Topik diikuti
Pergi ke BHkuPersatuan Karyawan M’sia sedia bantu Salih Yaacob
Persatuan Karyawan M’sia sedia bantu Salih Yaacob
Persatuan Karyawan M’sia sedia bantu Salih Yaacob
Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sedia membantu pelakon dan pelawak mapan, Salih Yaacob, 65 tahun, yang berdepan masalah kesihatan akibat faktor usia serta kekangan pendapatan kerana sudah tidak mampu bekerja.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, 73 tahun, memaklumkan buat masa ini pihaknya sudah dua kali membantu Salih menerusi sumbangan kewangan dihulurkan.
Katanya, pihaknya juga akan terus sedia membantu artis serba boleh yang juga bekas penyampai radio itu.
“Karyawan memang prihatin masalah kesihatan Salih dan kita pernah membantunya sebanyak dua kali sebelum ini menerusi sumbangan kewangan dihulurkan kerana tahu dia tidak larat bekerja sebab sakit.
“Kali pertama Karyawan beri sumbangan kewangan kepada Salih pada Disember 2025 menerusi Konsert Amal Legends di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang dianjurkan bagi mengutip dana bantuan.
“Kedua, kita juga bantu Salih sekali lagi dengan sumbangan kewangan pada majlis buka puasa di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ramadan lalu,” katanya kepada Harian Metro.
Ujar Freddie lagi, beliau tidak menafikan bantuan kewangan diberikan sebegitu mungkin tidak mencukupi kerana Salih memang memerlukan untuk kegunaan berterusan menyara keluarganya kerana masih ada anak bersekolah.
“Tetapi, saya tahu memanglah kalau beri macam itu (sumbangan kewangan), tidak cukup. Lepas itu, perlu lagi (bantuan) sebab beliau pun kurang sihat. Cuma, di Karyawan kita sentiasa terbuka untuk sedia membantu sekiranya perlu.
“Karyawan bersimpati dengan keadaan Salih sekarang. Kita akan buat apa-apa yang patut sekiranya beliau perlukan bantuan lagi.
“Namun, kita perlu lihat macam mana dulu dan mungkin boleh mengaturkan bantuan daripada pihak lain dan sebagainya,” kata Freddie yang sedang berada di Miri, Sarawak untuk perbincangan bagi tujuan penganjuran program ketika dihubungi Harian Metro.
Baru-baru ini, Salih berkongsi keadaan terkini dirinya yang mengaku sudah tidak larat dan mata pun kelabu menyebabkan dirinya lebih banyak berehat di rumah.
Salih turut memaklumkan pada Ramadan, beliau diserang darah tinggi, tetapi nasib baik tidak serius, namun kini kededua kakinya sudah tidak kuat macam dulu dan pandangan pun tidak jelas.
Sebelum ini, Ajak Shiro juga ada membuat perkongsian hantaran dimuat naik di media sosialnya semasa kunjungan ke kediaman Salih bagi bertanya khabar dan memaklumkan keadaan fizikal selebriti veteran itu tidak sekuat dulu, terutama untuk bergerak.
Terdahulu, Salih pernah meraih populariti dalam bidang lakonan dan nyanyian pada era 1980-an bersama Allahyarham Mr Os menerusi filem Jejaka Perasan, Keluarga 99, Mr Os, Awang Spanar dan banyak lagi.
Pernah berkahwin empat, Salih kini masih memiliki tiga isteri iaitu Norlizah Mamat, 61 tahun, Norfara Wahida Sulaiman, 47 tahun, dan Samihah Sheikh Ali, 40 tahun.
Bagaimanapun, Salih bersama isteri keduanya iaitu Norraha Hamat, 57 tahun, yang juga seorang penyanyi nasyid sudah bercerai pada 2016.
Hasil perkongsian hidup dengan empat isteri sebelum ini, Salih dikurniakan 12 cahaya mata dengan dua orang masih bersekolah dan memiliki 18 orang cucu.
Turut dikenali dengan gelaran ‘Abang Jem’ ketika menjadi penyampai radio dulu, Salih menyertai Sinar FM pada 2006 dalam segmen Sinar Pagi bersama Raja Azura dan Khairil Rashid sebelum mengundurkan diri pada 2019.
