Topik diikuti
Pergi ke BHkuPernah dianggap tidak relevan, Mimifly buktikan sebaliknya dengan lima anugerah AIM
Pernah dianggap tidak relevan, Mimifly buktikan sebaliknya dengan lima anugerah AIM
Berdepan dengan ‘pasang surut’ dalam kerjayanya, Shamimi Amalina Norhisham atau nama pentasnya ‘Mimifly’, pernah juga melalui fasa apabila keupayaannya sebagai penyanyi pernah dipersoalkan.
Hal itu termasuklah tanggapan bahawa diri beliau sudah terlalu berusia dan tidak lagi relevan untuk meneruskan kerjaya dalam industri muzik.
Mimifly, 49 tahun, telah merangkul sebanyak lima anugerah sewaktu acara Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM 25) yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 26 September.
Kemenangan beliau merangkumi kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Sebuah Lagu menerusi lagu ‘Nara’, Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok melalui lagu ‘Serumpun’, Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi lagu ‘Temberang’.
Mimifly yang juga merupakan seorang komposer dan penyanyi, menyifatkan lima trofi yang diraih sewaktu AIM 25 sebagai detik paling bermakna selepas hampir dua dekad berjuang membina nama.
“Saya sangat bersyukur.
“Namun, pencapaian atau kegagalan tidak akan membuatkan saya berhenti berkarya.
“Saya terus berada dalam bidang ini memang kerana mahu berkarya.
“Saya tidak kisah sama ada menang atau tidak kerana masih banyak karya yang mahu saya hasilkan.
“Tetapi, saya sangat bersyukur kerana AIM iktiraf saya dan hasil kerja ini,” katanya dalam laman Harian Metro.
Dengan lima anugerah yang telah diraih, beliau telah mencatat kejayaan peribadi sebagai artis yang membawa pulang trofi terbanyak pada edisi Jubli Perak AIM.
Tambahan itu, beliau juga bergerak dengan kumpulan sendiri tanpa dinaungi mana-mana syarikat rakaman.
Mengimbau perjalanan seninya, Mimifly berkata, dia berdepan perubahan yang sangat mendadak selepas mengambil keputusan membuat kemunculan semula pada akhir 2024 menerusi lagu ‘Angkat’.
Detik kebangkitan itu dirasakan lebih berharga apabila empat tahun sebelum itu, Mimifly berdepan fasa ‘hilang diri’ hingga memberi kesan kepada semangatnya untuk berkarya.
“Perubahan ini sangat mendadak kalau tanya saya.
“Tahun ini tahun ke-18 saya dalam industri muzik.
“Saya buat kemunculan semula pada akhir 2024 selepas empat tahun tidak berkarya.
“Saya sangat sengsara sepanjang tempoh empat tahun itu.
“Saya hilang diri apabila tidak berkarya. Jadi, apabila saya kembali dengan lagu ‘Angkat’ dan lagu itu menang pada AIM 24.
‘Saya rasa sangat berterima kasih kerana inilah jalan yang saya pilih,” katanya.
Mimifly yang akan membintangi pementasan ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’ turut mencurahkan perasaannya tatkala pernah berdepan dengan tanggapan bahawa diri beliau sudah tidak lagi mempunyai tempat dalam industri muzik.
“Sudah terlalu banyak kali saya menghasilkan sesuatu yang tidak menjadi.
“Terlalu banyak tahun apabila saya buat sesuatu, orang tidak percaya.
“Ada yang kata saya sudah terlalu tua untuk kembali dalam industri muzik, malah, zaman kemuncak saya sudah berakhir.
“Itu yang selalu saya dengar, bahawa saya sudah tidak relevan. Saya juga tidak dapat menghasilkan atau mengembangkan lagu kerana tiada pihak yang mahu membantu membawa karya saya keluar,” katanya.
Namun, Mimifly memilih untuk menggerakkan karyanya sendiri sehingga berjaya membuktikan bahawa perjalanan seorang anak seni tidak semestinya ditentukan oleh pandangan orang lain.
“Akhirnya saya buat sendiri dan Tuhan memberikan kemanisan kepada saya kerana memberikan peluang untuk berjaya.
“Ia membolehkan orang melihat bahawa kalau kita tidak berputus asa, insya-Allah akan ada jalannya.
Mimifly turut berkata, beliau tidak pernah meletakkan sasaran untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan anak seni, sebaliknya mahu dikenali menerusi identiti dan karya yang tersendiri.
“Saya masih Mimifly yang dulu. Bagi saya, saya tidak mahu jadi yang terbaik.
“Saya mahu jadi ‘the one and only’ atau satu-satunya yang bawa apa yang saya bawa dalam industri muzik,” ujarnya.