siang ke sekolah, malam menyanyi. Saya kena belajar sebutan lirik, perlu hafal lirik dan fahamkan maknanya bagi berikan penghayatan yang mendalam.

“Guru Kak Leha ni pula bukan main garang. Dari 9 pagi, kami mula berlatih. Beliau akan ajar cara tampilkan wajah sedih atau muka gembira mengikut keperluan lagu itu.

“Berlatih dan terus berlatih tanpa henti dan tanpa makan dan minum sampailah petang. Pada 4 petang, baru dapat teguk air.

“Pada 5 petang pula, barulah dapat makan nasi. Beliau tekankan kesempurnaan. Lantaran itu, perjalanan seni Kak Leha memang tak senang,” ceritanya.

Kak Leha berterima kasih kepada ibu bapanya kerana mencorak dirinya sebagai anak seni yang cekal.

Arwah bapanya ialah, Hamid Geliga, penggesek biola yang disifatkan sebagai terbaik di seluruh Malaysia dan Singapura.

Ibunya, Jaharah Ghani, pula pelakon bangsawan seangkatan dengan seniwati Kasma Booty.

“Nak katakan seluruh keluarga besar memang main bangsawan.

“Kakak-kakak menari dan kadangkala jadi dayang dalam bangsawan. Abang pun sama, menari dan diberi tugas sebagai pengawal bangsawan,” kongsinya yang merupakan anak bongsu.

Sepanjang 1960-an dan 1970-an, kugiran Orkes Zindegi yang popular dengan irama Hindustan menjadi tapak beliau menggarap bakat menyanyi, menari dan menghiburkan peminat.

“Kita bukan menyanyi suka-suka. Teknik menari dan menghibur diambil kira. Takkan menghiburkan orang, asyik cakap, ‘Baiklah hadirin, sekarang... lagu seterusnya...’

“Lama-lama orang pun bosan tengok kita. Sampai sekarang orang kata, Kak Leha kelakar di pentas. Itulah aset seorang penghibur. Penghibur harus bawa penonton belayar ke dalam dunianya, baik sedih mahupun gembira.

“Kak Leha suka menjiwai lagu Hindustan dengan menonton filem Hindustan yang memaparkan lagu tersebut. Saya bukan tengok sekali tetapi wajib tonton tiga kali!

“Kali pertama, saya dengar lagunya. Kali kedua ke pawagam, saya amati tariannya dan kali ketiga menyaksikan filem tersebut, saya belajar menyelaraskan teknik nyanyian sambil menari.

“Kita perlu cari identiti kita sendiri dan cipta sesuatu buat hiburan penonton,” kongsi beliau penuh semangat.

Kak Leha cukup merendah hati sehinggakan beliau menjelaskan gelaran Ratu Dangdut itu tidak dimintanya tetapi diberikan dengan penuh adab oleh penulis lirik, Allahyarham Haron Abdul Majid.

“Beliau memberi atas dasar melihat timbunan surat peminat dan jumlah mereka yang menelefon dan sudi memberi maklum balas yang positif kepada saya.

“Beliau mengamati sorakan penonton dan melihat usaha serta jerih payah saya memasyarakatkan dan memperjuang dangdut yang asli.

“Saya tidak meminta gelaran tersebut malah buat masa ini, mencari generasi pelapis yang sesuai untuk diserahkan gelaran tersebut,” katanya.

Penyanyi Masnie Mohamad, yang bagaikan sudah diserahkan oleh Kak Leha, amanah meneruskan perjuangan irama dangdut, menganggap Kak Leha sebagai pembimbing yang garang dan tegas ketika bekerja.

“Telinganya dengar sahaja apa jua kesilapan muzik dan vokal. Selagi tak sedap di telinganya, selagi itu beliau akan pastikan ia sempurna mengikut kehendaknya. Beliau jujur dan ‘cakap lepas’ demi kebaikan semua.

“Di sebalik segalanya, Kak Leha suka berkongsi pengalaman dan senang diajak berunding atau bergurau. Saya pernah dimarah kerana nyanyian saya tidak memenuhi jangkaannya.

“Tapi saya terima dan akur nak jadi penghibur, jangan buat orang bosan. Kita harus pandai berinteraksi,” ujar Masnie.

Pendek kata, daya tarikan Kak Leha sampai ke hati mat salih di Amerika.

Peminat pop-yeh-yeh dari Virginia, Encik Carl Hamm, yang menggemari kelincahan Kak Leha dan gaya fesyennya yang bewarna-warni pada 1960-an berkata:

“Apabila saya berpeluang menemui Zaleha di Johor Bahru pada 2010, ia bak satu impian menjadi nyata.

“Saya dapat tahu beliau merakam lagu bersama Orkes Zindegi. Gabungan irama pop- yeh-yeh dan Bollywood disatukan dengan gaya yang disebut sebagai ‘Ala Hindustan’ atau ‘Irama Hindustan’.”

Allahyarhamha Zaleha selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga di Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg