Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi nasyid Hafiz Hamidun cipta lagu cinta penuh harapan

Lagu duet ‘Jika Masih Ada’ dendangan Hady Mirza dan Erra Fazira kian dapat perhatian
Jun 24, 2025 | 5:30 AM
hafiz hamidun, hady mirza, erra fazira, jika masih ada
Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, menganggap kerjasama dengan Hady Mirza dan Erra Fazira sebagai masa yang tepat meskipun lagu berjudul, ‘Jika Masih Ada’, telah dicipta sejak 2022. - Foto INSTAGRAM HAFIZ HAMIDUN

Penyanyi nasyid dan penggubah lagu terkenal, Hafiz Hamidun, sememangnya tidak asing sebagai komposer yang kerap menghasilkan karya yang menyentuh hati peminat.

Sebagai penggubah lagu, Hafiz, 40 tahun, tidak pernah menjadikan keinginan untuk tular atau meraih anugerah sebagai matlamat utama dalam menghasilkan karya.

Baru-baru ini, Hafiz menerbitkan lagu duet yang menyentuh jiwa berjudul, Jika Masih Ada

Lagu tersebut dinyanyikan oleh penyanyi Singapura, Hady Mirza dan penyanyi yang juga pelakon Erra Fazira, di bawah naungan label rakaman, Sony Music Malaysia. 

Video muzik yang diterbitkan pada 9 Mei, telah mencatat 237,386 tontonan di laman web, YouTube dan meraih 205,216 penstriman di Spotify, sejauh ini.

Lagu mengisahkan perjuangan cinta disulami dengan perasaan rindu dan harapan, meskipun terpisah oleh jarak dan waktu itu menjadi runut bunyi bagi drama, Nikmat Hanya Sesaat.

Meskipun lagu ini dicipta sewaktu pandemik Covid-19, seniman berasal dari Perak itu, akhirnya menemukan padanan suara yang sempurna dengan gabungan vokal merdu Hady dan juga Erra.

Hafiz berkata lagu itu mula diketengahkan melalui program realiti, The Last Trio Standing, yang disiarkan di saluran Astro pada 2022. 

Program tersebut memaparkan 10 kumpulan trio, dengan setiap trio dianggotai seorang komposer, seorang penyanyi dan seorang pendatang baru dalam industri hiburan muzik di Malaysia.

Setiap minggu, kumpulan trio ini dikehendaki mengolah semula sebuah lagu popular yang akan dijadikan lagu ‘cover’.

Mereka turut ditugaskan menggubah lagu baru bersama.

Setiap tugasan yang diberikan adalah bersandarkan tema mingguan yang ditetapkan.

Dalam program itu, Hafiz digandingkan dengan penyanyi serta guru seni persembahan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Asmidar serta pemain badminton junior negara, Syahmi Irfan, yang ingin berjinak-jinak dalam bidang seni.

“Mulanya saya tulis lagu ini untuk satu program peraduan realiti yang mengetengahkan bakat serta karya penggubah lagu di Malaysia.

“Ada sekitar 10 penggubah lagu dan 20 penyanyi terlibat. 

“Setiap penggubah juga perlu memilih dua penyanyi yang terdiri daripada penyanyi berpengalaman dan penyanyi baru.

“Kami diberikan sebuah tema setiap minggu. Kebetulan, ketika lagu, Jika Masih Ada, diciptakan, ia disesuaikan bagi tema lagu ‘soundtrack’ atau runut bunyi,” kata Hafiz kepada Berita Harian (BH) sewaktu dihubungi melalui Zoom.

Berkongsi lanjut tentang kerjasama beliau dengan Hady dan Erra pula, Hafiz menyifatkan ia sebagai peluang terbaik untuk melancarkan lagu itu bersama dua penyanyi yang kehebatan vokalnya tidak perlu diragui lagi.

Apatah lagi, penggemar kededua penyanyi itu sudah menanti lama untuk mendengarkan lagu terbaru daripada idola mereka.

“Secara tidak langsung, ramai yang menanti-nantikan saat ini.

“Saya tahu peminat Singapura bangga dengan bakat tempatan mereka iaitu Hady, khususnya apabila beliau menjadi juara pertandingan, Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) dan naib juara, All Stars Gegar Vaganza (ASGV).

“Kalau di Malaysia pula, jarang-jarang kita dengarkan lagu Hady dimainkan. Begitu pun juga Erra. Namun, ini tidak menjadi alasan untuk tidak berkolaborasi.

“Pada saya, inilah masa yang tepat. Hady memang sangat teruja untuk bekerjasama. Erra pula sudah lama tidak keluarkan lagu baru, sekitar lima hingga enam tahun lamanya.

“Kebetulan juga, ada sebuah drama yang inginkan lagu ini sebagai runut bunyi. Jika lagu ini tidak dilancarkan sekarang, kita mungkin tidak akan tahu bila waktu yang sesuai,” ujarnya.

Di samping itu, mantan anggota kumpulan nasyid UNIC itu turut berkata judul lagu memainkan peranan penting kerana dapat memberi kesan terhadap pendengar.

“Ketika Hady sedang menjalankan proses rakaman, lagu ini masih dinamakan, Pergi.

“Judul lagu sangat penting. Kalau positif, maka kesannya akan positif juga. Jadi, bila judulnya, Pergi, ia memberi kesan tidak baik seperti menandakan sebuah pengakhiran.

“Sementara itu, lagu ini memiliki maksud harapan, khususnya bagi cinta peluang kedua.

“Maka, kami pun sepakat untuk namakan, Jika Masih Ada, sesuai mengikut lirik yang tertulis juga,” tambah Hafiz.

Terdahulu, penyanyi lagu, Raudhah, itu memaklumkan beliau mengambil seorang anak angkat lelaki, Hamdee Hafiz, pada 10 Mac 2020, untuk menjadi penyeri kehidupannya.

Bagaimanapun, Hafiz akur bahawa menjadi bapa angkat tunggal kepada Hamdee yang kini berusia lima tahun memiliki cabarannya tersendiri.

“Sebenarnya, hidup ini bukan untuk kepentingan diri sendiri. Apa yang penting bagi kita hanyalah ilmu, ibadah dan amal.

“Segala yang lain adalah untuk orang lain. Contohnya, bersedekah. Begitu juga peranan saya sebagai bapa angkat.

“Setiap orang mempunyai cara kehidupan yang berbeza. Walaupun saya sibuk dengan kerja lain, namun, apabila ia bersangkutan dengan Hamdee, saya akan memberikan tumpuan penuh kepadanya.

“Sebelum ini, saya fokus pada kerja. Tetapi, ketika Hamdee semakin membesar, saya perlu mengimbangi masa dengan baik.

“Hamdee memang gemar kegiatan ‘outdoor’ (luar), dan saya sentiasa cuba memupuk nilai positif seperti cara berkawan yang sihat melalui kegiatan ini atau ketika kami melancong bersama,” kata Hafiz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg