Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggubah, penyanyi lagu ikonik Indo, ‘Jatuh Cinta’, Titiek Puspa, meninggal dunia

Majalah ‘Rolling Stone Indonesia’, nobatkan Titiek sebagai ‘Dewi Muzik’ pada 2008
Apr 10, 2025 | 12:09 AM
Jatuh Cinta, Marilah Ke Mari dan Apanya Dong, merupakan antara lagu terkenal Allahyarhamha Titiek Puspa.
Jatuh Cinta, Marilah Ke Mari dan Apanya Dong, merupakan antara lagu terkenal Allahyarhamha Titiek Puspa. - Foto fail

Apabila berkumandang lagu klasik Indonesia, Jatuh Cinta, Marilah Ke Mari dan Apanya Dong, yang terlintas di fikiran adalah penyanyi bersuara emas dari Indonesia yang menyanyikannya, Titiek Puspa.

Titiek juga merupakan seorang penggubah lagu tersohor kelahiran Tabalong, Kalimantan, yang dilahirkan pada 1 November 1937.

Pada 4.30 petang, 10 April, Titiek dilaporkan meninggal dunia pada usia 87 tahun di Hospital Medistra, setelah menjalani rawatan selama 15 hari akibat pendarahan otak.

Awal sebelum itu, beliau turut mengeluh sakit kepala.

Berita pemergiannya, juga seorang pelakon, disampaikan kepada agensi berita, Antara, oleh pengurusnya, yang dikenali sebagai Mia.

Menurut pengamat muzik, Stanley Tulung, dalam satu hantaran Instagram, Titiek dikatakan diserang strok dan rebah di studio televisyen di Jakarta. Dia kemudian digegaskan ke hospital bagi rawatak lanjut.

Sambil menyampaikan salam takziahnya, Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, menyifatkan Titiek, atau nama sebenarnya, Sudarwati, sebagai tokoh seni penting, yang banyak menyumbang sebagai penyanyi, penggubah lagu, penulis lirik dan karyawan muzik yang pasti terpahat namanya dalam sejarah muzik Indonesia.

“Indonesia kehilangan seorang tokoh yang tidak dapat dipisahkan daripada perkembangan muzik nasional selama lebih enam dekad. Moga Allah menerima budi baiknya,” tulis Encik Fadli.

Menurutnya, lagu-lagu Titiek sentiasa disertakan dalam koleksi nostalgia lagu Indonesia malar segar.

Kerja seninya juga mencetus inspirasi bagi generasi mendatang yang ingin mencipta nama di pentas seni Indonesia.

Kerjaya Titiek yang menjangkau usia 60 tahun itu bermula apabila beliau memenangi satu peraduan menyanyi di Semarang.

Beliau juga berlakon dalam beberapa filem seperti Inem Pelayan Sexy, Karminem dan Apanya Dong serta terlibat dalam beberapa pementasan teater.

Titiek juga dicalonkan bagi Anugerah Citra untuk Pelakon Pembantu Wanita bagi watak yang dijayakan dalam filem Ini Kisah Tiga Dara.

Beberapa Anugerah Sepanjang Hayat daripada Komisyen Penyiaran Indonesia (KPI) dan Anugerah Muzik Indonesia turut diraihnya.

Majalah Rolling Stone Indonesia, bahkan, menobatkan Titiek sebagais alah seorang ‘Dewi Muzik’ pada 2008. Seramai 25 artis Indonesia terbaik disenaraikan sebagai legenda muzik di negara ini dalam majalah tersebut.

Dua lagunya, Kupu-Kupu Malam dan Bing, yang ditujukan kepada pelawak dan pelakon terkenal Indonesia, Bing Slamet, juga disenaraikan sebagai antara 150 lagu Indonesia terbaik sepanjang zaman pada 2009.

Titiek juga dipaparkan dalam salah satu edisi khas setem oleh Pos Indonesia dan Kementerian Komunikasi dan Maklumat Indonesia pada 2020.

Pemuzik lain yang diberi penghormatan dalam cetakan setem ini adalah yang sudah pergi sebelum Titiek, iaitu Chrisye, Gesang, dan Gombloh.

Anak Titiek, Petty Tunjungsari, 65 tahun, mengatakan dua hari sebelum kematian, keadaan kesihatan ibunya masih baik.

Pada 24 Mac, Titiek sempat menghadiri acara bersama anak yatim.

Anak keempat dalam 12 beradik ini dianggap artis berjiwa seni sepenuh raganya.

Dalam kehidupannya, ibu dua anak itu pernah berumah tangga sebanyak dua kali. Kali pertama, beliau menikahi penyiar Radio Republik Indonesia, Zainal Ardi.

Mereka dikurniakan dua puteri, Petty dan Ella Puspasari, 64 tahun.

Namun, Titiek dan Zainal kemudian bercerai pada 1968.

Pada 1970, Titiek menikah lagi dengan pemuzik, Mus Mualim, yang meninggal dunia pada 1991.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg