Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak sulung Eira Syazira bakal rakam lagu ciptaan Mimifly
Anak sulung Eira Syazira bakal rakam lagu ciptaan Mimifly
Perjalanan Amarra Sofea Rose di ‘Talk To My Manager 2’ (TTMM2) terhenti di peringkat separuh akhir
Anak sulung Eira Syazira bakal rakam lagu ciptaan Mimifly
Pelakon dan penyanyi, Eira Syazira, yang menggalas peranan sebagai pengurus sementara kepada anak sulungnya, Amarra Sofea Rose, tetap berbangga dengan pencapaian remaja itu di pentas separuh akhir program terbitan Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Walaupun Amarra tersingkir pada minggu separuh akhir TTMM2, yang berlangsung pada 14 Jun di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria, Eira, mengakui sedikit sebanyak beliau berasa lega.
Pada minggu separuh akhir, Amarra, 13 tahun, menyanyikan lagu Intan Payung, dendangan asal Noraniza Idris bersama penyanyi rap, Bunga Isme.
Amarra meraih 57.86 peratus markah menerusi persembahan itu, sekali gus mencatat markah terendah dalam kalangan peserta pada minggu berkenaan.
“Saya lega sebenarnya, alhamdulillah.
“Bagi saya, seperti biasa, saya sangat bangga dengan Amarra sebab dia berjaya sampai ke tahap separuh akhir TTMM2. Syukur... dia hebatlah.
“Ditambah lagi, dia dapat terus berjuang dengan pelbagai kata-kata (kritikan) dan mampu bertahan hingga tahap ini.
“Saya sebenarnya tetap bangga dengan dia (pencapaian Amarra),” kata Eira, kini 41 tahun, dalam laman Harian Metro.
Isteri kepada penyampai radio Era, Azad Jasmin, itu menyifatkan anak perempuannya sudah membuat persembahan terbaik.
Ibu kepada dua lagi cahaya mata perempuan berusia lapan dan sembilan tahun itu turut mengakui Amarra pernah berdepan kritikan hebat daripada netizen sepanjang pertandingan.
Bagaimanapun, Amarra tetap cekal dan mempunyai kekuatan mental untuk meneruskan persaingan.
Pada masa sama, Eira menyaksikan sendiri kesungguhan puterinya itu, yang tidak pernah jemu berusaha memperbaiki mutu nyanyiannya setiap minggu.
Meskipun menerima sokongan yang baik daripada ramai pihak, beliau akur perjalanan Amarra, yang sebelum ini diuruskan oleh suaminya, dalam pertandingan itu berakhir di peringkat separuh akhir.
Seterusnya, Eira mengumumkan peluang anaknya menyanyikan lagu yang dicipta oleh penyanyi terkenal, Mimifly.
“Saya beritahu kepada Amarra, ini pertandingan sahaja untuk bersaing mara hingga ke pentas akhir.
“Tetapi selepas itu, kena pergi ke sekolah macam biasa.
“Apa yang penting, dia sudah dapat lagu daripada Mimifly untuk dirakamkan nanti.
“Saya difahamkan Mimifly menghubungi suami saya, Pak Azad (panggilan buat Azad) dan ingin cipta lagu buat Amarra selepas lihat persembahan dia sebelum ini (di TTMM2).
“Jadi, apabila Amarra sudah tersingkir pada minggu separuh akhir TTMM2 ini, insya-Allah kita akan rakam lagu daripada Mimifly, secepat mungkin,” katanya lagi.
Menjelang pentas akhir TTMM2 pada 21 Jun ini, lima gandingan pengurus dan artis akan berentap bagi merebut gelaran juara, terdiri daripada Datuk A. Aida dan Azeva, Datuk Seri Vida bersama Cik B, Adira dan Anggrek, Safura serta Kim Khairii, di samping Jamilul Hayat dan Hussain.
Ia boleh ditonton di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), bermula 9 malam.
