Sumbangan wanita Melayu dalam industri perfileman dan seni kreatif sering kali dipandang melalui peranan mereka di hadapan kamera, sedangkan ramai turut memainkan peranan penting sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah.

Namun, sejauh manakah sumbangan mereka diberikan pengiktirafan sewajarnya, dan adakah wanita hari ini mempunyai peluang yang lebih luas untuk mengetengahkan kisah daripada lensa sendiri?

Persoalan itu antara dikupas menerusi sesi perbincangan Bingkai demi Bingkai: Wanita Melayu dan Layar Singapura, sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) 2026, pada 21 November.

Sesi yang berlangsung di Screening Room, The Arts House at the Old Parliament, dari 8 malam hingga 9 malam itu, disampaikan penggiat seni pelbagai disiplin dan mantan wartawan, Mysara Aljaru, 33 tahun; penulis dan pelakon, Tysha Khan, 33 tahun; serta penulis skrip, Umie Isa, 45 tahun.

Mysara dan Tysha berkongsi pandangan tentang cabaran yang dihadapi wanita Melayu dalam industri kreatif serta kepentingan membuka ruang kepada kisah yang lebih pelbagai.

Soalan (S): Mengapakah penting menelusur semula sumbangan wanita Melayu dalam industri kreatif?

Mysara: Ketika memperkatakan zaman kegemilangan filem Melayu, sekitar 1950-an, nama seniman seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, atau Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, sering menjadi tumpuan.

Namun, ramai seniwati pada era tersebut turut diberikan perhatian kerana mereka bukan sekadar pelakon atau penyanyi, malah turut berkecimpung dalam penerbitan, penulisan skrip dan pengarahan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Antaranya ialah seniwati Allahyarhamha Siput Sarawak, yang hampir pernah berpeluang mengarahkan filem, Mata Shaitan (1962).

Namun, skripnya diolah semula dan diserahkan kepada Allahyarham Hussein Haniff.

Kita sering mengingati mereka (seniwati) sebagai pelakon atau penyanyi sahaja, sedangkan mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dan kebolehan yang kurang diketengahkan.

Tysha: Ada wanita Melayu yang mempunyai kisah hidup cukup menarik.

Ketika saya menjalankan kajian mengenai Haliza Mohd Som, untuk Taman Warisan Melayu (MHC), saya mendapati kehidupan beliau sebenarnya penuh dengan pencapaian dalam pelbagai bidang.

Selain menjadi individu utama di sebalik majalah, Fesyen, beliau pernah mencipta jenama Harmuni (jenama produk makanan di Singapura, yang terkenal dengan beras wangi, minyak masak dan gula), khususnya untuk pasaran masyarakat Melayu dan bertanding dalam pilihan raya.

Apabila kita memikirkan tokoh Melayu Singapura yang terkenal, kita sering teringatkan tokoh lelaki.

Namun, kisah wanita kita tidak cukup diperkatakan.

S: Apakah cabaran yang anda hadapi sebagai wanita Melayu dalam industri kreatif?

Mysara: Ketika berkhidmat sebagai wartawan, saya berasa ada kalanya saya perlu berusaha dua kali ganda untuk memastikan pandangan saya mendapat perhatian dan suara saya didengari.

Cabaran yang berbeza pula saya hadapi ketika mengarahkan filem pendek pertama saya di Kuala Lumpur, dengan kru produksi yang kebanyakannya terdiri daripada lelaki.

Walaupun saya mempunyai pasukan yang baik, pada awalnya agak sukar untuk mendapatkan kerjasama mereka kerana saya seorang wanita dari Singapura.

Sebagai pengarah, saya mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad, namun saya dapat rasakan bahawa kedudukan itu menjadikan keadaan sedikit lebih mencabar.

Tysha: Saya tertanya-tanya sejauh mana keengganan saya untuk menjadi seorang ‘gadis ayu’ mempengaruhi pandangan orang terhadap kelayakan saya muncul di televisyen.

Saya bukan seseorang yang berambut panjang, pemalu, manja atau terlalu feminin.

Justeru, saya mempersoalkan sama ada perwatakan saya dianggap sesuai untuk diberi ruang di kaca televisyen tempatan.

S: Apakah perubahan yang anda harapkan dalam cara kisah wanita Melayu diketengahkan pada masa hadapan?

Mysara: Saya berharap perbincangan ini bukan sahaja tertumpu pada cabaran yang dihadapi, tetapi turut melihat apa yang boleh kita lakukan dan harapkan pada masa hadapan.

Kita perlu melihat lebih banyak kisah tentang wanita Melayu, bukannya terus meletakkan mereka dalam kerangka yang sudah ditetapkan masyarakat.

Tysha: Seperti kata Rosewita Ali, wartawan wanita Melayu pertama di akhbar Utusan Melayu, ‘Siapa yang lebih layak menceritakan kisah wanita, kalau bukan wanita sendiri?’

Usah hanya menceritakan tentang penderitaan wanita, tetapi ceritakan juga mengenai kegembiraan dan kebahagiaan kami, dan usah hanya menceritakan tentang kisah wanita, tetapi ceritakan juga tentang kisah dunia dan apa sahaja yang ingin disampaikan.

“

“Saya berharap perbincangan ini bukan sahaja tertumpu pada cabaran yang dihadapi, tetapi turut melihat apa yang boleh kita lakukan dan harapkan pada masa hadapan.”
Mysara Aljaru, penggiat seni pelbagai disiplin dan mantan wartawan.

“

“Usah hanya menceritakan tentang penderitaan wanita, tetapi ceritakan juga mengenai kegembiraan dan kebahagiaan kami...”
Tysha Khan, penulis dan pelakon.