SHAH ALAM: Tampil dalam persalinan serba putih pada sebutan pertama kes permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Selasa, Datuk Nora Ariffin atau nama penuh, Wan Norafizah Wan Ariffin, 52 tahun, mahu memulakan hidup baru tanpa persekitaran dan individu yang didakwanya ‘toksik’, lapor akhbar Berita Harian Malaysia.
“Saya mahu mulakan hidup baru dan keluar daripada persekitaran yang ‘toksik’ selain ingin membersihkan nama... Itu paling penting.
“Kami berjumpa tetapi tidak berbincang mengenai hal perceraian sebab menanti hari ini.
“Saya tidak mahu tanya dan ingin beliau buat keputusan dengan rela hati.
“Suami juga tahu apa yang saya mahu.
“Kami tidak bergaduh cuma berjanji akan selesaikannya dengan cara baik,” katanya ditemui sebelum bermulanya prosiding.
Nora ditemani peguam yang mewakilinya, Cik Sarah Mohd Ali dan kakak angkatnya, Rafeah Ariffin.
Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Selasa menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebutan kedua kes permohonan perceraian Nora dan suami, Dr Rushdi Ramli.
Peguam yang mewakili Nora, Cik Sarah berkata tarikh sebutan kedua diberi bagi membolehkan anak guam dan suami menjalani proses pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Dr Rushdi enggan menceraikan Nora semasa prosiding.
“Saya pun tidak tahu. Kalau hendak teruskan (perkahwinan), banyak cabaran dan tidak mahu melalui perkara sama,” kata Nora.
Sementara, Dr Rushdi yang hadir secara berasingan enggan mengulas lanjut.
Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.
Pada akhir 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.
Nora mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 di usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg