Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyakit paru-paru kronik tidak hambat Jamilul Hayat urus kerjaya seni anak
Penyakit paru-paru kronik tidak hambat Jamilul Hayat urus kerjaya seni anak
Semangat juang ayah bakar semangat Hussain kejar jaya dalam ‘Talk To My Manager 2’
Penyakit paru-paru kronik tidak hambat Jamilul Hayat urus kerjaya seni anak
Hati bapa mana yang tidak bangga apabila melihat anak sendiri mengikut jejak langkah orang tua dalam dunia seni.
Demikian yang dirasakan penyanyi era 1980-an, Jamilul Hayat, atau nama sebenarnya Hayat Abdillah Mohd Ali, 65 tahun, ketika beliau memperkenalkan anak bujangnya, Jamak Hussain, 23 tahun, di pentas program realiti Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2).
“Menyanyilah anak, pentas itu kini milikmu,” katanya dengan nada sebak bercampur bangga.
Program berkonsepkan selebriti sebagai pengurus kepada anak mereka merupakan pertandingan pencarian bakat baharu yang disiarkan secara langsung dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, menerusi saluran Astro Ria setiap Ahad, bermula 9 malam.
Sudah tiga dekad, Jamilul, yang juga adik penyanyi mapan, Datuk Jamal Abdillah, menyepi daripada bidang seni setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya pada 1996.
Bahkan, dalam satu laporan akhbar pada 2016, beliau yang terkenal dengan lagu Gelora Cintaku dan Mawar Putih Tanda Perpisahan menepis tanggapan dirinya sudah meninggal dunia.
Kenyataan itu dibuat seiring pengumuman penglibatan Jamilul dalam konsert Tiga Suara bersama abangnya, Jamal Abdillah, Ameng Spring, dan Zamani Slam, di Istana Budaya, Kuala Lumpur, antara 22 dengan 25 September 2016.
Detik itu merupakan kemunculan terakhir Jamilul dalam persembahan berskala besar.
“Selepas kemalangan, saya ditahan di wad sekitar seminggu. Kemudian, saya tidak lagi aktif dalam kerjaya sebagai penyanyi.
“Namun, apabila saya menerima undangan untuk menyanyi di mana-mana acara, saya gagahkan diri juga.
“Ini sekadar untuk memenuhi hasrat mereka yang masih ingin melihat saya menyanyi.
“Adalah saya nyanyi dalam satu atau dua lagu.
“Pada masa sama, ketika saya membuat persembahan, saya sedar saya tidak lagi mampu berdiri lama dan akan rasa cepat penat.
“Sepanjang tidak menyanyi, saya juga tidak mempunyai banyak kegiatan lain.
“Saya hanya memberi sokongan kepada ahli keluarga, sama ada dari segi pemikiran mahupun dengan memberikan dorongan dan semangat kepada mereka,” kata Jamilul, ketika dihubungi Berita Minggu (BM), melalui panggilan jauh, baru-baru ini.
Namun begitu, benarlah pepatah Melayu yang berbunyi: ‘Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa’.
Ini kerana meskipun Jamilul kini berdepan masalah paru-paru dan memerlukan rawatan di hospital, beliau tetap menangguhkan perkara itu demi menemani perjalanan Hussain sepanjang TTMM2.
Dalam satu hantaran video yang dimuat naik di media sosial, Jamilul kelihatan sedang menggunakan alat sedut nafas semasa raptai bagi minggu pengenalan TTMM2 yang berlangsung pada 19 April, di MBSA.
Menurut Jamilul, walaupun keadaan kesihatannya berada pada tahap serius, beliau memilih untuk terus berkorban demi memastikan anaknya, Hussain, tidak terjejas dalam pertandingan tersebut.
“Saya mengalami masalah paru-paru tahap empat dan keadaan saya sebenarnya amat kritikal. Namun begitu, saya tetap bersemangat demi anak.
“Selepas ini, saya akan menyusun semula jadual rawatan di hospital.
“Saya tidak mahu ditahan di wad, sebaliknya mahu selesaikan dahulu urusan pertandingan ini.
“Memang nyawa itu lebih penting, tetapi apalah salahnya saya berkorban demi anak saya, Hussain?” kata Jamilul, dalam satu sidang media selepas tamat persembahan minggu pertama TTMM2.
Hussain memahami keadaan kesihatan bapanya yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.
“Insya-Allah, saya memang doakan abah (panggilan buat Jamilul) dapat kuatkan diri.
“Kalau tidak dapat datang ke raptai pun, cukup sekadar hadir menonton pada setiap Ahad.
“Itu sahaja permintaan saya,” kata anak kelima dalam keluarga enam beradik itu.
Bagi persembahan sulung di TTMM2, Hussain membawakan lagu, Bahagiaku Deritamu, dendangan asal Hafiz Suip, dan berhasil memikat hati juri dengan markah sebanyak 81.33 peratus, yang tertinggi pada malam itu.
Hussain bakal menyanyikan lagu, Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu, dendangan asal Uji Rashid, yang dipilih sendiri oleh bapanya, untuk konsert minggu kedua.
Beliau akur ingin menamatkan pengajian diploma sebelum diberi keizinan Jamilul bagi menyertai program TTMM2.
“Saya menamatkan diploma dalam pengurusan haji dan umrah terlebih dahulu sebelum abah mengizinkan saya menyertai pertandingan ini.
“Sebelum ini, saya pernah dua kali menyertai pertandingan nyanyian di Suke TV, dan One In A Million, hanya untuk mencuba nasib,” kata Hussain.
Ketika ditanya mengenai kecenderungannya yang sering membawakan lagu ‘tangkap leleh’ era 1980-an, beliau menjelaskan dirinya juga mampu menyanyi pelbagai genre lain termasuk pop dan rok, lagu Tamil, Hindustan dan Thailand.
“Saya sebenarnya juga meminati lagu-lagu ‘galau’ yang menjadi pilihan anak muda masa kini.
“Namun begitu, saya turut menggemari lagu-lagu lama kerana liriknya lebih puitis dan sarat dengan makna.
“Sejak kecil lagi, saya sering mendengar lagu abah di dalam kereta. Daripada situ, saya mula tertarik dengan lagu-lagu lama.
“Antara yang saya gemari termasuk Gelora Cinta. Selain lagu lama, saya juga boleh nyanyi lagu bergenre pop dan rok,” kongsinya.
Jamilul turut mengingatkan Hussain agar sentiasa memelihara akhlak serta kekal merendah hati tatkala menempa nama dalam dunia seni.
“Saya sudah menegaskan kepada Hussain bahawa apabila dia memilih untuk menceburi bidang seni secara serius, dia perlu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
“Akhlak harus sentiasa dijaga, dan dia juga perlu bersungguh-sungguh dalam apa jua keadaan.
“Kita hanya perlu berusaha sebaik mungkin dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah swt,” singkap Jamilul, yang tidak menafikan perancangan untuk membantu Hussain merakamkan sebuah lagu selepas program berkenaan tamat.
Program TTMM2 boleh ditonton di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), setiap Ahad bermula 9 malam.
