Menjelang Aidilfitri, ramai penghibur dan penyanyi berkobar-kobar mengeluarkan lagu Raya untuk menggamatkan lagi suasana sambutan penuh meriah ini di samping keluarga dan sahabat tercinta.
Buat kali pertama, penyanyi dan jelitawan, Iman Fandi, mengeluarkan lagu Raya sempena Aidilfitri 2025 berjudul, Hari Raya Raya Raya, pada 28 Februari.
Lagu Raya ini juga merupakan lagu pertamanya yang dihasilkan dalam bahasa Melayu dan disokong label rakaman Universal Music Singapore.
Iman, 25 tahun, merupakan anak ketiga hasil perkongsian hidup legenda bola sepak, Fandi Ahmad dan peragawati, Wendy Jacobs.
Selain Iman, pasangan itu dikurniakan empat anak lelaki iaitu Irfan, 28 tahun; Ikhsan, 26 tahun; Ilhan, 23 tahun dan Iryan, 19 tahun.
Setelah bertahun-tahun mengorak langkah dan membina jenamanya sendiri, Iman yang kini aktif dalam bidang nyanyian ingin terus mengembangkan daya kreativiti melalui gabungan muzik dan fesyen dengan gaya uniknya tersendiri.
Menyusuli kejayaan album sulung berjudul, That Girl, hasil lagu ini merupakan detik penting dalam perkembangan kerja seninya untuk menggambarkan nostalgia serta keseronokan musim perayaan Hari Raya melalui melodi yang rancak dan lirik lagu yang memikat hati.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 4 Mac, Iman berkata:
“Hari Raya ialah perayaan yang tidak akan kami lepaskan sebagai keluarga setiap tahun.
“Kini, saya sudah rasa lebih yakin dalam selera muzik saya, dan inilah masa yang tepat untuk mengeluarkan lagu Raya.
“Meskipun bukan saya yang menulis lagu ini, tetapi saya bekerja rapat dengan penulis serta penggubah lagu, Pique dan Eugene Lai, dari Malaysia untuk menyampaikan perasaan dalam lagu ini secara tepat.”
Dalam pada itu, Iman mengungkapkan rasa tidak sabar untuk membawakan lagu ini secara langsung semasa Absolut Bazaar Singapura 2025, anjuran Absolut Events yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Mac di Dewan 4, Singapore Expo.
Sejak 2019, Absolut Bazaar, telah menjadi jenama pengurusan acara yang membawakan acara bazar terbesar di Malaysia sempena bulan Ramadan.
Kini, bazar Ramadan terbesar di Malaysia itu akan menjadi tuan rumah bagi acara menjelang Mac di Singapore Expo, menampilkan 400 reruai yang terdiri daripada jenama terkemuka di Malaysia dan juga Singapura seperti Elrah, Sugarbomb, The Bahaman dan Kunafa Aiwahhh.
Acara kemuncaknya termasuk peluang membeli-belah hingga lewat malam (selewat 2 pagi) pada 14 dan 15 Mac dan peluang berbuka puasa di lapangan terbuka dengan pilihan juadah dari Pesta Mini Makanan Absolut yang merangkumi 80 reruai makanan dan juga minuman.
Hadirin juga tidak akan terlepas menikmati santapan hiburan secara langsung daripada barisan artis seperti Shukri Yahaya, Mira Filzah, Aedy Ashraf, Challo FC, Uqasha Senrose, Meerqeen, Datuk Aliff Syukri, Datuk Seri Vida, Eyka Farhana dan banyak lagi.
Awalnya, rasa bimbang singgah di hati Iman kerana ini merupakan kali pertama beliau menyampaikan dan menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu.
Bagaimanapun, beliau rasa seronok dapat mengajak satu keluarga untuk memeriahkan lagi suasana lagu Raya sulungnya itu.
“Saya merakam lagu ini di rakaman studio, Homeground Studios, di 57 Genting Lane, bersama ibu dan adik saya, Iryan.
“Seronok juga rasanya dapat membimbing mereka ketika rakaman sedang dijalankan. Mereka juga menunjukkan rasa ingin tahu mengenai dunia saya sebagai penyanyi.
“Memandangkan ayah dan adik-beradik saya yang lain seperti Irfan, Ikhsan dan Ilhan sedang berada di luar negara ketika itu, mereka menghantarkan rakaman suara sendiri untuk dijadikan ‘adlib’ (nyanyian spontan) dalam lagu itu,” ceritanya lagi.
Iman turut berkongsi bahawa sejauh ini, belum ada perancangan merakamkan video muzik bagi lagu ini.
Namun, beliau tetap memastikan sambutan Aidilfitri tidak hambar dengan hasil video lirik menghiburkan dan gambaran warna-warni serta menarik yang memikat perhatian pendengar.
Lagu, Hari Raya Raya Raya, kini boleh didengarkan di seluruh penstriman digital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg