Pelakon Malaysia, Puteri Sarah Liyana, 40 tahun, mengakui lebih selesa menjaga privasi dua anaknya, Syaikhul Islam, sembilan tahun; dan Sumayyah, lapan tahun walaupun mereka sering menjadi tumpuan netizen.
Menurut Puteri Sarah, beliau lebih selesa sekiranya kededua anaknya itu tidak kerap muncul di media sosial atau terbabit secara aktif dalam industri hiburan.
“Saya tidak gemar terlalu mendedahkan anak-anak kepada umum.
“Jika sekadar muncul seketika, seperti dalam iklan televisyen dan tidak terlalu kerap, ia masih boleh diterima.
“Namun, jika keterlaluan, saya berasa kurang selesa.
“Saya sendiri membuat siaran langsung setiap hari, jadi tidak mengapa jika anak-anak muncul seketika untuk menyapa peminat.
“Cuma, jika terlalu kerap dan berlebihan, saya tidak bersetuju,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Puteri Sarah berkongsi pandangan tersebut ketika menjawab soalan netizen menerusi sesi soal jawab menerusi Instagram Story.
Mengulas pertanyaan netizen mengenai kemungkinan Syaikhul dan Sumayyah menyertai dunia hiburan, Puteri Sarah turut menegaskan pendidikan anak-anak menjadi keutamaan.
“Bagi saya, pendidikan sangat penting.
“Jika diberi pilihan, saya mahu Sumayyah menjadi doktor, manakala abangnya pula berminat dalam bidang kejuruteraan,” tambahnya.
Sebelum ini, Puteri Sarah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Syamsul Yusof, pada 8 Mac 2014.
Bagaimanapun, mereka sah bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg