Walaupun mendapat tepukan sanjungan ramai atau ‘standing ovation’ daripada keempat-empat juri peringkat akhir America’s Got Talent (AGT) musim ke-18, peserta paling mencuri perhatian dunia, Putri Ariani, 17 tahun, hanya berjaya meraih tempat keempat.
Namun, penyanyi cacat penglihatan dari Indonesia itu, jelas menjadi kebanggaan juri, Simon Cowell yang tidak henti-henti memuji bakat luar biasanya.
“Tidak ada yang mampu menafikan fakta awak adalah peserta luar biasa dan juga manusia luar biasa.
“Tapi pada akhirnya, ini adalah pertandingan,” ujar Cowell.
Persembahan memukaunya membawa lagu Elton John, Don’t Let the Sun Go Down on Me, di Auditorium Sivik Pasadena, California, Amerika Syarikat, itu turut dikagumi tiga lagi juri iaitu Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel.
Pertandingan itu dijuarai penjaga haiwan, Adrian Stoica dan anjing kesayangannya, Hurricane.
Duo tersebut membawa pulang wang tunai bernilai AS$1 juta ($1.4 juta) dan berpeluang membuat persembahan pada AGT Presents Superstars Live di Luxor Hotel and Casino di Las Vegas, Amerika.
Stoica dan Hurricane mempersembahkan kemahiran akrobatik antara manusia dengan haiwan.
Sementara itu, tempat kedua diraih Anna Deguzman; Murmuration (ketiga) dan Ramadhani Brothers (kelima).
AGT adalah program realiti yang mencungkil bakat bukan hanya menyanyi malah melibatkan sesuatu yang unik dan luar biasa dimiliki oleh peserta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg