Topic followed successfully
Go to BHkuPenyanyi Putri Ariani didakwa tak profesional, acuh tak acuh jawab soalan media
Penyanyi Putri Ariani didakwa tak profesional, acuh tak acuh jawab soalan media
Penyanyi Putri Ariani didakwa tak profesional, acuh tak acuh jawab soalan media
PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia Putri Ariani, 18 tahun, didakwa bersikap tidak profesional apabila enggan menyambung sesi temu bual bersama media Malaysia ketika menghadiri sidang media ‘Walker World Tour 2024’ di sebuah hotel di Bandar Sunway di sini pada 29 Mei.
Menurut wakil penganjur, bapa pemenang tempat keempat program realiti ‘America’s Got Talent 2023’ itu tidak membenarkannya bertemu media tanpa alasan kukuh, lapor BH Online (Malaysia).
“Maaf, bapanya baru maklumkan Putri tidak akan turun bertemu media untuk menyambung semula sesi temu bual yang tertangguh.
“Maaf, media tempatan terpaksa tunggu hampir dua jam,” katanya.
Terdahulu, media Malaysia hanya berpeluang bertanyakan tiga soalan yang penyanyi yang mengalami kecacatan penglihatan itu menjawab dengan acuh tak acuh.
Namun, sesi temu bual itu terpaksa dihentikan selepas pengurusannya membawa penyanyi kelahiran Kampar, Riau, itu keluar dari dewan atas alasan beliau belum bersarapan.
Wakil penganjur, bagaimanapun, berjanji akan membawa Putri bertemu media semula bagi meneruskan sesi temu bual itu, yang berhubung konsert bersama Alan Walker di Surf Breach, Sunway Lagoon pada 22 Jun.
Bagaimanapun, selepas menunggu dua jam, media kesal dengan tindakan tidak profesional pengurusan penyanyi berkenaan.
Putri memulakan kerjayanya dengan menyertai program realiti ‘Indonesia’s Got Talent 2023’, yang disiarkan di stesen televisyen SCTV pada 2014.
Kemudiannya, Putri menghadiri uji bakat program realiti ‘America’s Got Talent’ bagi musim ke-18 pada tahun sama.
Menerusi uji bakat itu, Putri membawakan lagu ciptaannya berjudul ‘Loneliness’ sebagai penampilan pertama.
Tuah berpihak padanya apabila juri Simon Cowell membuka peluang buatnya menyanyikan lagu ‘Sorry Seems to Be the Hardest Word’ dendangan asal Elton John pada peringkat seterusnya.
Putri berjaya menarik perhatian dunia apabila mendapatkan ‘golden buzzer’ daripada Cowell dan menduduki tempat keempat dalam pertandingan akhir AGT 2023, sekali gus berpeluang merakamkan lagu bersama Walker dan Peder Elias berjudul ‘Who I Am’.

