Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengacara, Halim Othman tidak jumpa anaknya, Myra lebih setahun

Apr 25, 2025 | 5:42 PM
Halim Othman, Myra Natasya, tak berjumpa lebih setahun
Pengacra dan penyampai radio mapan Malaysia, Halim Othman (kanan) berharap dapat berbaik semula dengan anaknya, Myra Natasya setelah lebih setahun tidak berjumpa. - Foto BHM

Pengacara dan mantan penyampai radio popular, Halim Othman mendedahkan sudah lebih setahun tidak berjumpa anaknya yang juga pelakon, Myra Natasya.

Halim atau nama sebenarnya, Abdul Halim Othman, 60 tahun, berkata beliau masih berusaha dan meluahkan hasrat untuk berbaik semula dengan anak perempuannya itu.

“Kita tidak kerap berhubung, tetapi saya ada hantar mesej kepadanya dengan harapan kita akan berjumpa untuk memulihkan semula hubungan.

“Sudah satu tahun lebih kami tidak berjumpa. Saya berikan dia peluang. Bagi dia bertenang dan ruang untuk kami berbaik semula,” katanya yang dikenali dengan rancangan Roda Impian bersama pelakon dan peragawati, Eja.

Hubungan dua beranak itu didakwa renggang selepas Myra atau nama lengkapnya Yusmyra Natasya Abdullah, 30 tahun, mengakui dirinya anak tidak sah taraf.

Malah Myra mendedahkan Halim dan ibunya iaitu Yusnita Omar tidak pernah berkahwin di Thailand seperti yang pernah diperkatakan serta mempersoalkan isu penamaan bapa dalam sijil kelahirannya.

Ditanya mengenai sambutan Hari Raya bersama keluarga, Halim memaklumkan sambutan Aidilfitri pada 2025 baginya meriah apabila dapat pulang ke kampung halaman di Terengganu dan berjumpa seluruh keluarga.

“Saya tidak menyambut Hari Raya bersama anak tetapi kami masing-masing ada mengucapkan Selamat Haria Raya.

“Boleh dikatakan antara Hari Raya paling meriah. Saya pulang ke Terengganu 10 hari selepas Hari Raya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran treler filem Keluang Man di pusat beli-belah, TRX, Kuala Lumpur pada 23 April.

Mengenai pembabitannya dalam filem adiwira Keluang Man arahan Anwari Ashraf itu pula, Halim berkata sukar buat dirinya melepaskan peluang terbabit dalam filem hebat itu selepas pengarah memaklumkan akan mewujudkan satu watak khas yang diilhamkan daripada identitinya.

“Macam mana untuk saya kata tidak apabila mereka katakan watak itu tidak ada siapa boleh buat selain saya sendiri.

“Jadi rasa sangat terharu dan terkesan dengan imaginasi Anwari Ashraf untuk meletakkan kenangan Malaysia pada tahun 1998 serta sekitar 2000 itu dalam filem superhero kita ini,” katanya sambil mendedahkan beberapa watak akan mengimbau kenangan mengenai radio dan gayanya mengacara dalam filem adaptasi watak animasi popular 1990-an itu.

Tambahnya, beliau dikehendaki berlakon dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu jadi watak dalam pemikiran teraju utama filem terbabit.

Mengulas sama ada pembabitannya itu sebagai kemunculan semula dalam dunia hiburan tanah air, Halim berkata sukar memberi penjelasan mengenai perkara itu dan menyifatkan pengalaman itu sesuatu yang menyeronokkan.

Keluang Man terbitan Astro Shaw menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Nas Muammar Zar atau Nas-T, Datuk Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon dan ramai lagi.

Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 29 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg