Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggerak podcast, The Bubble Clan, cipta lagu ‘Butang Baju Raya’

Apr 3, 2025 | 5:30 AM
Penggerak podcast, ‘The Bubble Clan’, yang terdiri daripada (dari kiri) Achik dan Amad, ingin mengembalikan nostalgia membuat persiapan Raya, yang sentiasa kecoh dan meriah, dalam lagu, ‘Butang Baju Raya’.
Penggerak podcast, ‘The Bubble Clan’, yang terdiri daripada (dari kiri) Achik dan Amad, ingin mengembalikan nostalgia membuat persiapan Raya, yang sentiasa kecoh dan meriah, dalam lagu, ‘Butang Baju Raya’. - Foto THE BUBBLE CLAN

Dengar tajuk lagu Raya pertama dan terbaru penggerak podcast, The Bubble Clan ini, teringat penulis pada dialog ikonik filem Madu Tiga, “Butang baju aku mana Pah?”

Butang Baju Raya – begitulah judul lagu mereka yang tampil penuh misteri, berkaca mata hitam, dengan salah seorangnya berpelitup muka, seakan-akan enggan orang mengenal pasti identiti sebenar mereka yang pernah mewarnai persada seni Singapura, suatu ketika dahulu.

Dua peneraju podcast, yang hanya ingin dikenali sebagai, Amad dan Achik, berusia lewat 30-an tahun.

Mereka hanya mahu pendengar mengamati nostalgia dan keceriaan yang ‘melekat’ pada lagu ini dan inti pati lagu yang menggambarkan semangat teruja membuat persiapan Raya.

Ditanya mengenai apakah yang mencetus idea bagi, Butang Baju Raya, Amad berkata sebagai pengendali podcast, mereka ingin mengetengahkan kepada masyarakat dan pengikut mereka tentang bakat serba boleh mereka.

“Selain bersembang santai di studio podcast, kami juga kepingin bawa ‘vibe’ Hari Raya yang segar tetapi masih mengekalkan sentuhan nostalgia Lebaran seperti zaman dahulukala, yang penuh sisipan dialog filem P. Ramlee, kepada orang ramai.

“Lagi pun, ketika kita menyambut Hari Raya, kita bukan sekadar nak pakai baju baru atau rasa makanan lazat, tetapi ingin mengabadikan momen-momen kecil yang buat kita rasa dekat dengan keluarga dan kawan-kawan.

“Sebab (dalam) podcast, kami berbincang mengenai bermacam topik, jadi mengapa tidak kami bikin lagu Raya yang boleh mewujudkan keceriaan atau perasaan ‘feel good’ dalam diri semua orang?” jelas Amad.

Menurutnya lagi, Butang Baju Raya, bukan sekadar lagu Raya biasa malah merupakan lambang keseronokan dan kesibukan membuat persiapan menjelang 1 Syawal.

“Daripada sibuk mencari baju Raya, pasang lagu Raya sampailah berkumpul beramai-ramai... semua benda kecil ini yang buat Raya lebih bermakna.

“Kami nak sampaikan kepada orang ramai, Hari Raya bukan tentang glamor semata-mata tetapi lebih kepada meraikan suasana bersama yang akan disimpan sebagai kenangan sampai bila-bila,” ujar Amad.

Bagi Achik, keistimewaan menyambut Syawal pada 2025 ialah mengenang kali pertama beliau dan Amad berganding dalam lagu Raya dan mengusahakan klip video muziknya sekali gus.

“Podcast The Bubble Clan semakin berkembang. Ini adalah satu pencapaian besar buat kami.

“Harapan kami Butang Baju Raya bukan sahaja menjadi lagu santapan halwa telinga semasa Lebaran malah berupaya mencipta trend dan tarian khas, yang boleh dicuba ramai di TikTok, tahun ini (2025),” ujar Achik.

Amad pula menambah 2025 adalah tahun meraikan kejayaan mengatasi bermacam cabaran dengan humor tersendiri yang sentiasa dikongsi dalam podcast.

“Bagi saya, Hari Raya tahun ini (2025) umpama memberi peluang kedua, bukan sahaja untuk makan rendang dan ketupat, malah untuk set semula ‘butang’ harapan dan semangat kami.

“Jadi semua ‘butang’ mesti dah sedia untuk dilancarkan secara sempurna,” katanya.

Apabila diminta mengulas tentang trend lagu Raya buat masa ini yang lebih rancak, Achik berkata beliau tiada masalah dengan kemunculan lagu-lagu Raya lebih segar dan moden.

“Kami rasa ia perkembangan yang menarik. Muzik perlu berubah, mengikut peredaran zaman.

“Tapi, jangan lupa nostalgia yang harus ada pada lagu Raya agar semangat beraya tak hilang.

“Kalau boleh, kami harapkan lebih banyak lagu yang menekankan keseimbangan, dari segi rentak moden tetapi tidak hilang ‘feel’ dan mood Raya,” jelas Achik.

Apakah selepas ini dapat dilihat lebih banyak lagi lagu daripada The Bubble Clan?

Kata Amad: “Kalau Butang Baju Raya dapat sambutan, mengapa tidak?

“Kami memang terbuka untuk buat lebih banyak projek kreatif yang sesuai dengan ‘vibe’ The Bubble Clan.

“Kalau ada jenama atau individu yang nak kerjasama dengan kami, pintu hati kami sentiasa terbuka!

“Kami sentiasa mencari cara dan peluang baru untuk menjalinkan hubungan dengan orang ramai menerusi kandungan podcast yang menyeronokkan dan bermakna.

“Nantikan pertengahan tahun ini (2025). Single kedua The Bubble Clan mungkin dapat anda nikmati.”

Butang Baju Raya boleh didengar di wadah penstriman digital, Spotify, dan YouTube.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg